Tottenham Hotspur Pecat Nuno Espirito Santo

Tottenham Hotspur melalui laman sesawang rasmi mereka, tottenhamhotspur.com telah membuat satu kenyataan bahawa mereka telah memecat pengurus pasukan, Nuno Espirito Santo serta merta.

Pengumuman ini kemudian telah disebarkan melalui laman media rasmi kelab untuk memberitahu dunia akan keputusan yang telah dilakukan oleh kelab.

Ayat penyedap kata telah diutuskan dalam pengumuman ini dengan ucapan terima kasih dan memuji Nuno Espirito Santo sebagai lelaki sejati, selepas dipecat Nuno sentiasa dialu-alukan.

Kelab hari ini mengumumkan bahawa Nuno Espírito Santo dan kakitangan kejurulatihannya Ian Cathro, Rui Barbosa dan Antonio Dias telah dilepaskan daripada tugas mereka.

Fabio Paratici, Pengarah Urusan, Bola Sepak, berkata: “Saya tahu betapa Nuno dan kakitangan kejurulatihannya ingin berjaya dan saya kesal kerana kami terpaksa mengambil keputusan ini.

“Nuno seorang lelaki sejati dan akan sentiasa dialu-alukan di sini. Kami harus berterima kasih kepadanya dan kakitangan kejurulatihannya dan mendoakan kesejahteraan mereka untuk masa depan.”

Kemas kini selanjutnya akan menyusul dalam masa terdekat.

Nuno Espírito Santo bermula baik pada awal musim apabila menewaskan Manchester City pada perlawanan pertama dan selepas 10 perlawanan Spurs mencatatkan 5 kemenangan dan 5 kekalahan.

Berada ditangga kelapan Premier League selepas 10 perlawanan bukanlah satu kedudukan yang teruk namun jika dilihat kepada aksi di padang, corak ditampilkan Nuno Espírito Santo sangat tidak jelas dan tidak meyakinkan.

Prestasi dan corak permainan yang diterapkan oleh Nuno Espírito Santo merupakan kunci utama kepada pemecatan ini dan kekalahan kepada Manchester United hanya menjadi asbab sahaja. Spurs dah lama rancang, kita yang lalai.

Persembahan buruk Harry Kane yang sentiasa dihilang dipadang namun masih diberikan kepercayaan serta peluang beraksi akhirnya memakan diri Nuno Espirito Santo.

Masa depan Nuno Espírito Santo berada dihujung tanduk selepas Tottenham Tewas tiga gol tanpa balas kepada Manchester United yang juga berada dalam situasi getir.

Kebanyakkan penyokong lawan kini giat menjalankan kempen selamatkan Ole dari dipecat selepas diberi talian hayat untuk tiga lagi perlawanan dan berjaya untuk perlawanan pertama menentang Spurs.

Ole Gunnar Solskjaer yang bertukar menjadi Don Antonio Conte terselamat buat masa ini dan Nuno Espirito Santo menjadi mangsa keadaan atau ‘collateral damage’.

Sejak 24 jam yang lalu, Antonio Conte yang disebut-sebut sebagai pengganti Ole Gunnar Solskjaer dilaporkan akan menjadi pengurus baharu Spurs.

Perkara ini sangat menarik untuk menjadi kenyataan kerana pemilik Spurs, Daniel Levy seorang yang kedekut dan tidak akan tunduk kepada pengurus yang keras kepala seperti Conte.

Tanpa Nuno Espirito Santo siapa akan terus mempertahankan Harry Kane?

Nuno Espirito Pertahan Harry Kane

Nuno Espirito Santo menegaskan yang masalah utama Spurs bukanlah kerana ketumpulan Harry Kane, namun ia kerana masalah skuadnya untuk beraksi sebagai satu pasukan.

Beliau percaya yang kekalahan anak-anak buahnya di tangan Manchester United malam semalam adalah tanggungjawab kesemua pemain dan tidak patut diletakkan pada seorang individu sahaja.

Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan gol yang cukup menakjubkan untuk membantu Manchester United mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0.

Edinson Cavani dan Marcus Rashford turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini untuk mengesahkan kemenangan 3-0 setan merah menewaskan Tottenham Hotspur.

