Salah Ketis Ronaldo Dari Senarai Finalis FIFA Best Walaupun 47 Bersiuuuu Sepanjang 2021

Cristiano Ronaldo terlepas anugerah FIFA Best edisi 2021. Ini apabila bintang yang menjaringkan 47 gol dalam kalendar 2021 itu gagal berada dalam senarai 3 calon akhir bagi anugerah Pemain Lelaki Terbaik.

Ianya dianggap agak kejam untuk Ronaldo yang telah bersiuuu sebanyak 47 kali sepanjang tahun lalu. Ramai peminat tidak berpuas hati pemenang Ballon d’Or itu boleh terlepas daripada senarai 3 teratas.

Mereka berpendapat, dengan 47 gol, dan 2 trofi musim lalu bersama Juventus, takkanlah Ronaldo boleh tersisih berbanding Salah yang tidak memenangi apa apa trofi musim lalu?

Adakah FIFA sudah kena mandrem?

Ada juga peminat yang menantikan esei panjang daripada Ronaldo kerana apa yang berlaku ini.

3 calon yang bakal merebut anugerah beprestij itu ialah Robert Lewandowski, Lionel Messi dan Mohamed Salah.

Lewandowski merupakan penyandang kepada anugerah tersebut selepas memenanginya musim lalu. Sementara Lionel Messi hadir dengan status sekali pemenang Ballon D’Or 2021. Messi membantu Argentina memenangi Copa America pada tahun lalu.

Menamatkan penantian panjang beliau untuk menjulang trofi major bersama dengan Argentina. Lionel Messi menjadi pemain penting Argentina untuk menamatkan penantian kejuaraan Argentina dan beliau secara peribadi.

Beberapa bulan lalu, Messi menewaskan Lewandowski dalam perebutan Ballon d’Or sebelum ini untuk memenanginya buat kali ketujuh.

Messi pastinya sedar bahawa saigannnya, Lewandowski adalah calon pilihan untuk memenangi anugerah kali ini.

Lewandowski menikmati musim cemerlang bersama Bayern dengan 41 gol sepanjang musim 2020/21 mengatasi rekod Gerd Muller sebelum ini yang dicipta pada 1971/72.

Sementara itu penggempur Liverpool, Mohamed Salah pastinya berbangga dalam senarai 3 teratas. Salah menunjukkan aksi cemerlangnya sekali lagi secara individu pada musim lalu.

Salah yang kini bersama skuad Mesir untuk Piala AFCON sedang mendahului senarai penjaring terbanyak untuk EPL. Dan sedang dalam prestasi terbaik sekali lagi.

Untuk kategori wanita, Sam Kerr antara yang tersenarai selepas membantu skuad wanita Chelsea memenangi Liga Super Wanita dan mara ke final Liga Juara Juara Eropah (W).

Kerr akan dicabar oleh dua pemenang treble bersama Barcelona iaitu Jennifer Hermoso dan Alexia Putellas.

Ketiga tiga nama tersebut sekali lagi bersaing, selepas menjadi finalis 3 akhir untuk Ballon d’Or yang dimenangi Putellas.

Selain daripada 3 calon untuk anugerah utama ini, tumpuan juga tertumpu kepada anugerah lain seperti jurulatih terbaik FIFA Best.

Roberto Mancini mendahului senarai selaku jurulatih yang membawa Itali menjadi juara Eropah.

Sementara anak murid kepada godfather gegenpressing Ralf Rangnick iaitu Thomas Tuchel menjadi calon kedua selepas membantu Chelsea menjuarai Liga Juara Juara Eropah musim lalu.

Berkat pembelajaran Tuchel bersama dengan sifu Rangnick, dia akhirnya berjaya menjadi pengurus yang luar biasa di dunia. Pastinya peminat Chelsea sedar betapa hebatnya Ralf Rangnick dalam membentuk seorang pelajar gegenpressing seperti Tuchel. Sebelum ini seorang lagi murid Rangnick iaitu Klopp pernah memenangi anugerah ini.

Seorang lagi calon ialah Pep Guardiola yang cemerlang membantu Man City merampas semula kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Bagi kategori pengurus Wanita, Emma Hayes (Chelsea), akan berhadapan dengan pengurus baharu England iaitu Sarina Wiegman.

Edouard Mendy, Donnarumma dan Manuel Neuer berebut anugerah penjaga gol terbaik FIFA Best pada edisi kali ini.

Mendy sebelum ini kecewa gagal berada dalam senarai 30 teratas calon Ballon d’Or. Dan kemudian tewas di tangan Donnarumma untuk anugerah penjaga gol terbaik Ballon d’Or.

Jadi siapakah yang bakal memenangi anugerah FIFA Best?

Segalanya akan diketahui pada 17 Januari 2022. Di mana anugerah FIFA Best 2022 akan diadakan dalam majlis secara maya.

BACA:  Messi Kembali Beraksi Dengan Jaringan Gol Penuh Berseni