[Video] Aksi GK Playmaker Dari Onana, Rekod Buruk Man United Dan Transisi Bertahan Yang Barai

Manchester United tidak pernah bagus apabila bertandang ke gelanggang lawan untuk bertemu dengan pasukan kelompok 10 teratas.

Pada musim lepas mereka hanya menang 1 kali dalam 9 perlawanan (tidak termasuk United yang juga dalam kelompok 10 teratas).

1 kemenangan itu dicatat ketika mereka bertemu Fulham, terima kasih kepada Alejandro Garnacho yang menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.

Pada musim ini rekod sedih itu diteruskan apabila mereka tewas kepada Tottenham (0-2) selepas mencatat kemenangan hambar 1-0 menewaskan Wolves pada minggu lepas.

Spurs menewaskan United dengan permainan bijak apabila melakukan bebanan (overload) di kawasan lemah United iaitu di sayap kanan. Spurs juga mendominasi bahagian tengah.

Skuad Ten Hag kekurangan penjaring gol dan membazir banyak peluang yang telah dicipta oleh Fernandes dan rakan-rakannya yang lain.

United juga cukup lemah di bahagian-tengah dan sering hilang penguasaan apabila ditekan dengan betul oleh Spurs. Pasukan teratas tahu cara mengeksploitasi kelemahan mereka.

United merupakan sebuah pasukan yang mempunyai mobiliti baik tetapi tidak ada seorang pun dari mereka boleh menghentikan ancaman dari Yves Bissouma dan Pape Malang Sar.

Tidak ada pemain United yang benar-benar yakin dan selesa untuk melakukan dribble dalam ruang sempit dan menembusi pertahanan lasak lawan.

United baru bermain 2 perlawanan pada musim ini tetapi mereka seperti sudah dilanda keletihan fizikal dan mental, yang biasanya berlaku selepas 30 perlawanan.

Ten Hag melangkah ke 2022-23 dengan harapan dapat merapatkan jurang dengan Man City dan Arsenal tetapi pemainnya nampaknya telah gagal mendapatkan rentak yang diperlukan.

Pada musim pertama Ten Hag bersama United, satu perkara yang telah meningkat dengan drastik dalam pasukan United adalah tekanan kepada bola/lawan (pressing).

Ketika bertemu Wolves, United menekan dikawasan tinggi (high press), cuma pasukan ini tidak cukup baik dalam tekanan-balas (counter pressing).

United sering kalah dalam pertarungan (duels) di bahagian-tengah yang membuatkan ruang antara pemain terbuka luas malah mereka lambat untuk melakukan transisi bertahan.

Pada awal permainan, organisasi United (tanpa bola) agak baik. Pemain sayap, Garnacho dan Antony kerap bergerak ke kawasan-tengah untuk menanda (marking) pertahanan sempit (narrow) Spurs.

Pertahanan sisi Spurs akan masuk ke bahagian-tengah apabila mereka mahu membina permainan dari bawah.

Apabila Garnacho dan Antony masuk ke bahagian-tengah, ia telah menyukarkan Bissouma dan bek-tengah mencari bek-sisi songsangnya (inverted fullback).

James Maddison dan Pape Malang Sar pula sering turun ke bawah atau bergerak ke sisi untuk membantu rakannya membina permainan. Casemiro dan Mount sedar akan pergerakkan itu.

Kedua-dua pemain ini bergilir-gilir menjaga pemain-tengah lawan dibantu oleh Garnacho dan Antony. Tetapi semua ini hanya berlaku pada babak pertama

Memasuki babak kedua, United telah mengalami penurunan yang cukup drastik. Bek-sisi songsang Spurs, Pedro Porro dan Destiny tiba-tiba menjadi sangat bahaya di sepertiga atas (final third).

Kemudian Ben Davies masuk menggantikan Udogie dan Davies melakukan underlapping untuk menhasilkan gol kedua Spurs apabila Martinez menjaringkan gol sendiri.

Pada minit ke-21 Andre Onana telah naik sehingga hampir mencecah garisan-tengah padang. Dia naik untuk membantu pasukannya mengekalkan tekanan ke atas Spurs yang cuba melakukan serangan pantas.

Onana berada di kawasan yang sepatutnya Aaron Wan-Bissaka berada. Onana merampas bola lolos (through ball) Spurs dan melakukan hantaran jauh (diagonal pass) sejauh 60 ela.

Bola itu tepat ke kaki Alejandro Garnacho dan dia membawanya ke dalam kotak lawan dan menghantar (square ball) kepada Antony. Namun bola itu dipintas lawan.

Onana juga hebat dalam melakukan hadangan dari percubaan pihak lawan (shot stopping). Pada babak pertama Onana telah melakukan 3 aksi penyelamat hebat.

Penjaga gol baharu United ini sudah menjadi komponen penting pasukan, seorang penjaga gol yang tahu bagaimana mahu menyelamatkan pintu gol dan juga mencipta serangan pasukan.

BACA:  Cristiano Ronaldo Cipta Rekod Baru Yang Hampir Mustahil Untuk Dipecahkan