“Tak Payah Tunggu Sampai 2 Tahun”- Guardiola Mahu 115 Dakwaan Salah Laku City Diselesaikan 24 Jam

Pep Guardiola berharap kesemua 115 dakwaan mengenai salah laku kewangan oleh Ptemier League terhadap kelab itu boleh diselesaikan segera.

Pada Februari lalu City didakwa melanggar peraturan kewangan liga dari 2009 sehingga 2018. Kelab itu turut didakwa enggan memberikan kerjasama terhadap siasatan yang dimulakan sejak Disember lalu.

City menafikan sebarang salah laku dan percaya penafian tersebut turut memiliki bukti yang kukuh. Kerana itu kelab itu berharap kes itu boleh diselesaikan segera agar tidak diungkit lagi di kemudian hari.

Sebelum ini Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) pernah membatalkan hukuman pergantungan daripada beraksi di pertandingan eropah selama dua tahun oleh UEFA kerana FFP, dan ketika itu City sekadar didenda 10 juta euro kerana menghalang siasatan.

Walaupun dikatakan kelab itu kini sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Premier League untuk membantu siasatan, City kekal berdiam diri mengenai perkhabaran mereka telah mencabar dakwaan salah laku tersebut secara perundangan.

City bertindak mencabar kes tersebut kerana salah seorang anggota siasatan, Murray Rosen KC adalah seorang penyokong dan pemegang tiket bermusim Arsenal.

Bercakap kepada media sebelum perlawanan menentang Brighton, Guardiola yang membantu kelab itu menjuarai kejuaraan Premier League kelima dari enam musim dan yang ketiga berturut-turut berkata:

“Apa yang saya mahu lihat ialah sekiranya Premier League dan hakim mampu bertindak secepat mungkin.

“Dan jika kami telah melakukan kesalahan, biarlah satu dunia tahu. Tetapi sekiranya kami tidak melakukan sebarang kesalahan seperti yang kami percaya selama ini, biarlah setiap orang berhenti bercakap mengenainya.

“Kalau boleh kami mahukan keputusan segera [terhadap dakwaan]. Mungkin tengah hari ini lagi bagus daripada menunggu sehingga esok.

“Harapnya mereka tidak sibuk dan hakim boleh bertemu sesama mereka untuk memutuskan yang terbaik. Kerana akhirnya saya percaya kami telah memenangi [kejuaraan] di dalam padang, dan saya tidak pernah ragu mengenai perkara itu.

“Ayuh. Tak payah tunggu sampai dua tahun. Kenapa tidak percepatkan. 24 jam seterusnya duduklah bersama peguam yang hadir. Selesaikan isu ini segera demi kebaikkan semua pihak.

Pihak pengurusan City sebenarnya tidak menjangka Guardiola akan bercakap mengenai isu tersebut di sidang media sebelum perlawanan pada Selasa. Namun kehendak Guardiola itu tidak akan mampu dilakukan kerana kes tersebut dianggap kompleks.

Musim ini skuad bimbingan Guardiola berpeluang meraih kejuaraan treble selepas turut berjaya mara ke final Piala FA dan Champions League.

Di dalam sejarah bola sepak Inggeris hanya Manchester United yang pernah membolot semua kejuaraan utama itu pada musim 1998/99.

Jurulatih dari Catalan itu memiliki kontrak sehingga 2025 untuk kekal di City dan menegaskan beliau tidak akan meninggalkan kelab itu tatkala kes tersebut belum diselesaikan.

“Saya akan kekal pada musim hadapan walaupun ada 115 dakwaan terhadap kami. Jangan risau, saya akan ada di sini.

“Saya mahu kekal di sini pada musim hadapan tanpa dipengaruhi oleh keputusan dakwaan. Saya tidak tahu bagaimanakah perasaan menang atau kalah [kes tersebut], tetapi saya memiliki kontrak dan perlu menghormati kelab ini.”

BACA:  Guardiola Beri Petanda Akan Kembali Dapatkan Mahrez Musim Panas Nanti