Seluruh Stadium Bersorak Ketika Messi Masuk Menggantikan Neymar

Lionel Messi disambut dengan penuh meriah ketika beliau dimasukkan pada aksi babak kedua permainan, dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stade Auguste Delaune awal pagi tadi.

Ia merupakan debut untuk pemain terhebat sepanjang zaman itu, dengan beliau dibawa masuk menggantikan Neymar ketika aksi bertemu Reims.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu telah menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama PSG, selepas beliau secara rasminya meninggalkan kelab kesayangannya Barcelona awal bulan ini.

Beliau telah diberi tepukan yang sangat gemuruh dari 21,000 orang penyokong yang hadir di dalam stadium sejak dari ketika beliau sedang memanaskan badan lagi.

Selepas memanaskan badan, Messi telah dibawa masuk untuk menggantikan Neymar pada minit ke-65 permainan.

Suasana di seluruh stadium tidak kira dari penyokong pasukan tuan rumah mahupun pelawat sangat meriah meraikan debut dari legenda Barcelona itu.

Bahkan ada yang menganggap pertukaran pemain yang dilakukan oleh PSG itu boleh dianggap yang terhebat dalam sejarah kerana melibatkan dua pemain terhebat dunia.

Pemain kebangsaan Argentina itu sebelum ini tidak boleh menyertai skuad utama ketika aksi bertemu Strasbourg dan Brest.

Beliau ketika itu sekadar duduk di tempat duduk penonton bersama beberapa orang rakan sepasukannya yang lain.

Peminat walau bagaimanapun berjaya juga untuk melihat Messi beraksi dalam saingan Ligue 1, dan tidak hairanlah untuk melihat penyokong pasukan lawan turut meraikan detik debut bintang baru PSG itu.

Paris Saint Germain berjaya menewaskan Reims 2-0 selepas Kylian Mbappe cemerlang meledak dua gol dalam perlawanan yang mungkin bakal menjadi aksi terakhirnya bersama PSG.

Para peminat di media sosial turut meraikan detik melihat Messi melakukan debutnya dengan ramai yang merasa sangat teruja.

“Saya seolah bermimpi, Messi kini beraksi dalam saingan Ligue 1, satu perasaan yang sukar untuk saya gambarkan.”

“Yang keluar Neymar, dan yang masuk Messi, ini adalah pertukaran pemain terhebat dalam sejarah dunia bola sepak.”

“Kalaulah Pochettino menyenaraikan Messi, Mbappe dan Neymar dalam kesebelasan utama tentu lebih menarik. Kalau Mbappe pergi selepas ini, setidak-tidaknya kita dah lihat gandingan mereka.”

“Saya tak pernah tengok pemain asing yang datang ke Ligue 1, dan debut dia disambut dengan penuh meriah oleh semua peminat yang ada dalam stadium. Sungguh luar biasa.”

Begitulah komen-komen dari para peminat di media sosial yang mengulas tentang debut Lionel Messi.

Walaupun beliau baru menandatangani perjanjian bersama Paris Saint Germain musim panas ini, Messi dijangka tidak akan mengakhiri kariernya di Parc des Princes.

David Beckham dilaporkan sudah berunding dengan Messi dan mahu membawanya beraksi bersama Inter Miami selepas kontraknya bersama PSG tamat nanti.

Menurut sumber laporan dari Daily Mirror, Messi juga sudah membeli dan menaik taraf sebuah rumah mewah di Miami beberapa minggu lalu.

Pemain berusia 36 tahun itu dijangka mahu memulakan kehidupan baru di Amerika Syarikat selepas tamat kontraknya dan mahu menikmati persaraannya di sana.

Apa lagi selepas mendapat tawaran dari Beckham, maka perancangan Messi untuk menetap di Amerika selepas ini semakin hampir pasti untuk jadi kenyataan.

Messi mungkin akan diturunkan dalam kesebelasan utama PSG ketika aksi bertemu Clermont Foot 63 pada 12 September nanti, selepas rehat antarabangsa.

Para peminat tentunya sudah tidak sabar untuk melihat Messi bergandingan dengan Neymar dan turut berharap agar Kylian Mbappe tidak meninggalkan kelab pada jendela perpindahan musim panas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Neymar Menganjing Cara Argentina Meraikan Kejayaan Menewaskan Itali