Yarmolenko Menganjing Ronaldo Mengalihkan Botol Coca Cola

Kejohana Eropah (Euro 2020) sudahpun memasuki pusingan kedua perlawanan peringkat kumpulan dan sepanjang pusingan pertama, banyak aksi menarik di padang telah dipamerkan oleh pasukan yang bertanding.

Selain di padang, aksi di luar padang juga menjadi perhatian ramai terutamanya apabila penyerang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo, mengalihkan dua botol minuman bergas Coca Cola dari depan matanya.

Rentetan daripada tindakan Ronaldo ketika sidang media tersebut, Coca-Cola mengalami kejutan di bursa saham.

Media Sepanyol, Marca, telah melaporkan dan membandingkan nilai saham syarikat minuman gergasi dunia tersebut sebelum dan selepas tindakan Ronaldo tersebut, dan akibatnya, nilai saham Coca Cola susut berbillion ringgit!

Menurut Marca, nilai pasaran Coca Cola telah menjunam daripada $242 billion kepada $238 billion – kejatuhan sebanyak 1.6% yang sangat ganas bagi syarikat tersebut.

Hanya kerana satu detik tindakan Ronaldo, syarikat gergasi mampu hilang $4 billion (RM16.5 billion) macam tu je. Gila!

Saham Coca Cola ditutup pada nilai $56.10 ketika pasaran saham Eropah dibuka pada 3 petang waktu tempatan.

Tetapi 30 minit kemudian selepas Ronaldo dan Fernando Santos menghadiri sidang media tersebut di bilik media Stadium Ferenc Puskas di Budapest, saham dilaporkan menjunam di bawah paras $55.22 setiap saham.

Memandangkan Ronaldo ni merupakan pemain terbaik dunia, maka apa yang dia buat terus menjadi ikutan ramai.

Selepas Ronaldo, Paul Pogba pula mencuri tumpuan apabila mengalihkan botol arak jenis Heineken dari depannya. Beberapa hari kemudian, pemain Itali, Manuel Locatelli pula bertindak mengalihkan botol Coca Cola daripada pandangan matanya.

Kalau Pogba dengan Heineken tu kita faham lah, sebab Pogba adalah seorang pemain yang beragama Islam dan dia sangat tegas dalam menjaga makan minum dari sumber yang halal, tapi Ronaldo dengan Locatelli ni kenapa benci sangat dengan Coca Cola ni?

Kesian Coca Cola.

Semalam, selepas perlawanan menentang Macedonia Utara, pemain Ukraine, Andriy Yarmolenko yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan satu gol dan menyumbang satu assist dijemput untuk menghadiri sidang media.

Ketika dia berada di meja bilik media, Yarmolenko bertindak mengalihkan botol Coca Cola dan Heineken, tapi secara menganjing.

Memetik berita daripada Reuters yang ditulis semula oleh GMS, Yarmolenko membuat aksi sambil tersengih,”Boleh tak aku nak buat benda? Aku tengok Ronaldo buat ni.

“Aku nak alih (botol Coca Cola) ni, lepas tu aku nak letak dia dekat dengan beer kat sini.

“Coke dengan Heineken, korang kenal-kenal la ek.”

Kelakar juga Yarmolenko ni.

Selepas ramai pemain yang buat perangai alih-alih botol ni, UEFA dah mula naik angin sebenarnya dan pihak badan bola sepak Eropah tersebut bercadang untuk mengambil tindakan.

Pengarah kejohanan UEFA EURO 2020, Martin Kallen mengingatkan bawah pemain diwajibkan secara kontrak “melalui negara untuk patuh peraturan kejohanan” dan kerana itu disarankan tidak mengalihkan botol minuman penaja.

Pasukan telah diingatkan tentang peraturan kontrak mereka dan Kallen mengatakan tindakan disiplin adalah satu “kemungkinan”.

UEFA tidak berhasrat untuk mengambil tindakan dan mendenda pemain secara langsung dan sebarang hukuman adalah mengikut budi bicara persatuan bola sepak negara bertanding.

“Kami dari pihak UEFA tidak pernah mendenda pemain secara langsung, kami akan mengenakan tindakan melalui persatuan bola sepak negara bertanding dan kemudian mereka akan menilai apakah mereka akan mengambil tindakan ke atas pemain itu, tetapi kami tidak akan langsung menghukum pemain itu,” Tambah Kallen memberi penjelasan.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar minuman tersebut mengambil pendekatan dengan memberikan jawapan yang tenang dan tidak mahu terus menimbulkan persepsi negatif akan imej mereka.

“Semua orang mempunyai pilihan minuman maing-masing dan setiap insan mempunyai citarasa dan keperluan yang berbeza.”

“Pemain ditawarkan air, bersama Coca Cola dan Coca Cola Tanpa Gula, apabila datang ke sidang media.”

Syarikat minuman gergasi Coca-Cola telah menjadi rakan minuman rasmi Kejohanan Eropah sejak tahun 1980-an lagi dan mereka telah berbelanja jutaan dollar untuk mendapatkan hak rasmi ini.

BACA:  Selepas 64 Tahun Wales Akhirnya Berjaya Layak Beraksi Di Pentas Piala Dunia