Zidane: Isco Amat Penting Buat Real Madrid Dan Tidak Akan Berpindah Kemana-Mana

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan Isco akan terus kekal di kelab tersebut walaupun pemain tersebut mendakwa beliau tidak mendapat kepercayaan penuh ketika beraksi di Real Madrid.

Zidane berkata beliau meletakkan kepercayaan penuh terhadap kemampuan Isco dan menyangkal dakwaan pemain terbabit.

Isco akan terus kekal di Santiago Bernabeu. Full stop !

Isco baru sahaja kembali dalam tugasan antarabangsa bersama Sepanyol. Beliau muncul wira untuk negaranya ketika Sepanyol membelasah Argentina 6-1 di gelanggang sendiri, dengan Isco berjaya mencatatkan hatrik pertamanya sepanjang bergelar pemain profesional.

Persembahan Isco dalam perlawanan tersebut memberi peringatan kepada semua pihak mengenai keupayaan sebenar Isco jika diletakkan bermain di posisi kegemarannya.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu menyaksikan waktu permainan beliau di atas padang semakin berkurang musim ini walaupun memainkan peranan penting untuk Real Madrid musim lepas ketika mereka memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah.

Ketika bercakap kepada Marca selepas tamat perlawanan, Isco menunjukkan rasa tidak puas hatinya terhadap Zidane kerana tidak memberikan beliau lebih banyak peluang bermain.

Hatrik profesional pertamanya ketika menentang Argentina

“Di Real Madrid, saya tidak mempunyai keyakinan yang sepatutnya pemain miliki. Perlawanan di peringkat antarabangsa memberikan saya ‘nyawa’. Saya mempunyai keyakinan jurulatih di sini.”

“Saya mahu menunjukkan kepada semua yang saya adalah pemain yang bagus. Lopetegui yakin atas kebolehan saya dan memberikan peluang untuk saya bermain dalam kesebelasan utama.”

“Mungkin juga saya adalah punca masalah di Real Madrid. Saya tidak tahu bagaimana untuk memenangi hati Zinedine Zidane.”

Walaubagaimanapun dalam sidang media terbaru Zidane, beliau menafikan semua dakwaan Isco terhadapnya, dan berkata beliau meletakkan kepercayaan penuh terhadap keupayaan Isco untuk membantu pasukan.

“Saya tidak rasa yang saya tidak berlaku adil terhadap Isco. Saya rasa kenyataan Isco mungkin telah disalah anggap sesetengah pihak.”

“Mungkin kerana dalam pasukan kebangsaan, beliau mempunyai peranan yang berbeza berbanding di sini. Tetapi beliau masih lagi pemain yang penting buat kami. Saya sentiasa menganggap beliau sebagai pemain penting dalam pasukan ini dan sudah menjadi lumrah buat mana-mana pemain untuk bermain lebih kerap.”

Sudah menjadi lumrah setiap pemain tidak mahu berada di bangku simpanan

“Tugas saya adalah untuk memilih 11 pemain. Isco adalah pemain penting dan akan terus kekal menjadi komponen penting dalam skuad ini. Seperti yang saya cakap tadi, kenyataan Isco mungkin telah disalah ertikan tetapi saya tidak berasa kecewa terhadap Isco sama sekali.”

“Saya berasa gembira melihat persembahan beliau ketika menentang Argentina. Pasukan Sepanyol juga bermain dengan sangat baik. Isco adalah pemain Real Madrid dan akan terus kekal di sini. Itu sahaja.”

Zidane turut mengesahkan Isco dan Sergio Ramos tidak akan dapat diturunkan bagi pertemuan La Liga hujung minggu ini menentang Las Palmas kerana masalah kecederaan.

“Isco dan Ramos mengalami kecederaan dan tidak akan berada dalam skuad yang akan berkunjung ke Las Palmas.”

BACA:  Zidane Akui Tidak Bangga Detik Menanduk Metarazzi Untuk Tamatkan Karier