Solskjaer Yakin Man City Tak Mungkin Mampu Atasi United

Ole Gunnar Solskjaer menganjing Manchester City dengan menyatakan yang mereka tidak akan pernah menjadi kelab sehebat Manchester United.

Pengurus dari Norway itu menegaskan yang selamanya, Man City tidak akan mampu menandingi Man Utd sebagai kelab terhebat di bandar Manchester.

Ketika beliau ditanya tentang kebarangkalian City untuk mengatasi United, pengurus dari Norway itu menjelaskan kepada The Mirror bahawa:

“Tak, saya tak nampak itu. Kamu perlu ada rasa hormat atas apa yang telah mereka lakukan sejak 10 tahun terakhir ini, mungkin lebih hebat sejak empat ke lima tahun kebelakangan ini dengan bagaimana mereka dominan di England dan Eropah.”

“Tapi kami Manchester United, kami sentiasa akan melakukan comeback. Saya rasa kami masih kelab nombor satu di Manchester dan itu mungkin sekali dalam dunia.”

Manchester City sudah mendominasi saingan bola sepak Inggeris sejak sedekad lalu dengan The Citizens berjaya memenangi lima gelaran liga sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Mereka juga turut memenangi tiga dari empat musim terakhir ini dan Man City tidak dinafikan lagi merupakan calon kegemaran untuk muncul Juara pada musim ini.

Sementara Man Utd pula, mereka sudah tidak memenangi gelaran liga sejak 2013 lagi, yang mana kali terakhir mereka menang Sir Alex Ferguson masih pengurus kelab.

Agak menyedihkan, ketika United sedang berdepan era kejatuhan, jiran dan juga musuh sebandar mereka, Man City sedang menikmati kebahagiaan.

Skuad kendalian Pep Guardiola merupakan calon kegemaran untuk menewaskan Manchester United dalam perlawanan pada malam ini.

Mereka jelas sekali sedang dalam usaha untuk menebus kekalahan memalukan bertemu Crystal Palace pada hujung minggu lalu.

Man Utd memburu untuk kembali menemui rentak kemenangan

Setan merah memulakan saingan pada musim ini dengan sungguh luar biasa menakjubkan, bahkan mereka turut dianggap calon untuk bergelar Juara.

Walau bagaimanapun, dengan tiba-tiba persembahan mereka merosot dan terpaksa melalui beberapa siri kekalahan baik dalam saingan liga, Champions League mahupun Carabao Cup.

Manchester United tewas kepada Aston Villa dan Leicester City dalam saingan Premier League, sebelum mereka dibantai teruk oleh Liverpool di Old Trafford.

Setan merah kemudiannya berjaya menemui rentak kemenangan mereka semula ketika menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 hujung minggu lalu.

Ajaibnya, kemenangan itu membantu Solskjaer untuk menyingkirkan Antonio Conte dari menjadi calon pengganti beliau, kerana Spurs telah melantik bekas pengurus Inter Milan itu untuk menggantikan Nuno Espirito Santo.

Pengurus dari Portugal itu dipecat oleh Tottenham Hotspur selepas tamat perlawanan tersebut, dengan Solskjaer pula sedang berusaha untuk mendapatkan kepercayaan dari kelab.

Manchester United berjaya mengelak dari ditewaskan oleh Atalanta pada awal minggu ini, selepas Cristiano Ronaldo berjaya meledak dua gol untuk mengikat gergasi Serie A itu dengan keputusan 2-2.

Solskjaer jelas sekali sangat berharap agar beliau mampu untuk memastikan anak-anak buahnya beraksi dengan baik, seterusnya mencatatkan kemenangan bertemu City pada malam ini.

Pengurus dari Norway itu sebelum ini sudah hampir untuk dipecat oleh pimpinan kelab selepas kekalahan memalukan bertemu Liverpool.

Namun dek kerana mendapat sokongan dari Sir Alex Ferguson, pihak kelab bersetuju untuk memberi beliau kesempatan untuk buktikan sesuatu dari tiga perlawanan bertemu Tottenham Hotspur, Atalanta dan Man City.

Satu kemenangan dan satu seri sepertinya belum kuat untuk menjamin masa hadapan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus United, dengan beliau jelas sekali terdesak untuk catat kemenangan dalam perlawanan pada malam ini.

Hanya kemenangan sahaja yang mungkin akan menyelamatkan Ole Gunnar Solskjaer dari dipecat oleh kelab selepas tamat perlawanan bertemu Manchester City.

The Citizens sementara itu sudah mencatatkan dua kekalahan sepanjang musim ini, dengan mereka ketika ini lima mata dibelakang pendahulu saingan liga, Chelsea.

Pep Guardiola jelas sekali mahu merapatkan jurang mata dengan Chelsea, dan hanya kemenangan sahaja yang akan mampu untuk membantu beliau mencapai hasratnya itu.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Manchester United Teruskan Rentak Dengan 7 Kemenangan Berturut-Turut