“Tak Mahu Soalan Tentang Man Utd”- Media Inggeris Diharamkan Sertai Sidang Media Bersama Ten Hag

Ajax mengharamkan media Inggeris dari menghadiri sesi sidang media bersama pengurus kelab, Erik Ten Hag bagi mengelakkan ada soalan tentang Manchester United.

Ten Hag yang kini berusia 52 tahun itu dijangka bakal dilantik menjadi pengurus tetap Manchester United bagi menggantikan pengurus interim, Ralf Rangnick.

Beliau dikatakan sudah hampir pasti untuk menerima tawaran tersebut dan kini hanya menunggu masa sesuai sahaja untuk pengumuman rasmi dibuat.

Manchester United ketika ini sedang berunding dengan Ajax untuk mendapatkan tandatangan Erik Ten Hag pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Juara bertahan saingan bola sepak Belanda itu dilaporkan bakal menerima £1.6 juta dari Manchester United sebagai yuran perpindahan Erik Ten Hag.

Pengurus Paris Saint Germain, Mauricio Pochettino turut sama dikaitkan dengan bakal dilantik menjadi pengurus Man Utd, namun pimpinan kelab telah memutuskan untuk melantik Erik Ten Hag.

Pengurus Ajax itu dikatakan merupakan calon terbaik untuk pihak kelab berhenti usaha mencari pengurus tetap selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada November lalu.

Urusan perpindahan Ten Hag ke Old Trafford dijangka akan berjaya dimuktamadkan sebelum tamat musim ini dengan pengurus dari Belanda itu akan memulakan tugasnya pada musim panas nanti.

Ralf Rangnick sementara itu bakal menggalas tugas baru selepas kontrak enam bulan beliau sebagai pengurus interim tamat dengan beliau selepas ini akan menjadi penasihat kelab.

Walau bagaimanapun, Ten Hag pada ketika ini masih lagi menggalas tugas sebagai pengurus Ajax dengan beliau selepas ini akan membawa anak-anak buahnya beraksi bertemu Sparta Rotterdam.

Ajax turun dalam perlawanan tersebut dengan mereka ketika ini sedang memimpin carta saingan Eredivisie dengan kelebihan empat mata mengatasi PSV.

Ajax walau bagaimanapun telah menegaskan yang media Inggeris tidak dibenarkan sama sekali untuk hadir ke sesi sidang media bersama Ten Hag minggu ini.

Pimpinan kelab tidak mahu tumpuan Ten Hag terjejas dengan mereka kini sedang dalam usaha mahu memenangi gelaran liga ketiga berturut-turut.

Wartawan Sky Sports News, Gary Cotterill melaporkan bahawa:

“Dengan Ten Hag sedang mempersiapkan skuadnya untuk bertemu Sparta Rotterdam, pihak media di sana juga sedang sibuk menolak permohonan dari media Inggeris yang mahu menghadiri sesi sidang media itu. Tidak ada radio, akhbar, tidak ada Sky Sports News.”

“Mereka tak mahu dia ditanya oleh media Inggeris tentang Manchester United. Bahasa Inggeris dia pun belum cukup bagus.”

“Ajax menegaskan yang mereka mahu dia beri tumpuan untuk memenangi satu lagi gelaran Eredivisie. Mereka sedang bersaing untuk hal itu dengan mereka kini hanya empat mata sahaja mendahului PSV dengan berbaki enam perlawanan sebelum tamat musim ini.”

“Agak membimbangkan untuk melihat dia tak mahu terlibat dengan sidang media bahasa Inggeris esok kerana mungkin dia tak mahu menjawab soalan susah.”

“Tapi andai dia mahu menjadi pengurus Manchester United, maka dia perlu biasakan diri untuk jawab soalan mengelirukan berkali-kali, kadang kala tiga ke empat kali seminggu.”

“Ia adalah satu hal yang perlu penyokong Manchester United risaukan pada ketika ini.”

Setan merah sementara itu pada ketika artikel ini ditulis mereka sedang ketinggalan 1-0 bertemu Everton di Goodison Park.

Dengan Ralf Rangnick sendiri turut tidak mahu bercakap tentang Erik Ten Hag ketika beliau ditanya hal sama dalam sesi sidang media sebelum perlawanan hari ini.

“Sidang media ini adalah untuk perlawanan esok dan saya tak berhasrat mahu bercakap tentang kebarangkalian pengurus baru di sini.”

Jelas Ralf Rangnick ketika sesi sidang media sebelum perlawanan bertemu Everton semalam.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Rashford Kongsi Kejadian Selepas Dimalukan Liverpool Dan Hukuman Erik Ten Hag