[VIDEO] Ibrahimovic Hampir Menjaringkan ‘Goal of the Season’

Ikon bola sepak Sweden, Zlatan Ibrahimovic membuktikan beliau masih lagi berbisa apabila beraksi cemerlang untuk membantu kelabnya, La Galaxy meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Portland Timbers dalam aksi Major League Soccer hari ini.

Ibrahimovic yang baru sahaja pulih dari kecederaan hampir membuka jaringan pada awal permainan menerusi gaya akrobatik, namun sayangnya bola terkena tiang.

Los Angeles Galaxy forward Zlatan Ibrahimovic celebrates after scoring on a penalty kick during the second half of an MLS soccer match against the Portland Timbers, Sunday, March 31, 2019, in Carson, Calif. (AP Photo/Marcio Jose Sanchez)

Beliau mengangkat tinggi kakinya lalu melakukan ‘back heel’ di udara. Ia merupakan sesuatu yang sukar untuk dilakukan namun Ibrahimovic melakukannya secara bersahaja pada usia mencecah 37 tahun.

Jika bola tersebut menerjah gawang, sudah tentu ia bakal menjadi calon utama untuk memenangi gol terbaik sepanjang musim dan juga mungkin dicalonkan untuk anugerah Puskas.

Tidak lama selepas itu, Ibrahimovic meletakkan pasukannya di hadapan menerusi satu sepakan penalti pada minit ke-33.

Walau bagaimanapun, kelebihan tersebut berjaya dipadamkan Portland sebelum rehat separuh masa menerusi jaringan penyerang muda, Jeremy Ebobisse.

La Galaxy sekali lagi dianugerahkan sepakan penalti pada separuh masa kedua dan kali ini, Ibrahimovic membuat satu kelainan apabila mengambilnya dengan gaya ‘Panenka’.

Ia merupakan malam yang penuh bermakna buat Ibrahimovic kerana beliau berjaya menjaringkan kesemua gol La Galaxy sekembalinya beliau dari kecederaan.

Sebelum ini, beliau mengalami kecederaan Achilles pada perlawanan pembukaan MLS musim ini menentang Chicago Fire yang memaksa beliau berehat lama.

BACA:  Gary Lineker Arah BBC Delete Hantaran Hina Wayne Rooney Yang Dipecat Birmingham