‘The End Of An Era’: Video Yang Memperlihatkan Kejayaan Messi Bersama Barcelona

Lionel Messi telah sah meninggalkan Barcelona dan kini tular satu video kompilasi kejayaan dan kehebatan bintang Argentina itu sepanjang kariernya di Nou Camp.

@LSComps telah menghasilkan sebuah video menghargai kejayaan Lionel Messi sepanjang beraksi bersama Barcelona dan ia sangat menarik untuk disaksikan.

@LSComps sememangnya terkenal kerana mereka sering menghasilkan video rangkuman yang sangat menarik dalam dunia bola sepak ini.

‘End of an Era- The Story’ merupakan tajuk untuk video yang berdurasi selama 10 minit itu, dan jujurnya ia sangat menarik untuk ditonton dari awal hingga ke penghujungnya.

Ia benar-benar merupakan video yang sangat menakjubkan dan telah merangkumkan segala kejayaan serta kehebatan Messi sepanjang beraksi bersama Barcelona.

Yang mana beliau telah mengubah sepenuhnya corak permainan Barca dan tidak dinafikan Messi telah melalui karier yang sungguh istimewa bersama gergasi Catalan itu.

Messi mula bermain bersama sebuah kelab di tempat kelahirannya, Newell’s Old Boys sebelum berpindah ke Barcelona di usia 13 tahun.

Beliau tiba di Barca pada September tahun 2000 dan dengan segera berjaya mencuri perhatian ramai dengan bakat dan kemampuannya bermain bola sepak.

Messi dijanjikan kontrak ketika beliau dan keluarganya kembali ke Argentina, namun keputusan sama ada Barca mahu atau tidak menandatangani pemain muda dari Rosario itu hanya diumumkan pada Disember tahun sama.

Beberapa orang pegawai Barcelona dan mereka-mereka yang terlibat dengan kelab telah menikmati makan tengah hari bersama beliau pada ketika itu.

Messi hanya menandatangani kontrak di atas tisu kertas sahaja dan kini ia menjadi dokumen paling penting dalam sejarah bola sepak.

Presiden Barcelona pada ketika itu, Joan Gaspart agak ragu-ragu tentang penandatanganan Messi, namun Carlos Rexach memutuskan untuk terus mendapatkan pemain Argentina itu.

Beliau bersama tiga lagi ahli pengarah yang hadir turut menandatangani kontrak perjanjian tersebut yang hanya menggunakan tisu kerana mereka tidak mempunyai kertas pada ketika itu.

“Di Barcelona, pada 14 Disember tahun 2000 dan dihadapan lembaga pengarah. Minguella dan Horacio, Carlos Rexach, setiausaha teknikal Barcelona komited di bawah tanggungjawab dan walaupun ada pendapat yang menentang penandatanganan Lionel Messi, asalkan jumlah yang bersetuju lebih ramai.”

Messi kemudiannya sangat bersinar bersama skuad remaja Barcelona dan terus melakukan debutnya bersama skuad utama ketika aksi bertemu Espanyol pada Oktober 2004.

Gol pertama jaringan beliau adalah hasil bantuan dari Ronaldinho pada Mei 2005 dan selepas dari itu Messi terus menerus meledak gol untuk Barcelona.

Penyokong Barcelona jelas tidak bersedia untuk kehilangan Messi

Dari 778 perlawanan untuk kelab, Messi telah berjaya menjaringkan 672 gol dan turut mencatatkan 305 assists. Beliau turut berjaya memecahkan segala rekod yang ada untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.

Beliau berjaya membantu Barcelona memenangi 35 Piala utama, termasuklah 10 gelaran La Liga dan empat gelaran Champions League.

Pemain kebangsaan Argentina itu turut memenangi pelbagai anugerah peribadi bersama Barcelona termasuklah enam kali gelaran Ballon D’or.

Beliau merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Barcelona dan pemain terbaik sepanjang zaman kelab, bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan yang Messi juga merupakan pemain terhebat sepanjang zaman dalam dunia bola sepak.

Melihat bagaimana beliau menggelecek pemain lawan, melakukan hantaran cantik, merembat padu, sepakan percumanya yang menakjubkan cukup untuk meletakkan beliau sebagai yang terbaik dari yang terbaik.

Messi sendiri sebenarnya sayang dan berat hati untuk meninggalkan Barca dengan beliau sanggup menerima pemotongan gaji, asalkan masih beraksi di Nou Camp.

Namun atas masalah yang dihadapi oleh Barca pada ketika ini, pihak kelab tidak mampu untuk mendaftarkan nama Messi dan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan terus pemain terhebat sepanjang zaman kelab itu.

Barcelona telah mengesahkan yang Lionel Messi tidak akan kekal bersama kelab, dengan gergasi Catalan itu mendedahkan hal tersebut menerusi satu kenyataan rasmi.

Mereka mendakwa yang, walaupun kedua-dua pihak sudah ada persetujuan masing-masing, namun dek kerana peraturan kewangan La Liga, maka rundingan itu mustahil untuk diteruskan.

Kenyataan dari Barcelona, telah menyatakan bahawa:

“Walaupun FC Barcelona dan Lionel Messi sudah capai persetujuan bersama dan niat kedua-dua pihak untuk tandatangani kontrak baru hari ini, ia tidak akan berlaku kerana masalah halangan kewangan dan penstrukturan (peraturan La Liga).”

“Sebagai jawapan kepada situasi ini, Messi tidak akan kekal bersama FC Barcelona. Kedua-dua pihak sangat kesal yang harapan pemain dan kelab tidak dapat dipenuhi.”

“FC Barcelona dengan sepenuh hati mengucapkan terima kasih kepada pemain atas sumbangannya terhadap peningkatan kelab dan mengucapkan yang terbaik untuk masa depan dalam kehidupan peribadi dan profesional.”

Barcelona sebelum ini berusaha untuk melepaskan beberapa pemain mereka, dalam usaha untuk mendaftarkan Lionel Messi dan beberapa lagi penandatanganan baru.

Sayangnya tidak ada mana-mana kelab yang berminat untuk membeli pemain-pemain yang mahu dilepaskan oleh Barca dan ia menyukarkan mereka untuk menstabilkan struktur pembayaran gaji pemain.

Antoine Griezmann antara nama yang sering dikaitkan bakal meninggalkan kelab dengan Barca sudah menawarkannya kepada beberapa kelab namun tak ada yang berminat.

Barca turut mahu menjual ramai lagi pemain dari skuad utama, namun kerana harganya terlalu tinggi untuk pemain yang tidak berprestasi, jelas tidak ada kelab berminat.

Tidak ada masalah untuk Messi mencari kelab baru, namun agak pahit untuk penyokong Barcelona melihat beliau menyarung jersi selain jersi Barca.

Ke mana agaknya destinasi seterusnya untuk Messi selepas ini?

Sumber: SPORTbible

BACA:  Martin Braithwaite Merupakan Pemain Barcelona Yang Paling Kaya Ketika Ini