Selepas Mengumumkan Persaraannya Secara Rasmi, Aguero Kini Ditawarkan 4 Jawatan Baru

Sergio Aguero dilaporkan sudah ada empat tawaran kerja yang menanti beliau sebaik beliau mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak kemarin.

Pemain kebangsaan Argentina itu menitiskan air mata ketika sesi sidang media beliau mengumumkan persaraannya itu.

Aguero ketika itu mendedahkan yang beliau mahu mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak atas nasihat dari doktor, kerana masalah jantung yang beliau hadapi pada ketika ini.

“Kesihatan saya perlu diutamakan.”

Jelas Aguero sambil menangis ketika temu bual tersebut.

“Petugas kesihatan telah memberitahu saya yang lebih baik untuk saya berhenti bermain dan sekarang saya meninggalkan Barcelona dan bersara dari dunia bola sepak profesional.”

Ketika aksi terakhir beliau sebagai seorang pemain bola sepak profesional, Aguero terpaksa dikeluarkan ketika beraksi bertemu Alaves kerana mengalami sakit dada dan kesukaran untuk bernafas.

Aguero pada awalnya yakin yang beliau masih boleh terus bermain dan hanya memerlukan rehat untuk tempoh beberapa bulan sahaja.

Walau bagaimanapun, selepas mendapat nasihat dari doktor, beliau akhirnya memutuskan untuk bersara terus dari dunia bola sepak.

Menurut sumber laporan dari media Argentina, Ole, Manchester City bersedia untuk membawa Aguero kembali ke Etihad dan menawarkan kepadanya jawatan sebagai duta khas kelab.

Pihak kelab sudah mengesahkan yang mereka akan membina tugu khas pemenang lima kali gelaran Premier League itu di hadapan Etihad Stadium disamping tugu Vincent Kompany dan David Silva.

Pemain berusia 33 tahun itu merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak kelab dengan menjaringkan 260 gol dari 390 perlawanan.

Antara gol yang paling dikenang oleh peminat adalah gol minit akhir jaringan beliau ketika bertemu QPR yang membantu Man City muncul sebagai Juara saingan Premier League buat pertama kalinya dalam tempoh 44 tahun pada tahun 2012.

MARCA turut melaporkan yang Aguero turut ditawarkan jawatan sebagai salah seorang jurulatih untuk skuad kebangsaan Argentina di bawah kendalian Lionel Scaloni.

Beliau pada ketika ini bakal berehat sebentar bersama keluarganya, dan berkemungkinan akan meneruskan kariernya dalam dunia eSports.

Tambahan pula Aguero juga dilaporkan sudah ditawarkan untuk menjadi salah seorang pundit bersama barisan legenda lain yang kini bertugas di Sky Sports dan BT Sport.

Bersama Barcelona, Aguero berjaya menjaringkan satu gol dari lima penampilan dengan Barcelona sendiri bersetuju untuk membayar penuh gajinya sepanjang musim ini.

Linangan air mata iringi persaraan Aguero

Dunia bola sepak telah kehilangan satu lagi permata berharga apabila bintang bola sepak Argentina dan Manchester City serta Barcelona, Sergio Aguero, telah mengumumkan persaraannya daripada sukan bola sepak.

Aguero terpaksa mengambil keputusan sedemikian selepas dia mengalami masalah kesihatan degupan jantung tidak sekata atau dalam bahasa perubatannya disebut cardiac arrythmia.

Aguero yang baru berusia 33 tahun hanya melakukan lima penampilan buat pasukan Barcelona dek masalah kecederaan dan kesihatan sejak berpindah ke Sepanyol.

Pada 30 Oktober lalu, dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami ketidakselesaan di bahagian dada ketika pasukannya seri 1-1 dengan Alaves.

Untuk rekod, Aguero menamatkan karier bola sepaknya dengan mencatatkan rekod 427 gol dalam 786 perlawanan.

Sidang media pengumuman persaraan Aguero tersebut telah dihadiri ramai peminat serta rakan bola sepak. Antaranya adalah Pep Guardiola yang sanggup terbang ke Barcelona semata-mata untuk bersama Aguero dalam majlis yang penuh syahdu ini.

Aguero jelas seorang pemain yang disayangi oleh ramai peminat dan pemain, sama ada rakan sepasukan ataupun lawan. Menerusi tinjauan kami di Twitter, ramai pemain dan penyokong telah menzahirkan rasa sedih dan hormat mereka di atas persaraan ini yang dirasakan terlalu awal bagi pemain sebaik Aguero.

Bekas rakan sepasukan di Manchester City, Leroy Sane telah menciap;

“Seorang legenda sebenar dalam permainan ini.
“Adalah satu kebanggaan dapat beraksi bersama kamu, Sergio.
“Aku ucapkan selamat maju jaya untuk masa depan kamu.”

Bekas kapten Manchester City yang telah banyak kali menjulang Liga Perdana Inggeris bersama Aguero, Vincent Kompany, turut menciap di akaun rasmi Twitternya.

“Seorang penyerang yang luar biasa telah bersara daripada sukan ini, tetapi juga merupakan seorang rakan sepasukan yang mantap, seorang kawan dan seorang yang berpersonaliti unik. Terima kasih dan salam hormat kepada fenomena sebenar Man City.

“Saya ucapkan yang terbaik buat legenda terbaik.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aguero Dedah Messi Akan Berpindah Kelab Sekali Lagi