Video Bilik Persalinan Menunjukkan Salah Memberikan Ucapan Penuh Semangat Selepas Final AFCON

Senegal telah berjaya muncul sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika buat pertama kali dalam sejarah mereka selepas menewaskan Mesir menerusi penentuan sepakan penalti.

Sadio Mane yang mengambil sepakan tersebut, dengan begitu tenang menolak bola masuk ke gawang, sekaligus mengecewakan rakan sepasukannya di Liverpool, Mohamed Salah, yang tidak sempat mengambil tendangan kelima pasukan Mesir.

Pemain yang digelar sebagai Raja Mesir atau dalam Bahasa Inggeris disebut The Egyptian King tersebut dilihat sangat sedih di atas kekalahan tersebut, dan pemain terbaik kejohanan, Mane, dilihat menenangkan rakan sekelabnya itu.

Selepas mengelap air mata yang berguguran jatuh di pipi, Salah berjaya mengumpul kekuatan dan memberikan ucapan yang penuh semangat kepada rakan sepasukannya dalam bilik persalinan.

Dalam pidatonya yang penuh perasaan tersebut, Salah memuji semangat dan kerja keras kesemua rakan sepasukannya yang memberikan sepenuh jiwa dan raga sepanjang perlawanan sehingga membawa kepada penentuan sepakan penalti tanpa rasa gentar.

Pemain berusia 29 tahun itu juga turut mengingatkan rakannya bahawa sesungguhnya pasukan Mesir boleh membalas dendam di atas kekalahan ini di mana kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan penentuan kelayakan Piala Dunia 2022.

“Kita dah main empat perlawanan, semuanya 120 minit sepanjang 12 hari ni. Tapi itu semua sudah berlalu!” ujar Salah kepada rakan-rakannya di bilik persalinan.

“Kita ada perlawanan lagi lawan diorang bulan depan dan Insha Allah kita akan balas dendam ke atas mereka!” tambah Salah lagi, dalam bahasa Arab Mesir, sambil memperlihatkan badannya yang berketak-ketak.

Salah bersama Mane dijangka tidak akan mempunyai cuti yang panjang selepas kempen AFCON ini dan akan terus kembali ke England, ke pangkuan kelab yang paling hebat di England, siapa lagi kalau bukan Liverpool.

Kedua-dua pemain ini dijangka bakal diturunkan dalam aksi Liga Perdana pada 11 Februari ini menentang Leicester City di Anfield.

Pada musim ini Salah dilihat berada di prestasi kemuncak dan cukup prolifik di hadapan gol di mana dia telah menjaringkan 23 gol di dalam kesemua pertandingan. Dalam kempen liga sahaja, 16 gol telah terhasil daripada pemain ini.

Dalam perlawanan akhir AFCON 2021, Senegal terlebih dahulu berpeluang untuk mendapatkan gol pertama perlawanan apabila dianugerahkan sepakan penalti seawal minit ketujuh. Mane dilihat bakal mengambil sepakan tersebut dan pada masa yang sama, Salah dilihat berbisik sesuatu kepada penjaga golnya, Mohamed Abou Gabal atau lebih dikenali sebagai Gabaski, tentang arah sepakan penalti Mane.

Mengambil kira nasihat tersebut, Gabaski berjaya terbang ke sebelah kanannya sekaligus menepis keluar bola sepakan Mane.

Sepanjang perlawanan, Senegal dilihat sangat dominan menguasai di segenap penjuru padang, dengan Mesir hanya mampu bangkit pada penghujung permainan namun kedua-dua pasukan dikecewakan penjaga gol lawan dan juga ketumpulan barisan serangan yang dilihat buntu, seperti tidak tahu di mana kedudukan gol yang sebenar.

Mesir layak ke pusingan kalah mati selepas menduduki tangga kedua kumulan D di belakang Nigeria. Dalam pusingan 16 pasukan, pasukan yang digelar Firaun ini menewaskan Ivory Coast 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti, sebelum menghantar Maghribi pulang dalam peringkat suku akhir selepas Trezeguet berjaya menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan.

Dalam peringkat separuh akhir, Mesir terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit perlawanan menentang Cameroon dan memaksa perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti. Pemain Mesir dilihat tidak mempunyai masalah dan menang 3-1.

Senegal pula berjaya muncul sebagai juara kumpulan yang boleh dianggap kumpulan maut, menyingkirkan Guinea di tangga kedua.

Pada peringkat pusingan 16 pasukan, Senegal telah menewaskan pasukan Cape Verde dua jaringan tanpa balas, dengan pasukan lawan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Patrick Andrade dilayangkan kad merah pada minit ke-21 perlawanan.

Dalam peringkat suku akhir, Equitorial Guinea menjadi mangsa amukan Senegal apabila Mane dan rakan-rakan menewaskan negara yang berada di garisan khatulistiwa tersebut 3-1. Tidak dapat mengekang nafsu, Burkina Faso menjadi mangsa Senegal dalam perlawanan separuh akhir di mana Mane menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut, yang membolehkan Senegal menang selesa tiga gol berbalas satu.

Sumber : SB

BACA:  Pemilik Liverpool Persoal Tindakan Coutinho & Suarez Tinggalkan Anfield Untuk Sertai Barcelona