Selain Solskjaer yang turun dalam perlawanan ini dengan tekanan yang teramat sangat, Nuno Espirito Santo turut melalui hal yang sama.

Kekalahan ini jelas sekali menambah lagi tekanan untuk pengurus dari Portugal itu dengan masa depan beliau bersama kelab juga umpama telur di hujung tanduk.

Kedua-dua pengurus sedang berdepan dengan risiko untuk dipecat dengan Solskjaer mula diragui oleh pimpinan kelab selepas kekalahan memalukan mereka di tangan Liverpool minggu lalu.

Walau bagaimanapun, beliau berjaya untuk menyempurnakan tugasnya dengan membantu United mengutip tiga mata penuh pada minggu ini.

Solskjaer berjaya buktikan kepada kelab yang beliau mampu untuk terus kendalikan United dengan mempamerkan aksi persembahan berbeza dalam perlawanan ini.

Sementara Nuno Espirito Santo pula, beliau gagal untuk mendapatkan kepercayaan dari kelab selepas anak-anak buahnya teruk dibuli oleh skuad setan merah dalam perlawanan ini.

Bercakap kepada Sam Matterface dari talkSPORT selepas tamat perlawanan, Nuno Espirito Santo menyatakan bahawa beliau faham dengan kekecewaan para penyokong yang memaki hamun beliau.

Beliau menerima keputusan semua pihak untuk terus memaki hamun beliau, namun Nuno Espirito Santo meminta agar penyokong terus menyokong kelab.

“Kita melalui hari yang teruk. Kita tidak beraksi dengan baik hari ini.”

“Ia merupakan persembahan yang sangat teruk. Kita dapat kuasai bola tapi kita gagal melakukan percubaan tepat dan kita tidak cukup bagus dalam melakukan hantaran akhir.”

“Permainan kami terlalu terbuka, membenarkan pasukan lawan untuk melakukan serangan pantas dan banyak melakukan kesilapan.”

Kane turut kena boo dengan segelintir penyokong Spurs ketika perlawanan sedang berlangsung kerana melihat beliau mempamerkan aksi hambar di atas padang.

Beliau kerap terlepas bola dan langsung tidak berkesan ketika skuadnya sedang melancarkan serangan ke kubu lawan sepanjang perlawanan.

Walau bagaimanapun, Nuno menegaskan yang masalah sebenar Spurs adalah aksi semua pemain dan bukanlah kerana Kane seorang.

“Sejak dari awal kami sudah mengharungi situasi ini.”

Jelas beliau berkait ketumpulan jentera serangan skuadnya.

“Kita memulakan kempen saingan musim ini dengan bagus, tapi kita gagal mencipta begitu banyak percubaan, ia merupakan antara hal yang perlu diperbaiki.”

“Ia bukan kerana seorang pemain. Ia masalah kami semua tapi sekarang kita perlu cari jalan penyelesaian, itulah sebabnya mengapa kami di sini.”

Bekas pemain penyerang Premier League, Dean Ashton yang pernah menjaringkan 17 gol dari 44 penampilan bersama Norwich pada tahun 2005 dan 2006, percaya yang ketua pasukan England itu sebenarnya sudah tidak mahu beraksi bersama Spurs.

Beliau juga menegaskan yang Harry Kane sebenarnya tidak gembira beraksi di bawah kendalian Nuno Espirito Santo.

“Berapa kerap kamu pernah dengar itu, Harry Kane kena boo?”

“Ketika pemain penyerang sudah mula hilang minat, sudah jadi kebiasaan untuk dia jadi macam ni, saya pernah berada dalam situasi ini.”

“Ia kerana kamu tak suka dengan apa yang pengurus lakukan, kamu tak suka cara bagaimana pasukan kamu bermain, kamu tak suka apa kamu lakukan ketika sesi latihan.”

“Sudah banyak kali saya lihat Kane dan saya lihat pada Son Heung Min, mereka tak nampak ceria.”

“Mereka nampak seperti tak ada apa untuk mereka di sana. Tiada idea, tiada perancangan tentang bagaimana mereka mahu kembali dalam perlawanan. Itu semua tugas pengurus.”

Sumber: talkSPORT

BACA:  Premier League 2021/22: Tottenham Hotspurs 0-3 Manchester United