Vinicius Jr Makan Lima Pemain Sebelum Meledak Gol Yang Sungguh Menakjubkan Bertemu Shakhtar Donetsk

Pemain penyerang Real Madrid, Vinicius Jr berjaya menjaringkan gol yang cukup cantik dan menakjubkan ketika membantu Los Blancos menewaskan Shakhtar Donetsk dalam aksi saingan Champions League awal pagi tadi.

Real Madrid berjaya bangkit dari kekalahan memalukan sebelum ini di tangan Sheriff Tiraspol dengan membelasah Shakhtar Donetsk 5-0.

Ia merupakan malam yang sangat sibuk untuk pentas bola sepak Eropah, dengan banyak perlawanan menarik yang berlangsung pada awal pagi ini.

Real Madrid berkunjung ke Olimpiysky National Sport Complex di Kyiv Ukraine untuk aksi pertemuan bertemu Shakhtar Donetsk dalam aksi peringkat kumpulan D saingan Champions League.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Sheriff Tiraspol sebelum ini, Real Madrid turun dalam perlawanan ini dengan misi wajib menang.

Juara saingan Champions League sebanyak 13 kali itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-37 permainan, selepas Serhiy Kryvtsov menjaringkan gol sendiri.

Vinicius Jr menjaringkan gol kedua Real Madrid pada minit ke-51 permainan dan lima minit selepas itu beliau berjaya menjaringkan satu lagi gol yang dianggap gol tercantik dalam perlawanan ini.

Gol kedua jaringan Vinicius Jr berjaya membantu Real Madrid mendahului perlawanan dengan keputusan 3-0 dan yang menariknya lagi, gerakan awal beliau sebelum menghasilkan jaringan itu sungguh mengagumkan.

Beliau berjaya menggelecek lima pemain Shakhtar Donetsk sebelum melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti untuk gol ketiga Real Madrid.

Umpama luka ditambah garam, gawang gol Shakhtar Donetsk sekali lagi dibolosi oleh Real Madrid pada minit ke-64 permainan, menerusi Rodrygo.

Ketika Shakhtar Donetsk merasakan mereka sudah tewas dengan keputusan 4-0, giliran Karim Benzema pula menjaringkan satu lagi gol di masa kecederaan, untuk mengubah kedudukan menjadi 5-0.

Ia merupakan aksi yang cukup dominan di persembahan oleh anak-anak buah Carlo Ancelloti itu, selepas mereka sebelum ini diaibkan oleh Sheriff Tiraspol.

Kemenangan 5-0 sudah sememangnya sangat selesa, dan membantu Real Madrid untuk berada di kedudukan kedua dalam saingan peringkat kumpulan D pada ketika ini.

Sheriff Tiraspol yang sebelum ini mencatatkan dua kemenangan dari dua perlawanan awal peringkat kumpulan, terpaksa berpuas hati dengan kekalahan 3-1 bertemu Inter Milan awal pagi tadi.

Persaingan untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati masih terbuka luas, dengan kesemua Sheriff Tiraspol, Real Madrid dan Inter Milan berpeluang untuk mara.

Selepas melayan kunjungan Real Madrid, Shakhtar Donetsk selepas ini akan berkunjung pula ke Santiago Bernabeu untuk beraksi bertemu Los Blancos.

Begitu juga dengan Inter Milan, yang selepas ini akan berkunjung ke Moldova untuk beraksi bertemu Sheriff Tiraspol dalam aksi saingan Champions League.

Melihat gol jaringan Vinicius Jr menewaskan lima pemain pertahanan lawan, tidak boleh dinafikan lagi yang gol jaringan beliau antara yang tercantik dan terbaik berbanding semua gol lain yang terhasil pada awal pagi tadi.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bale Tidak Tolak Kemungkinan Sertai Bayern Munich Pada Masa Hadapan