Terlalu Cepat ‘Koyak’ Dikatakan Punca Bruno Dibenci Rakan Sepasukan

Bintang Manchester United, Bruno Fernandes telah diberitahu yang rakan sepasukannya mungkin ada masalah dengan tingkah laku beliau di atas padang.

Fernandes berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi terikat 2-2 bertemu Aston Villa dalam saingan Premier League hujung minggu lalu.

Pemain kebangsaan Portugal itu terkenal dengan sikapnya yang cepat koyak dan tidak akan mampu menyembunyikan rasa kecewanya di atas padang.

Menurut bekas bintang Manchester United, Paul Parker, tindakan Bruno Fernandes itu sedikit sebanyak akan memberi kesan tidak baik terhadap pandangan rakan sepasukannya terhadap beliau sendiri.

“Saya selalu bimbang dengan Bruno Fernandes.”

Jelas Parker kepada Talk Of The Devil’s.

“Hanya melihat dia dan cara bagaimana dia melepaskan kemarahannya di atas padang, saya yakin ada pemain dalam skuad yang tidak suka dengan dia dan tindakan dia di atas padang.”

“Dia terlalu mengambil tahu tentang segalanya. Dia lakukan terjahan yang keras dan kemudian dia minta orang untuk kembali bangun. Bila dia kena tackle dia akan berguling-guling, dan dia mahu menunjukkan dia terlalu sakit.”

Pemain berusia 27 tahun itu sememangnya memiliki semangat yang sungguh menakjubkan di atas padang dan beliau akan lakukan apa sahaja untuk mencatatkan kemenangan.

Hal itu menyebabkan beliau menjadi antara pemain paling disayangi oleh peminat sejak dari awal beliau ditandatangani oleh kelab.

Statistik membuktikan yang Bruno Fernandes merupakan antara pemain terbaik dalam saingan Premier League sejak dua musim kebelakangan ini.

Parker sempat berfikir yang ada satu insiden melibatkan pemain penyerang Aston Villa, Ollie Watkins yang telah menunjukkan sisi negatif dalam permainan Bruno Fernandes.

Paul Parker dalam kenyataannya beliau menyatakan bahawa:

“Watkins cuba bantu dia pada hari tu. Dia budak yang baik, saya tak rasa dia ada niat tak baik.”

“Dia rasa yang dia tak ada buat apa-apa dan dia cuba angkat Bruno, dia langsung tak biadap tapi Bruno tolak lengan dia hingga kena muka dia dan itu sebenarnya sangat biadap.”

Dua gol jaringan Fernandes di Villa Park menjadikan beliau kini sudah menjaringkan tujuh gol untuk setan merah sepanjang musim ini.

Beliau pada dua musim sebelum ini berjaya menjaringkan 27 dan 28 gol untuk setan merah dari semua pertandingan sepanjang musim tersebut.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa Fernandes bersama ejennya telah menolak untuk menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Kontrak semasa beliau bersama setan merah dijangka akan tamat pada musim panas 2025 nanti dan United masih mempunyai masa yang panjang untuk memastikan beliau menandatangani kontrak baru di Old Trafford.

Dek kerana itulah United sedikit bertenang berdepan situasi ini kerana kontrak Fernandes masih panjang dan mereka ada masa yang banyak.

Namun Parker jelas sekali tidak gembira dengan hal itu dengan beliau menyatakan bahawa:

“Tidak ada sesiapa di sana yang mahukan dia. United bersungguh menjaga dia. Saya boleh faham mengapa kelab lain tidak berusaha mengejar dia, saya rasa ada masalah tentang peribadi dia yang mungkin menyebabkan kelab lain tak berminat.”

Jadon Sancho, Raphael Varane dan Cristiano Ronaldo merupakan penandatanganan terbaru kelab selepas setan merah pada musim lalu berjaya mengakhiri saingan Premier League di kedudukan kedua.

Walau mereka berjaya membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi pada musim ini, namun sepertinya ia gagal untuk membuahkan hasil.

Setan merah memulakan kempen pada musim ini dengan sangat teruk dengan mereka turut berdepan dengan beberapa siri kekalahan yang sungguh mengaibkan.

Dek kerana aksi mereka yang terlalu teruk, pihak kelab terpaksa memutuskan untuk memecat pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer pada November lalu.

United kemudiannya melantik Ralf Rangnick untuk menjadi pengurus interim kelab sehingga akhir musim ini, namun hal itu juga dilihat tidak begitu membantu.

Malang untuk United, kehadiran Ralf Rangnick juga sepertinya gagal untuk mengubah apa-apa dengan mereka masih melalui kempen musim ini dengan sangat teruk.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bruno Fermandes Meminta Man Utd Menandatangani Rakan Senegaranya