Zabaleta Kesian Tengok Rashford & Martial Sentiasa Turun Bertahan

Bekas pemain Manchester City, Pablo Zabaleta berkata beliau kesian melihat Anthony Martial dan Marcus Rashford yang terpaksa turun bertahan kerana menerima arahan daripada Jose Mourinho untuk berbuat demikian sepanjang perlawanan.

Akibatnya, Rashford dan Martial bergelut untuk mempamerkan persembahan terbaik mereka ketika Manchester United tumpas 3-1 di tangan Manchester City awal pagi semalam.

Mudah buat City. United terlalu lembik untuk anak buah Guardiola

Dalam derby Manchester pertama musim ini, perlawanan yang dianggap bakal berlangsung sengit berubah menjadi ‘one way trafik’. Prestasi baik United sejak kebelakangan ini tidak membawa sebarang makna apabila berhadapan dengan anak buah Pep Guardiola yang bersemangat untuk membalas dendam atas kekalahan di Etihad musim lalu.

The Citizens langsung tidak memberi ruang kepada Setan Merah dan berjaya menguasai perlawanan dari minit pertama sehingga tamat perlawanan. David Silva terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi David Silva yang menerima umpanan daripada Bernardo Silva.

Manchester City terus menguasai perlawanan tetapi bas United utuh bertahan sehingga tamat separuh masa pertama. Sergio Aguero akhirnya berjaya memecahkan tingkap bas apabila merembat kencang bola untuk gol kedua City, menewaskan David De Gea yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Kerana bosan bertahan, Mata cuba berzumba ketika Gundogan meraihkan jaringannya

Mourinho memasukkan Sarjan Romelu Lukaku dan beliau hanya memerlukan masa 2 minit untuk memenangi sepakan penalti untuk United. Martial dengan penuh tenang berjaya menyempurnakan penalti tersebut untuk memberi harapan palsu kepada seluruh peminat Setan Merah seantero dunia.

Ilkay Gundogan menamatkan sisa-sisa perjuangan United apabila menjaringkan gol ke-3 City pada lewat permainan untuk memastikan United pulang dengan tangan kosong.

Zabaleta dijemput Sky Sports untuk mengulas perlawanan tersebut dan sebagai pemain yang pernah terlibat dalam banyak derby Manchester, taktikal bertahan Mourinho menjadi punca mengapa Martial dan Rashford bergelut untuk bermain pada tahap yang terbaik.

“Saya rasa ini adalah filosofi Mourinho. Kita telah melihat perkara yang sama berlaku di Inter Milan dan Real Madrid.”

“Seorang pengurus perlu meyakinkan pemainnya supaya bermain dalam cara yang dikehendakinya. Akan ada pemain yang suka dengan pendekatan tersebut, tetapi akan ada juga pemain yang tidak menyukainya.”

“Apabila anda melihat Martial dan Rashford, mereka bermain seperti seorang full back yang selalu turun ke bawah untuk bertahan. Mereka sepatutnya berada di bahagian serangan, dan sebab itulah kita tidak melihat mereka berada dalam situasi satu lawan satu.”

Kenapa senang sangat Jose ?

“Dan jika saya berada di tempat Martial dan Rashford, amat sukar untuk saya bermain dalam pasukan yang tidak menyerang dan jarang berada dalam kawasan bahaya pihak lawan.”

Zabaleta juga mendedahkan perbualannya dengan Martial ketika berada di atas padang ketika West Ham menewaskan Manchester United 3-1 beberapa minggu yang lalu.

“Saya baru sahaja melakukan larian overlap ke atas dan Martial turun ke bawah untuk mengawasi saya. Selepas itu, Martial berkata kepada saya, ‘Berapa umur kamu?’  – Pada masa itu saya rasa macam mampu bermain untuk 10 tahun lagi !”

“Martial membuatkan saya berasa lebih muda tetapi sebenarnya, saya kesian dengan apa yang dialaminya. Beliau sentiasa turun ke bawah sepanjang perlawanan.”

BACA:  Rashford Dianggap Setanding Mbappe Dan Bakal Memenangi Ballon d'or