Sheikh Jassim Kecewa Sikap Berdiam Diri Glazier

The Guardian melalui satu laporan mendedahkan Sheikh Jassim bin Hamad al-Thani mulai merasa kecewa kerana sikap berdiam diri Glazier berkaitan pengambilalihan Manchester United.

Tawaran terakhir bernilai £6 billion oleh pihak Qatar dipercayai dilakukan pada bulan lalu.

Sejak daripada itu rundingan daripada kedua-dua pihak tidak menunjukkan sebarang kemajuan walaupun rundingan secara eksklusif diberikan kepada wakil Sheikh Jassim.

Lebih memeritkan, Kumpulan Raine – firma kewangan yang menguruskan pengambilalihan – turut tidak memberikan sebarang maklumat dan perkembangan terkini mengenai pendirian keluarga Glazier.

Situasi ini menambahkan lagi kekecewaan Sheikh Jassim yang menyifatkan keluarga Glazier lembab buat kerja.

Sheikh Jassim sebelum ini dilaporkan mahu mendapatkan 100% pegangan di dalam kelab dan perancangan tersebut tidak pernah berubah.

Pesaing kepada jutawan Qatar itu, Sir Jim Ratcliffe yang merupakan pengasas syarikat Ineos pula hanya menawarkan untuk mendapatkan 51% pegangan.

Cadangan daripada Ratcliffe membenarkan keluarga Glazier memiliki 20% pegangan di dalam pegangan kelab – untuk terus menikmati imbuhan dan dividen tahunan.

ESPN dalam satu laporan berasingan berkata pihak daripada Qatar diketuai oleh Sheikh Jassim sememangnya serius untuk melebarkan pengaruh mereka di Premier League.

Selama ini Manchester United dilihat sebagai kelab yang ideal untuk mereka berbuat demikian.

Namun kelewatan proses pengambilalihan disebabkan sikap Glazer turut menguji kesabaran Sheikh Jassim.

Malah Emir dari Qatar itu dikatakan turut tidak teragak-agak untuk membawa pelaburannya ke Tottenham sebagai kelab pilihan kedua – sekiranya pelaburan di Manchester tidak menemui titik penyelesaian.

Pada 16 Jun lalu laporan The Times mendedahkan proses pengambilalihan tidak semudah yang disangka.

Menurut laporan tersebut, pengambilalihan tersebut boleh memakan masa sekitar 8-12 minggu untuk dilengkapkan.

Ini bermakna ia agak mustahil Sheikh Jassim akan diumumkan sebagao pemilik baharu Manchester United sebelum sepak mula musim 2023/23 pada Ogos akan datang.

BACA:  Man Utd Tawarkan Bintang Utama Kelab Kepada Newcastle United