Worawut Srimaka Digelar Pembunuh Harimau Malaya Selepas Rekod 6 Perlawanan Tanpa Kalah

Skuad muda Gajah Perang, atau sukad B-23 Thailand meneruskan rentak cemerlang di kejohanan Piala AFC B-23 di Uzbekistan selepas menewaskan skuad Harimau Malaya 3-0 dalam perlawanan pada malam tadi,

Ini bermakna Thailand kini mengekalkan rekod tanpa kalah selepas dua perlawanan di kejohanan tersebut, dan berada di landasan tepat untuk mara ke pusingan kalah mati.

Selepas seri 2-2 menentang Vietnam pada perlawanan pembukaan sebelum ini, kemenangan bergaya menentang Malaysia bermakna skuad kendalian Worawut Srimaka hanya perlu memburu keputusan seri, dan mengelak diri daripada kalah untuk mengesahkan kemaraan.

Pada masa yang sama, skuad B-23 negara kendalian Brad Maloney boleh mengucapkan selamat tinggal selepas perlawanan menentang Vietnam selepas ini.

Pembunuh Harimau Malaya

Kemenangan pada malam tadi bermakna Worawut Srimaka telah melebarkan rekod kemenangan skuad B-23 Thailand ke atas Malaysia.

Sebelum ini, Worawut pernah mengendalikan skuad B-23 Thailand sebanyak lima kali menentang Malaysia di pelbagai kejohanan.

Daripada lima perlawanan tersebut, Thailand merekodkan empat kemenangan dan satu seri. Rekod tanpa kalah ke atas pasukan Malaysia diteruskan oleh Worawut dalam perlawanan pada malam tadi.

Sebelum ini, Worawut mengemudi pasukan Thailand B-23 menewaskan Malaysia 2-1 pada 2016 (Nations Cup).

Rentak cemerlang itu diteruskan apabila Worawut merencana kemenangan 4-0 ke atas pasukan negara di kejohanan Dubai Cup pada tahun seterusnya.

Worawut kemudiannya mengemudi kemenangan 1-0 Thailand ke atas Malaysia di Kuala Lumpur untuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2017.

Di pusingan kelayakan Piala AFC pada 2018, Thailand sekali lagi menewaskan Malaysia dengan jaringan 3-0, sebelum kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di pusingan kelayakan Piala AFC 2022.

Di kejohanan Piala AFC B-23 di Uzbekistan, pasukan Malaysia dianggap telah melalui malapetaka apabila ditewaskan Thailand 3-0.

Personaliti unik

Bukan sahaja pakar taktikal, Worawot Srimaka sememangnya seorang jurulatih dengan personaliti unik, membuatkan beliau disenangi pemain.

Sebagai contoh, Ketua jurulatih skuad Bawah-23 Thailand, Worrawot Srimaka telah bernazar akan berlari 10 pusingan padang sekiranya anak buah beliau berjaya menewaskan Laos di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia pada tahun lalu.

Hasilnya, Thailand menewaskan lawan mereka itu 3-0 selepas sekadar seri 1-1 menentang Mongolia dalam perlawanan pertama.

Dan selepas tamat perlawanan pada Khamis lalu menyaksikan anak buahnya memanfaatkan setiap peluang terhidang dengan jaringan, Worrawot menunaikan janji tersebut dengan berlari 10 pusingan mengelilingi padang Stadium MFF, Ulaanbaatar.

“Ia kedengaran agak lucu, tetapi saya telah berjanji jika pasukan ini menang, maka saya akan melakukan larian sebanyak 10 pusingan mengelilingi padang,” katanya kepada media dari Thailand.

“Saya mahu pemain memiliki mentaliti yang selesa [tidak tertekan]. Saya yakin Thailand akan menang. Pasukan ini tidak mengulangi kesilapan yang berlaku ketika seri dengan Mongolia.”

Worawut Srimaka dianggap sebagai jurulatih yang sering mengotakan janji dan akrab dengan pemain.

BACA:  Piala Asia 2023 : Kenapa Masih Belum Ada Tuan Rumah?