Tindakan Pep Guardiola Menolak Antonio Selepas Tamat Perlawanan Mencuri Perhatian Peminat

Pep Guardiola dilihat bergurau manja dengan pemain penyerang West Ham United, Michail Antonio selepas tamat aksi terikat 2-2 Man City bertemu The Hammers awal pagi tadi.

Pengurus The Citizens itu dilihat bergurau dengan menolak manja Antonio sebelum memeluk bintang West Ham itu.

Beliau bahkan turut bercakap tentang hal itu ketika temu bual selepas tamat perlawanan tersebut.

Pendahulu saingan Premier League itu pada ketika ini sedang mendahului Liverpool dengan kelebihan 4 mata selepas mereka sekadar mampu mencatatkan keputusan seri di London Stadium.

Dua gol jaringan Jarrod Bowen pada aksi babak pertama berjaya mengejutkan skuad Man City dan hampir sahaja membuatkan skuad kendalian Pep Guardiola itu berputih mata.

Mujur saja Man City berjaya bangkit dan mengikat kedudukan menjadi 2-2 hasil jaringan Jack Grealish dan gol sendiri jaringan Vladimir Coufal.

Keputusan seri itu jelas sekali memberi kesan yang tak diinginkan oleh pasukan City dengan ia akan menyukarkan mereka untuk memenangi gelaran liga.

Ia hari yang sukar untuk skuad Manchester City dengan pemain seperti Jarrod Bowen dan Pablo Fornals tak henti-henti beri masalah kepada Fernandinho dan barisan pertahan City.

Michail Antonio juga turut kerap memberi masalah kepada barisan pertahanan City dan selepas tamat perlawanan tersebut, Pep Guardiola dilihat sempat bergurau manja dengannya.

Pep Guardiola dilihat menolak pemain penyerang berusia 32 tahun itu, seolah-olah seperti mahu menjelaskan yang beliau terlalu banyak memberi masalah kepada Man City hari ini.

Michail Antonio sendiri pada ketika itu dilihat sedang berbual mesra dengan penjaring gol City dalam perlawanan ini, Jack Grealish.

Video itu tular di media sosial dengan ramai peminat yang terhibur melihat tingkah laku Pep Guardiola terhadap Michail Antonio itu.

“Adakah dia bergurau atau dia betul-betul maksudkan atas tindakan dia itu? Ketawa itu bukan sebab dia terhibur dengan lawak dia sendiri kan?”

“Semakin lama semakin pelik perangai dia, adakah ini kesan dari tersingkirnya Man City di pentas saingan Champions League?”

“Pep Guardiola sejak kebelakangan ini selalu sebut pasal Liverpool dan kerana itulah pemain dia sendiri sampai hilang tumpuan. Dia tak sepatutnya tolak Antonio, dia patut tolak diri sendiri.”

“Ini semua salah Real Madrid, selepas kena comeback, Pep Guardiola sudah tidak seperti diri dia yang kita kenal lagi.”

“Bukan kah dia sepatutnya tolak Jack Grealish berbanding Antonio? Pemain dia dah hilang tumpuan, lepas ni dia akan jumpa Gerrard, nama Liverpool sepertinya susah nak hilang dari fikiran dia.”

Guardiola kemudiannya telah ditanya tentang insiden menolak Antonio itu oleh penyampai Sky Sports, Geoff Shreeves.

“Dia pergi gym setiap hari dan lelaki ini dia seorang yang sangat kuat.”

Jelas pengurus Man City itu sebelum memuji gandingan Fernandinho dan Aymeric Laporte di posisi pertahanan.

“Menguruskan Antonio bukanlah mudah. Dia seorang yang sungguh menakjubkan.”

Dalam sidang media beliau selepas tamat perlawanan bertemu West Ham itu, Guardiola turut menyampaikan pesanan kepada bakal lawan Liverpool, Southampton menjelang aksi pertemuan kedua-dua pasukan itu minggu ini.

“Saya mahu katakan, tewaskan Liverpool empat kosong.”

Jelas Pep Guardiola sambil ketawa besar.

“Kelebihan paling besar yang kita ada ialah bermain di halaman sendiri. Ia sudah di tangan kita. Kita tak perlu lihat pada apa-apa hal lain selain dari kita sendiri. Kita cuma perlu berikan segalanya.”

“Saya kata kepada pemain, jangan sedih hari ini kerana kita sudah berikan persembahan yang sangat-sangat baik. Ia adil, bertemu lawan ini, untuk sampai pada hari terakhir untuk menentukan siapa bakal dapat Piala kerana kedua-dua pasukan sangat bagus.”

Liverpool akan turun beraksi bertemu Southampton pada Selasa nanti di St Mary Stadium sebelum mereka akan turun bertemu Wolves pada hari terakhir saingan musim ini.

City sementara itu sangat berharap skuadnya akan mampu tewaskan Aston Villa pada perlawanan terakhir nanti, seterusnya menjulang gelaran liga musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Zlatan Melabel Pep Guardiola Sebagai Penakut Tidak Bertulang Dan Tidak Matang