Ten Hag Mahu Jadikan Manchester United ‘Pasukan Transisi’ Paling Handal Di Dunia

Manchester United mempunyai satu sasaran jelas untuk musim 2023-24. Erik Ten Hag semakin serius melihat kualiti pemain yang dimiliki dan apa yang boleh dilakukan dengannya. Dia memutuskan untuk membina sebuah pasukan-transisi terbaik di dunia.

Persoalan pertama, apa itu pasukan-transisi dan bagaimana dia mahu membinanya?

Transisi adalah peralihan dari bertahan kepada menyerang atau dari menyerang kepada bertahan. Untuk yang pertama Ten Hag menggambarkannya lebih dari sekadar counter attack. Dia sedang mencari superioriti dalam fasa menyerang dan bertahan.

Ten Hag mahu pasukannya menjaringkan gol sepantas mungkin selepas mendapat bola, berdisiplin dalam bertahan dan berdaya-tahan terhadap segala jenis ancaman.

Pada kebiasaanya pasukan yang hebat dalam transisi boleh dilihat melalui 4 perkara ini; Pertama, apa yang mereka lakukan ketika menguasai bola. Kedua, bentuk mereka ketika tanpa-bola. Ketiga, bagaimana mereka bertinda-balas selepas kehilangan bola. Keempat, bsgaimana mereka mahu merampas semula bola itu.

Persoalan kedua, kenapa Ten Hag mahu pasukan bermain dengan cara ini?

Kerana pemain yang dimiliki pasukan ini mampu melakukannya dan kerana ia adalah cara terbaik untuk mengalahkan pasukan handalan Eropah yang cenderung melakukan high pressing dan meninggalkan ruang di belakang pertahanannya. Dengan transisi pantas, ruang dibelakang pasukan lawan boleh dieksploitasikan.

Selepas perlawanan menentang Borussia Dortmund, Ten Hag memutuskan bahawa transisi adalah permainan yang sesuai dengan pasukannya. Dia tahu, untuk mendapatkan transisi baik pasukan perlu mempunyai pressing yang baik.

Idea ini bukan lah datang dari pemerhatian Ten Hag ketika di United sahaja tetapi ia merupakan gabungan pengalamannya di Go Ahead Eagles, FC Utrecht, pasukan simpanan Bayern Munich dan Ajax Amsterdam.

Ten Hag merupakan seorang pengurus yang sedikit berbeza dengan kebanyakan pengurus lain, dimana mereka lebih menekankan faedah secara kolektif melalui positional play. Sedangkan pengurus dari Belanda itu pula memberi lebih kebebasan kepada pemain serangan untuk menjadi diri mereka sendiri.

Pemain tahu Ten Hag mahu mereka berani membuat keputusan sendiri dan cepat berkoloborasi dengan rakan sepasukan lain dan kuncinya adalah kepantasan.

Persoalan ketiga, jika United menekan permainan transisi apa keburukan yang boleh berlaku?

Merujuk semula dengan 4 perkara diatas tadi, pada kebiasaanya United tidak akan kalah jika mereka lebih baik dalam 2 dari 4 kriteria itu dan mereka akan menang jika mendominasi 3 dari 4 kriteria tersebut.

Kemudian merujuk kepada keputusan buruk yang dialami United pada musim 2022-23, ia berlaku kerana kegagalan teruk mereka dalam mana-mana 4 kriteria tersebut. Berikut adalah 3 contoh,

1. United tidak teratur atau cuai ketika dengan-bola dan ia berakhir dengan serangan yang mengecewakan. Pada musim lepas Marcus Rashford mempunyai tempoh cemerlang dalam kariernya tetapi secara keseluruhan pasukan itu terlalu membazir peluang untuk menjaringkan gol yang menyebabkan kreativiti Bruno Fernandes tidak dapat dipenuhi.

