Stones Kecewa Kehilangan Tempat Dalam Kesebelasan Utama Manchester City

Pemain Manchester City, John Stones mengakui situasi semasa beliau di peringkat kelab adalah agak sukar, selepas hanya bermain dua dari 9 perlawanan terakhir Manchester City.

Ini berikutan keputusan Pep Guardiola untuk menggunakan gandingan Nicholas Otamendi dan Vincent Kompany di jantung pertahanan The Citizens, lantas mengenepikan khidmat Stone kebelakangan ini.

Stones mahu aksi lebih kerap di peringkat kelab, bukan sekadar makan gaji buta

Pemain berusia 23 tahun ini dibawa masuk dari Everton pada tahun 2016 dengan yuran perpindahan sekitar  £47.5 juta. Beliau dianggap pemain yang cocok dengan corak permainan Guardiola yang mahu pemain pertahanannya selesa apabila bola berada di kaki.

Musim 2017/208 menyaksikan anak buah Guardiola mengharungi kempen yang amat memberangsangkan dimana mereka kini selesa mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 16 mata dihadapan pencabar terdekat, Manchester United.

Stone merupakan antara watak penting yang menyumbang kepada prestasi cemerlang City pada permulaan musim sebelum beliau mengalami kecederaan hamstring pada bulan November.

Sekembalinya beliau dari kecederaan tersebut, Stones terpaksa menonton aksi Manchester City dari bangku simpanan kerana Guardiola cenderung menggunakan khidmat kapten pasukan, Vincent Kompany dalam beberapa perlawanan terakhir City.

Gandingan utama City ketika ini. Memang keras dan sukar untuk ditembusi

Ketika bercakap kepada pemberita menjelang perlawanan persahabatan England menentang Itali esok, Stones mengakui situasi semasa beliau di City agak sukar kerana sering diketepikan, tetapi beliau berazam untuk merampas kembali tempat dalam kesebelasan utama.

“Ianya sukar. Setiap pemain mahu bermain setiap minggu. Tetapi perkara yang harus saya lakukan ketika ini adalah terus bekerja keras. Bekerja keras, berlatih dengan kuat dan apabila peluang anda muncul, anda harus menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya.”

“Saya mempunyai sokongan daripada pemain dan juga pengurus. Saya faham dengan situasi yang melanda saya sekarang ini. Apabila pasukan bermain baik dan memenangi perlawanan, anda tidak boleh menjangka anda boleh kembali dalam kesebelasan utama seperti itu sahaja.”

“Ianya sukar untuk hanya menonton aksi pasukan dari bangku simpanan. Tetapi saya sudah berjaya memungut medal pertama saya [Piala Carabao], jadi saya tidak boleh merungut.”

Walaupun tidak bermain dengan kerap bersama Manchester City, Stones masih lagi mendapat kepercayaan pengurus England, Gareth Southgate untuk mengisi salah satu dari 3 posisi pertahanan tengah Three Lions.

Southgate masih menagih khidmat Stones walaupun beliau hanya memanaskan bangku simpanan City

“Gareth Southgate memilih saya kali ini dan  saya perlu menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin apabila saya beraksi di atas padang.”

“Saya berasa tajam dan kembali mendapat rentak asal. Saya mahu meneruskan perasaan ini untuk perlawanan menentang Itali Selasa ini.”

“Sebelum ini kami kerap bermain dengan sistem 4-4-2. Tetapi buat masa sekarang, pasukan ini menggunakan sistem 3 pertahanan dan kami masih mampu bermain dengan baik. Jadi ia bagus untuk dilihat.”

BACA:  Guardiola Berjaga-Jaga Dengan Ancaman Yang Dibawa Vardy