Tak Ada Seorang pun Pemain United Yang Layak Berada Dalam Skuad City

Tidak ada walau seorang pun pemain dari skuad Man Utd yang layak diserap masuk ke skuad utama Manchester City pada ketika ini.

Itulah apa yang diungkapkan oleh Shaun Wright- Phillips yang turut menganggap hanya ada seorang sahaja pemain United ada potensi untuk bermain bersama kelab seperti Man City.

Wright-Phillips menegaskan yang pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes memang tak layak berada dalam skuad Man City pada ketika ini.

Beliau walau bagaimanapun merasakan Anthony Elanga merupakan satu-satunya pemain dari skuad setan merah yang layak untuk berada dalam skuad sehebat Man City.

Beliau percaya hanya bintang muda itu sahaja yang ada kualiti untuk bermain bersama pasukan lebih besar berbanding semua pemain United yang lain.

Ketika ditanya siapa pemain dari skuad Man Utd sekarang yang boleh bersaing merebut tempat dalam skuad utama Pep Guardiola, legenda berusia 40 tahun itu kemudiannya menjawab:

“Tak, tak ada yang betul-betul layak.”

“Saya akan kata yang Ronaldo dah hilang sentuhan yang akan membolehkan dia berada dalam skuad utama City.”

“Saya tak nampak Bruno Fernandes sama seperti dia yang kita nampak pada tahun lalu, jadi sejujurnya, saya tak rasa ada sesiapa yang layak bersaing merebut tempat dalam skuad utama Man City.”

Wright-Phillips kemudiannya bercakap tentang aksi hebat yang dipamerkan oleh Anthony Elanga pada musim ini.

“Seseorang yang mungkin paling hampir untuk ada potensi sekarang adalah Elanga.”

Elanga yang kini baru berusia 19 tahun itu merupakan bintang muda terbaik United pada ketika ini, dengan beliau sangat menyerlah ketika beraksi dalam saingan Champions League dan Premier League.

Beliau pada musim ini telah membuat 15 penampilan dalam semua pertandingan dan turut berjaya menjaringkan tiga gol termasuk gol penting ketika bertemu Atletico Madrid.

Untuk Ronaldo pula, sama seperti apa yang dikatakan oleh Wright-Phillips yang beliau kini semakin hilang sentuhan dengan bintang Portugal itu hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja sepanjang tahun 2022 ini.

Secara keseluruhannya, sejak dari awal beliau kembali sertai Man Utd, Cristiano Ronaldo sudah berjaya menjaringkan 15 gol dari semua pertandingan.

Bruno Fernandes gagal untuk kekalkan tahap persembahan terbaiknya sama seperti musim lalu, dengan beliau nampak agak sendu pada musim ini.

Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini beliau nampak seperti sudah mendapat sentuhan terbaiknya dengan Bruno Fernandes cemerlang menjaringkan gol bertemu Leeds dan turut mencatatkan assists untuk gol Elanga ketika bertemu Atletico Madrid.

Manchester United pada minggu ini akan turun beraksi bertemu Manchester City dalam saingan Premier League dengan kedua-dua pasukan sememangnya terdesak untuk mencatat kemenangan.

United perlu mengutip tiga mata penuh untuk menghidupkan peluang mereka mengakhiri saingan Premier League di kedudukan empat teratas.

Sementara Man City pula mereka terdesak mahu mengutip tiga mata penuh kerana tidak mahu Liverpool memintas mereka dalam perebutan gelaran liga musim ini.

Di atas kertas, Manchester City jelas dianggap calon kegemaran untuk menewaskan skuad setan merah, namun di atas padang tiada siapa tahu apa boleh berlaku.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu baru sahaja dikejutkan dengan kekalahan di tangan Tottenham Hotspur bulan lalu dan tidak mustahil anak-anak buah Ralf Rangnick akan mampu membuat kejutan sama.

Aksi pertama kedua-dua mereka pada musim ini berpihak kepada Manchester City namun skuad setan merah di bawah kendalian Ralf Rangnick masih belum mencatatkan sebarang kekalahan tahun ini.

Siapa yang bakal menang dalam aksi Manchester derby ini masih belum diketahui, namun satu hal yang pasti, kedua-dua pasukan sudah tentu akan pamer aksi terbaik untuk catat kemenangan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sir Alex Ferguson Bakal Kembali Menjadi Pengurus Manchester United !