Teruja Melihat Kehebatan McGregor, Ramos Pernah Mengajaknya Sertai Sesi Latihan Bersama

Sergio Ramos pernah mengundang Conor McGregor untuk berlatih bersamanya ketika beliau masih lagi di Santiago Bernabeu.

Terlalu teruja melihat kemampuan dan skill bola sepak Conor McGregor, Sergio Ramos segera mengundang beliau untuk sertai sesi latihan bersama skuad Real Madrid.

McGregor sememangnya pernah aktif bermain bola sepak dan beliau dikenali sebagai mesin pencetak gol ketika kariernya dalam saingan Sunday League.

Beliau kemudiannya memuat naik video di laman media sosial untuk mempamerkan aksi dan kemampuan beliau bermain bola sepak.

Beliau menunjukkan kemampuan kaki kirinya yang sungguh menakjubkan hingga menyebabkan Sergio Ramos teruja dan terpukau melihatnya.

Rakaman tersebut menunjukkan yang bintang UFC itu meledak gol dengan menggunakan kaki kirinya, dengan pertarung dari Ireland itu turut menyeru nama Sergio Ramos pada muat naik tersebut untuk meminta legenda Sepanyol itu memberi komen ke atas teknik yang beliau persembahkan.

Di Instagram, beliau menulis:

“Apa kamu rasa (Sergio Ramos)?”

Ramos yang sebelum ini turut pernah menggunakan teknik Conor McGregor sebagai gaya keraian beliau turut memuji kehebatan yang dipersembahkan oleh The Notorious itu.

Pemain pertahanan veteran Sepanyol itu menulis:

“Sungguh kelas, sertai sesi latihan di Real Madrid? Lebih dari dijemput untuk sertai kami pada bila-bila masa.”

Itu bukanlah kali pertama Conor McGregor dan Sergio Ramos berinteraksi di media sosial berkait hal bola sepak.

Kedua-dua mereka sebelum ini sering saling berkongsi muat naik masing-masing dan boleh dikatakan mereka juga rajin berbalas komen di media sosial.

Sergio Ramos turut pernah menggunakan gaya keraian ‘Billi Strut’ ketika beliau menjaringkan gol yang sungguh cantik dan semua tahu keraian itu ditujukan kepada Sergio Ramos.

Sergio Ramos sepatutnya hadir ke acara UFC 264 untuk menonton aksi pertarungan antara Conor McGregor bertemu Dustin Poirier, namun dek kerana beliau perlu menyelesaikan urusan perpindahannya menyertai PSG, maka beliau tidak dapat menghadirkan diri.

Bercakap kepada UFC Embedded menjelang pertarungan tersebut, McGregor menjelaskan bahawa:

“Dia mesej saya hari ini yang mengatakan bahawa dia akan sertai kelab baru.”

Malang untuk McGregor beliau tewas dalam perlawanan tersebut dan turut ditimpa kecederaan yang sangat teruk di bahagian kakinya.

Sehingga hari ini, beliau masih belum terlibat dengan sebarang perlawanan, dengan McGregor masih lagi sedang menjalani sesi pemulihan.

Conor McGregor dilaporkan mahu mengajak Dustin Poirier untuk sekali lagi bertarung dengannya, namun hal itu sepertinya tidak mungkin akan berlaku.

Antara individu yang paling terdesak mahu bertarung dengan Conor McGregor adalah adik beradik Paul yang sanggup memberi bintang UFC itu berapa saja asal sudi bertarung dengannya.

Pertarungan itu juga berkemungkinan tidak akan berlaku memandangkan Dana White tidak mahu melepaskan pertarungnya yang masih ada kontrak untuk beraksi bertemu adik beradik Paul.

Sergio Ramos sementara itu turut berehat panjang sejak ditandatangani oleh Paris Saint Germain pada musim panas lalu dek kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Beliau kemudiannya sudah cergas sepenuhnya dan sudah mula diturunkan untuk beraksi bersama skuad utama PSG.

Ramos selepas ini akan turun beraksi bekas kelabnya, Real Madrid di Santiago Bernabeu dalam aksi di pusingan 16 terbaik saingan Champions League.

Walau terlalu sayang kepada bekas kelabnya itu, namun Ramos sudah berikrar yang beliau akan melakukan yang terbaik untuk membantu Paris Saint Germain mara lebih jauh di kejohanan tersebut.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Messi Marah Selepas Dipakuk Sergio Ramos Dalam Latihan