Sergio Ramos Dedah Beliau Sebenarnya Tak Mahu Tinggalkan Real Madrid

Sergio Ramos mendedahkan yang beliau sebenarnya tak ada niat untuk meninggalkan kelab, dan tidak tahu bahawa kontraknya akan terus ditamatkan.

Real Madrid baru-baru ini mengesahkan yang ketua pasukan, Sergio Ramos, secara rasminya meninggalkan kelab selepas 16 musim menabur bakti di Santiago Bernaneu.

Ramos selepas beliau sah meninggalkan Real Madrid, beliau secara terbuka telah menolak terus dakwaan yang menyatakan beliau akan sertai dua pasukan dari saingan La Liga.

Masa depan pemain centre-back berusia 35 tahun itu bersama Real Madrid agak samar-samar pada musim lalu, menjelang berakhirnya kontrak beliau pada penghujung bulan ini.

Ramos sebelum ini telah menikmati karier yang cukup membanggakan selama 16 tahun di Santiago Bernaneu, selepas melengkapkan perpindahan bernilai £18.5 juta dari Sevilla pada tahun 2005.

Pemain kebangsaan Sepanyol yang menggantikan Iker Casillas sebagai ketua pasukan Real Madrid pada tahun 2015 itu telah berjaya menjulang lima gelaran La Liga bersama Los Blancos sepanjang kariernya.

Beliau juga berjaya menjulang empat gelaran Champions League, empat gelaran Super Cup dan empat gelaran FIFA Club World Cup.

Beliau boleh dikatakan telah memenangi kesemua Piala yang diimpikan oleh pemain bola sepak profesional sepanjang kariernya bersama Los Blancos.

Namun begitu, jodoh beliau bersama Real tidak kekal lama selepas Ramos secara rasminya telah pun meninggalkan kelab.

Beliau walau bagaimanapun mengakui yang keinginan beliau sebenarnya adalah mahu kekal bersama Real Madrid dan bukannya pergi menyertai pasukan lain.

Ramos yang dilihat agak beremosi ketika sesi sidang media perpisahan antaranya bersama kelab yang turut dihadiri oleh Florentino Perez itu, dilihat menitiskan air matanya di hadapan pihak media.

Beliau terlalu sedih untuk meninggalkan kelab kesayangannya dan menegaskan bahawa dirinya tidak mahu melakukan hal tersebut.

Bekas ketua pasukan Real Madrid itu telah dikaitkan dengan kepulangan semula untuk menyertai bekas kelabnya, Sevilla dan turut menarik minat beberapa kelab lain seperti Paris Saint Germain dan Manchester United.

Ramos walau bagaimanapun telah menegaskan yang beliau tidak akan menyertai Sevilla bahkan ia langsung tak ada dalam perancangannya.

Menurut laporan dari Fabrizio Romano, bekas pemain Sevilla itu turut menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang menyatakan beliau turut dikaitkan dengan Barcelona.

“Saya tak akan sertai Sevilla, ini bukan satu pilihan sama sekali. Barcelona? Mustahil. Kamu tak akan pernah lihat saya bersama dengan Barcelona.”

“Saya masih tak tahu kelab mana yang akan saya sertai. Ketika saya sudah tahu, saya akan jadi orang pertama yang akan beritahu anda semua. Ini bukan masanya untuk bercakap tentang masa depan saya.”

Ramos juga ketika itu menegaskan yang beliau sebenarnya langsung tidak berniat untuk meninggalkan kelab.

Beliau turut mendedahkan yang kelab menawarkan kepadanya kebarang kalian untuk lanjutan kontrak.

Bintang kebangsaan Sepanyol itu mendakwa bahawa beliau mahukan lanjutan dua tahun dalam kontraknya, namun pihak kelab hanya menawarkan satu tahun sahaja ketika sesi rundingan terakhir bersama Madrid.

Walau bagaimanapun, Ramos menyatakan yang beliau dengan tiba-tiba diberitahu bahawa tawaran lanjutan kontrak dari kelab itu sudah tamat.

Ramos mendedahkan yang dirinya agak terkejut mendengar tentang hal tersebut yang mana beliau sama sekali tidak tahu yang tawaran tersebut ada tarikh luputnya.

Bercakap ketika sesi sidang media perpisahannya, Ramos menjelaskan bahawa:

“Perkara pertama yang mahu saya katakan adalah saya tak pernah terfikir untuk meninggalkan kelab. Saya mahu terus kekal di sini.”

“Kelab menawarkan kepada saya kebarang kalian untuk lanjutkan kontrak saya, tapi kerana pandemik ia terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.”

“Kelab tawarkan kepada saya lanjutan kontrak selama satu tahun dengan gaji saya akan dikurangkan. Saya perlu jelaskan yang saya tak ada masalah tentang pengurangan gaji itu. Saya hanya mahukan lanjutan kontrak selama dua tahun dan kebahagiaan untuk saya dan keluarga saya.”

“Ketika perbincangan tersebut, saya terima tawaran setahun, tapi saya telah diberitahu yang tawaran itu sudah tidak laku, kerana ia sudah tamat tempoh, dan saya sendiri tak pernah dengar tentang itu.”

Agak ramai peminat yang kecewa dengan pengurusan Real Madrid yang jelas berlaku tidak adil pada Ramos dengan tidak memberikan beliau lanjutan kontrak selama dua tahun itu.

Apa yang lebih teruk lagi, walaupun beliau sudah bersetuju untuk terima lanjutan selama satu tahun, pihak kelab sesuka hati menutup tawaran tersebut.

Hal seperti ini sebenarnya sudah sering berlaku pada legenda Real Madrid yang kebanyakannya merasakan diri mereka tidak dihargai oleh kelab.

BACA:  PSG Perlu Bayar Pampasan Yang Tinggi Untuk Tamatkan Kontrak Sergio Ramos