2. Shape teruk ketika tanpa-bola dan masalah ini dimanfaatkan sepenuh oleh Manchester City untuk membelasah mereka 6-3. Cara United bertahan tidak kompak dan ia memudahkan runner pasukan lawan tiba lewat di sekitar kotak penaltinya. Keadaan ini juga berlaku ketika mereka tewas kepada Liverpool 0-7. Pemain lambat memberi tindakbalas selepas hilang-bola, lambat berundur, lambat untuk melakukan terjahan mematahkan gerakan lawan dan intensiti pasukan terlalu rendah.

3. Dalam tempoh Januari sehingga Mac, pressing dan counter pressing United masih baik namun selepas itu ia mula menurun akibat masalah kecederaan dan keletihan. Pasukan mula hilang agresif dan gagal untuk memenangi semula bola. Ia memberi kebebasan besar kepada lawan untuk melakukan serangan.

Terdapat elemen risk and reward dalam permainan transisi kerana ia akan mengorbankan tahap kawalan permainan kerana pasukan mahu melakukan kejutan dalam serangan melalui kepantasan.

Apabila United terlalu komited untuk cuba menjaringkan gol, mereka juga terdedah untuk kehilangan bola dan meletakkan diri mereka terdedah kepada serangan balas dari pasukan lawan.

Dalam menjayakannya United perlu berbelanja besar untuk mendapat pasukan-transisi hebat. Mereka memerlukan penjaga gol yang selesa bermain dengan bola, pertahanan mantap untuk mengalihkan bola dari kawasan bawah, bek-sayap yang agresif, pemain-sayap yang boleh mencipta peluang dan menjaringkan gol, penyerang-tengah yang klinikal dan pemain-tengah yang boleh membina permainan ini.

Sehingga hari ini United telah berbelanja sebanyak £330 juta untuk melaksanakan pelan permainan yang mahu dipersembahkan oleh Ten Hag itu. Angka perbelanjaan tersebut akan terus meningkat sehingga ia siap sepenuhnya.

Persoalan keempat, dimana tahap United ketika ini dalam pembinaan pasukan-transisi.

Tiada pasukan yang lebih banyak melakukan direct attack berbanding United dan tiada pasukan yang lebih banyak melakukan percubaan yang berpunca dari direct attack.

Pada musim lepas, United mencatat 102 kali direct attack diikuti Newcastle 95 kali dan Liverpool 85 kali. United mencetak 9 gol dari direct attack diikuti Liverpool 7 gol, Aston Villa dan Everton 6 gol.

Dalam kalangan kelab Eropah hanya Real Madrid mengatasi angka United. Real mencatat 104 direct attack dan mereka merekod 12 gol dari serangan jenis itu. Ia banyak dicetuskan oleh Vinicius Junior yang menerima long passes sebelum meluru ke gawang pasukan lawan. Inter Milan, Villareal dan Paris Saint Germain antara pasukan yang efisyen dengan direct attack.

Untuk muncul sebagai pasukan-transisi terbaik, United perlu mahir memenangi bola di kawasan lain sebelum meluru ke arah gawang dengan pantas. Ten Hag telah berusaha memperbaiki pressing dan counter pressing sebelum perlawanan akhir Piala FA.

Pada musim lalu United merupakan presser lebih baik berbanding musim-musim sebelumnya, pasukan ini jarang membenarkan pasukan lawan melakukan hantaran sesama mereka lebih dari 12 kali sebelum pemain United menghentikannya melalui terjahan atau kekasaran.

Sekali lagi apabila dibandingkan dengan 4 musim kebelakangannya, musim lepas United paling banyak memenangi bola di kawasan lawan. Pasukan Ten Hag bukan sahaja bertambah baik dalam melakukan direct attack dari kawasannya sendiri malah semakin mampu memenangi bola dalam kawasan lawan.

Dengan semua ini ia bermakna United berada di landasan betul untuk menjadi sebuah pasukan-transisi terbaik di dunia.

Persoalan kelima, dimana tahap transisi menyerang kepada bertahan?

