Sebab Utama Sancho Enggan Mohon Maaf Didedahkan Orang Dalam MU

Hajat untuk melihat Jadon Sancho kembali menyarung jersi Manchester United kini menjadi semakin sukar selepas pemain itu dikatakan terus enggan memohon maaf kepada pengurus pasukan Erik ten Hag walaupun setelah dipujuk beberapa pemain senior untuk berbuat demikian.

Sancho telah dikenakan tindakan disiplin dengan disingkirkan daripada skuad utama United oleh Ten Hag setelah hubungan kedua-duanya menjadi keruh.

Pemain sayap itu pada mulanya digugurkan daripada skuad menentang Arsenal pada awal September dan Ten Hag menjelaskan tindakan tersebut diambil kerana prestasi pemain itu ketika latihan tidak cukup meyakinkan.

Kenyataan Ten Hag itu bagaimanapun dinafikan oleh Sancho di media sosial dan mendakwa dirinya sudah lama menjadi kambing hitam di Old Trafford.

Ten Hag kemudiannya jelas dengan pendirian bahawa Sancho hanya boleh kembali bersama skuad utama United sekiranya pemain itu tampil memohon maaf atas kenyataan terbukanya itu.

Media Britain I News hasil maklumat dalaman kelab baru-baru ini mendedahkan sebab utama Sancho terus berdegil enggan memohon maaf kepada Ten Hag.

Ini kerana Sancho berpendapat beliau berhak untuk membantah hujah Ten Hag yang mempersoalkan komitmennya ketika latihan.

Sanchi juga percaya jika beliau memohon maaf ini bermakna tindakan Ten Hag secara terbuka mempersoalkan komitmen beliau adalah benar, dan ini membenarkan layanan serupa terhadap dirinya dan pemain lain akan berulang kembali pada masa hadapan.

Laporan I News turut membincangkan kerisauan terhadap masa depan pemain sayap itu.

“Dia adalah pemai  yang hebat. Hakikat itu tidak akan pergi begitu sahaja, Jadi dia boleh menunggu sehingga Januari untuk tawaran dari kelab lain – tatkala impian untuk kembali ke skuad United menjadi semakin sukar.

“Masalahnya kelab berminat juga harus diyakinkan sebelum melakukan bidaan. Bakat sahaja tidak cukup untuk membawa Sancho ke kelab utama lain.

“Semakin lama United menjarakkan diri dengan Sancho, semakin kurang laku pemain itu di pasaran pemain.”

I News turut melaporkan bagaimana sikap Sancho yang sering lambat menghadiri latihan menyebabkan pemain itu tidak dipanggil oleh Gareth Southgate menyertai skuad England.

Untuk rekod kali terakhir pemain ini dipanggil untuk menyertai The Three Lions adalah pada 2021.

United turut dikatakan maklum mengenai masalah tidur Sancho yang gemar bermain permainan video sehingga larut malam.

BACA:  Erik Ten Hag Sudah Ada Pilihan Lain Jika Dipecat