Watford Calar ‘Ego’ Tottenham, Pochettino Mahu Lebih Komitmen Dari Pemainnya

Pengurus Tottenham Hotpurs, Mauricio Pochettino tidak gembira dengan persembahan anak buahnya selepas Watford bangkit dari ketinggalan satu gol untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Spurs, seterusnya meranapkan rekod kemenangan 100% mereka sebelum ini.

Pochettino menyelar sikap pemainnya ketika tewas di tangan Watford kerana bermain terlalu relaks

Dengan kekalahan ini, Spurs jatuh ke tangga ke-5 dengan mengutip 9 mata dari 4 perlawanan. Watford pula muncul pasukan ‘kejutan’ setakat ini dengan mengumpul 4 kemenangan dari 4 perlawanan dan meletakkan mereka pada kedudukan ke-3 di belakang Liverpool dan Chelsea.

Dalam aksi ‘Derby London’ malam tadi, perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Spurs terlebih dahulu memecahkan kebuntuan menerusia jaringan sendiri pemain tengah Watford, Abdoulaye Doucoure yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri.

Watford bangkit dengan pantas menerusi tandukan kapten mereka, Troy Deeney yang menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-69. Kegilaan Watford tidak berakhir disitu sahaja kerana pemain pertahanan, Craigh Cathcart menambah lagi derita Spurs pada minit ke-76 untuk menjadikan kedudukan 2-1. Watford bertahan dengan kental sehingga wisel penamat dibunyikan dan memusnahkan rekod kemenangan 100% Spurs sebelum ini.

Ketika bercakap kepada wartawan selepas perlawanan berakhir, Pochettino tidak menyembunyikan perasaan kecewanya terhadap persembahan anak buahnya yang bermain agak ‘santai’ pada separuh masa pertama dan selepas mereka memperolehi gol pendahuluan.

Pemain Spurs meraikan jaringan sendiri dari Doucoure yang meletakkan Spurs di hadapan buat seketika

“Saya percaya jika kami mahu menang dan mahu membuktikan yang kami adalah pencabar utama liga, kami tidak boleh bermain selama 45 minit dengan kedudukan 0-0 dan berharap dapat memenangi perlawanan pada separuh masa kedua.”

“Kami perlu lakukan lebih banyak lagi, lebih aggresif, kerana pasukan ini ada kualiti. Kami berjaya menjaringkan gol untuk mendahului perlawanan tetapi kami melepaskan dua gol tidak lama selepas itu menerusi set pieces. Jika anada mahu berada di atas dan menjadi pencabar utama liga, anda tidak boleh melepaskan gol dalam situasi sebegini.”

“Separuh masa pertama kami agak relaks. Kami mendominasi perlawanan tetapi tidak cukup aggresif. Kami sering melakukan kesilapan yang tidak dipaksa.”

“Kami perlu tunjukkan yang pasukan ini kuat dan lebih aggresif ketika bertahan. Kami perlu tunjukkan yang kami mahu menang perlawanan itu.”

Troy Deeney menanduk padu gol penyamaan Watford pada minit ke-69

Walau bagaimanapun, Pochettino percaya kekalahan ini mungkin dapat menyedarkan anak buahnya dari lamunan bagi memberikan cabaran yang lebih sengit dalam perebutan kejuaraan liga pada masa hadapan.

“Kekalahan ini sangat menyakitkan. Hari ini saya berasa agak pedih kerana kami melepaskan dua gol dengan cara yang sama. Saya juga sakit hati melihat persembahan kami pada separuh masa pertama yang bermain seperti dalam perlawanan persahabatan.”

BACA:  Kisah Watford Dibangkitkan Si Kunyit Sehingga Ke Uefa Cup, Dan Diperkasa Keluarga Pozzo