Pemain United sedang dilatih untuk melakukan pressing dan cuba memenangi semula bola secepat mungkin selepas kehilangannya. Jika percubaan counter pressing secara kolektif mereka tidak berhasil, pemain United perlu berundur ke dalam bentuk 4-4-2, memampatkan ruang antara barisan-tengah dan pertahanan untuk menyukarkan pemain lawan merentasinya.

Segitiga Lisandro Martinez, Raphael Varane dan Casemiro merupakan komponen penting. United menjadi lemah dalam transisi bertahan jika salah seorang daripada pemain itu tidak bermain. Pasukan lawan lebih mudah untuk menembusi teras United.

Walaupun transisi bertahan kepada menyerang berada di landasan betul namun transisi menyerang kepada bertahan United masih lemah. Rekod keputusan bertemu pasukan atasan terutamanya di gelanggang lawan menjadi bukti.

Jika mereka kehilangan bola ketika menyerang, mereka tergamam dan lambat untuk menukar kepada bentuk bertahan. Dengan pasukan atasan, pasukan lawan mempunyai cukup kepantasan dan mereka menggunakan kesempatan itu sebelum United sempat memulihkan keadaan.

Peminat United mungkin tidak begitu gemar dengan Anthony terutama sumbangan menyerangnya tetapi Antony merupakan pemain penting jika pasukan bermain tanpa-bola atau hilang-bola. Dia boleh dipercayai untuk menjejak pemain dan melakukan pressing dibahagian hadapan.

Secara ringkasnya transisi bertahan kepada menyerang dan menyerang kepada bertahan boleh digambarkan seperti ini; mereka turun berperang dengan sebilah pedang baik di tangan kanan dan sebuah perisai kemek di tangan kiri.

Persoalan terakhir, berapa banyak lagi United perlu lakukan untuk menjadi sebuah pasukan-transisi terbaik dunia?

Kekuatan United untuk melakukan transisi bergantung kepada beberapa pemain utamanya seperti Martinez, Varane, Casemiro, Fernandes, Rashford, dan juga Antony. United telah menambah kumpulan ini melalui 3 pemain yang baharu dibelinya pada jendela perpindahan kali ini.

Keupayaan Andre Onana melakukan hantaran panjang mampu meningkat direct attack pasukan. Dia juga akan menjadi aset penting dalam melakukan pressing untuk menghalang hantaran panjang pihak lawan.

Ketika menentang Leeds United, beberapa gambaran boleh dilihat bagaimana tenaga Mason Mount boleh mencipta detik transisi dari bahagian-tengah.

Seperti contoh gambar dibawah, United membina bentuk padat dengan Jason Sancho mahu melakukan pressing di bahagian paling atas ketika Leeds mahu membina serangan dari situ.

Larian Sancho berjaya menutup satu passing lane, meninggalkan Liam Cooper dengan hantaran yang jelas untuk bermain ke hadapan. Liam Cooper hanya mempunyai 1 pilihan untuk melakukan hantaran ke atas namun pilihan itu ditekan dengan baik oleh Aaron Wan Bissaka.

Cooper tiada pilihan lain lagi selain menghantarnya semula kepada Mullen tetapi Mount sudah berada disana untuk melakukan tekanan dia berjaya memenangi bola. Walaupun gerakan itu berakhir dengan 1 percubaan tersasar tetapi usaha secara kolektif dan keberanian Mount telah menghasilkan transisi kejutan.

Kehadiran Rasmus Hojlund juga menepati apa yang mahu dilakukan oleh Ten Hag. Penyerang ini mempunyai kepantasa sekitar 11 saat untuk larian sejauh 100 meter. Hojlund dan Rashford bakal menjadi ancaman besar melalui serangan balas pantas, selain bertindak sebagai presser dan target man.

Penutup

Ten Hag tidak mempunyai masalah dengan kesebelasan utamanya tetapi dia perlu memperbaiki set pemain simpanannya. Perisai United pula perlu sama kuat dengan pedangnya.

BACA:  Sambutlah Kekalahan Manchester United Melalui Budaya Bola Sepak Matang & Sejahtera Menerusi BBMS