‘Sama Kuat, Sama Hebat’ – JDT Cemerlang Ikat Kawasaki Frontale Untuk Terus Memimpin Kumpulan I

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengikat Kawasaki Frontale 0-0 dalam aksi perlawanan ketiga peringkat kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu berakhir dengan kedua-dua pasukan gagal untuk memperoleh sebarang gol.

JDT kekal di puncak saingan peringkat kumpulan selepas mengumpul tujuh mata dari tiga perlawanan pertama di peringkat kumpulan.

Kedua-dua pasukan JDT dan Kawasaki Frontale masih lagi belum mencipta sebarang kekalahan musim ini, namun kelab dari Jepun itu sudah mencatatkan dua keputusan seri.

Ulsan Hyundai berada di kedudukan ketiga sementara Guangzhou FC pula kekal berada di kedudukan tercorot selepas mereka muncul menjadi pasukan belasahan di kejohanan ini.

Berbanding dua perlawanan sebelum ini, JDT kali ini sepertinya benar-benar berdepan dengan cabaran yang lebih sulit dan sukar.

Pasukan pelawat lebih dominan sepanjang perlawanan namun harus diakui yang barisan midfield dan pertahanan JDT juga turut pamer aksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Kawasaki Frontale sememangnya agak dominan dari segi penguasaan bola dan permainan, namun dari segi percubaan, JDT lebih bagus.

Pasukan pelawat berjaya mencatatkan enam percubaan dengan empat percubaan tersasar dan dua percubaan mereka dihadang.

Pasukan tuan rumah pula berjaya mencipta lapan percubaan dengan satu percubaan tepat, tiga percubaan tersasar dan empat percubaan mereka dihadang.

Corbin Ong menjadi satu-satunya pemain yang berjaya mencatatkan percubaan tepat dalam perlawanan ini selepas bola rembatan kaki kiri beliau diselamatkan oleh penjaga gol veteran, Jung Sung-ryong.

Johor Darul Ta’zim selepas ini bakal sekali lagi turun bertemu Kawasaki Frontale sebelum bertemu lauk kenduri, Guangzhou FC.

Perlawanan terakhir mereka di peringkat kumpulan adalah aksi bertemu Ulsan Hyundai pada 30 April nanti.

Ketika aksi bertemu Ulsan Hyundai sebelum ini, JDT cemerlang mencatatkan kemenangan 2-1 dan jelas sekali mereka sudah tentu mahu sekali lagi pulang membawa tiga mata.

AFC Champions League: Ulsan Hyundai 1-2 JDT

JDT meneruskan saingan AFC Champions League di kumpulan I untuk perlawanan kedua menentang wakil dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai yang merupakan cabaran sebenar JDT.

Pada perlawanan pembukaan JDT mudah membenam juara 8 kali Chinese Super League, Guangzhou FC yang membariskan skuad muda dengan lima gol tanpa balas.

JDT meneruskan rentak kemenangan bergaya apabila mencatatkan kemenangan kedua di Stadium Sultan Ibrahim dengan menundukkan Ulsan Hyundai dengan jaringan 2-1.

Permainan berlangsung dengan agak santai dan penuh berhati-hati dengan kedua-dua pasukan masih lagi mencari tempo permainan untuk melancarkan serangan.

Ulsan Hyundai terlebih dahulu menguji kubu JDT dan memaksa Izham Tarmizi membuat kerja berat di awal permainan.

Fernando Forestieri membuka tirai jaringan buat JDT selepas 3 minit permainan berlangsung dengan satu rembatan jarak jauh selepas berjaya memenangi bola dari pemain Ulsan Hyundai.

Cantik jaringan Forestieri yang melencongkan bola ke kanan gawang selepas melihat penjaga Ulsan Hyundai, Lim Jong-Eun tidak berada dalam posisi yang betul.

Permainan berlangsung agak seimbang dan kedudukan 1-0 berpihak kepada JDT kekal sehingga tamat separuh masa kedua.

Kebangkitan cuba dilakarkan oleh Ulsan Hyundai apabila Um Won-Sang menyamakan kedudukan pada lapan minit selepas permainan kembali bersambung.

Bergson Da Silva memastikan kemenangan milik JDT dengan gol kemenangan pada minit ke-80 juga dengan satu rembatan padu ketika cuba dihalang dua pemain Ulsan Hyundai.

Walaupun Ulsan Hyundai menguasai 64 peratus penguasaan bola dan mencatatkan 17 percubaan (6 percubaan tepat) berbanding JDT yang mecipta 14 percubaan (5 percubaan tepat) tidak menjamin kemenangan buat pasukan lawan.

Kebimbingan jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung Bo yang dizahirkan oleh sebelum perlawanan tentang ancaman yang bakal dihadirkan oleh Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva bertukar menjadi mimpi ngeri.

Gandingan dua import JDT itu nyata berbisa dengan masing-masing menjaringkan satu gol untuk mengecewakan Ulsan Hyundai.

Tugas getir JDT menentang juara J1 Jepun, Kawasaki Frontale yang diperkuatkan oleh bintang Thailand, Chanatip Songkrasin untuk perlawanan ketiga berakhir dengan keputusan seri.

Kawasaki Frontale telah membelasah Guanzhou FC 8 gol tanpa balas di mana Chanatip Songkrasin telah menjaringkan satu gol.

Ketika aksi bertemu Ulsan Hyundai, mereka sekadar seri 1-1 dan selepas sekadar seri tanpa jaringan bertemu JDT, kelab dari Jepun itu terpaksa akur sekadar berada di kedudukan kedua pada ketika ini.

BACA:  Piala Sumbangsih 2023: JDT Juara Lagi Macam Biasa