10 Isu Yang Pengurus Baru United Perlu Segera Selesaikan

Sekali lagi Manchester United terpaksa berusaha memburu pengurus baru untuk mengendalikan kelab, dengan mereka sudah hampir sedekad masih gagal mencari pengganti sebenar untuk menggantikan tempat Sir Alex Ferguson.

Ole Gunnar Solskjaer merupakan pengurus keempat selepas David Moyes, Van Gaal dan Jose Mourinho yang dipecat oleh kelab kerana gagal memberikan apa yang kelab mahukan.

Selepas kekalahan 4-1 di tangan Watford, pengurus dari Norway itu telah dilepaskan oleh pihak kelab dengan United kini sedang dalam usaha mencari pengurus baharu.

Walaupun gagal membantu kelab memenangi sebarang kejuaraan, Solskjaer antara pengurus yang paling banyak diberi kesempatan dan juga sokongan dari pimpinan kelab sepanjang tiga tahun beliau menguruskan Manchester United.

Beliau berkali-kali berdepan dengan ugutan bakal dipecat, namun beliau tetap diberi peluang untuk buktikan sesuatu.

Selepas melihat rekod buruk yang United catatkan sepanjang musim ini, pihak kelab akhirnya bersetuju untuk melepaskan pengurus dari Norway itu.

Kini Man Utd sedang dalam usaha mereka untuk mencari pengurus baharu, dengan Michael Carrick dilantik sebagai pengurus sementara sehingga pihak kelab berjaya menemui pengurus sebenar.

United berkemungkinan akan melantik pengurus interim terlebih dahulu, memandangkan tiada pengurus yang boleh mereka dapatkan sebelum tamat musim baru ini.

Mauricio Pochettino dilaporkan sangat berminat dengan jawatan sebagai pengurus Man Utd, dengan beliau boleh melapor diri di Old Trafford pada musim panas akan datang.

Pengurus Ajax, Erik Ten Hag dan bekas pengurus Barca, Ernesto Valverde turut dikaitkan dengan bakal menjadi pengurus United, namun kesemua mereka hanya boleh ditandatangani pada musim panas nanti sahaja.

Sesiapa sahaja yang akan dilantik sebagai pengurus Manchester United nanti, mereka sebenarnya akan berdepan dengan pelbagai situasi yang sedang berlaku pada ketika ini.

Yang baiknya mereka bakal dapat barisan pemain-pemain berkelas dunia untuk digunakan, dan yang buruknya pula, mereka perlu menyelesaikan beberapa masalah yang dilihat perlu segera diselesaikan.

Melihat kepada rekod buruk United sejak beberapa perlawanan terakhir ini sudah cukup untuk memberi gambaran kepada pengurus baru, tentang teruknya masalah yang ada di Old Trafford pada ketika ini.

Berikut merupakan 10 isu yang perlu segera diselesaikan oleh pengurus baharu nanti, selepas beliau dilantik secara rasmi menjadi pengurus United.

1) Pemilihan pemain centre-back utama

Penandatanganan Raphael Varane pada musim panas lalu sepertinya satu hal yang sememangnya sangat perlu dilakukan oleh Manchester United.

Peminat sendiri sudah melihat bagaimana impak sesebuah pasukan itu ketika mereka mempunyai pemain centre-back berkelas dunia seperti Liverpool, Manchester City dan Chelsea.

Walau bagaimanapun, masalah kecederaan sedikit mengganggu perjalanan karier Raphael Varane sepanjang beraksi bersama kelab.

Ketua pasukan, Harry Maguire juga turut sering mempamerkan aksi tidak konsisten dan sering dikecam oleh para peminat atas persembahan buruk yang beliau persembahkan.

Posisi centre-back jelas sekali merupakan masalah besar United yang perlu diselesaikan oleh pengurus baru ketika beliau sudah dilantik secara rasmi nanti.

2) Peranan Jadon Sancho

Semua sedia maklum yang Jadon Sancho telah mempamerkan aksi persembahan cukup mantap sejak dua tahun terakhir ini bersama Borussia Dortmund.

Namun persembahan beliau sedikit merosot sejak ditandatangani oleh Manchester United pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Ketika kariernya dalam saingan Bundesliga, Sancho jelas sekali sering mempamerkan aksi persembahan yang menakjubkan, dan melihat kepada aksinya sekarang, ia jelas mengejutkan ramai.

Mungkin pengurus baru perlu memastikan Sancho kembali mendapatkan rentak persembahan terbaiknya, agar nilai mega yang kelab banyak untuk mendapatkan khidmatnya berbaloi.

3) Sistem back four atau back five

Sistem back five merupakan sistem dalam kajian Ole Gunnar Solskjaer dengan beliau pernah mencuba sistem tersebut ketika akhir-akhir kariernya di Old Trafford.

Memandangkan barisan pertahanan United terlalu mudah dilepasi, dengan mereka belum ada centre-back tetap yang berprestasi, maka sukar sebenarnya untuk menggunakan sistem ini.

Jadi agak menarik untuk melihat apa yang pengurus baharu boleh lakukan dalam menyelesaikan masalah yang sangat membingungkan ini.

4) Masa depan Paul Pogba

Ketika Paul Pogba berjaya mencatatkan tujuh assists dari empat perlawanan pada awal musim, ia sepertinya memberi harapan kepada para peminat untuk melihat musim terbaiknya bersama kelab.

Walau bagaimanapun, dengan tiba-tiba beliau sering mempamerkan aksi persembahan hambar, dan melakukan keputusan dungu yang membahayakan skuad.

Dengan baki kontraknya bersama kelab berbaki enam bulan sahaja lagi, macam-macam perkara yang berlaku dan sepertinya ia bukan hal yang positif.

Pogba juga masih belum menandatangani perjanjian baru, dengan ejen beliau turut kerap mencetuskan kontroversi dengan kelab pada ketika ini.

Hal ini juga perlu diselesaikan oleh pengurus baharu nanti, sama ada mahu melepaskan sahaja pemain termahal kelab itu, atau cuba memujuk beliau untuk terus kekal bersama kelab.

5) Cari defensive midfielder terbaik

Usaha untuk menandatangani seorang pemain defensive midfielder berkelas dunia sebenarnya merupakan satu hal yang sudah lama ada dalam perancangan Man Utd.

Nemanja Matic yang juga merupakan antara pemain paling berpengalaman dalam skuad merupakan pemain terbaik yang setan merah ada di posisi tersebut.

Dek kerana terlalu berusia, beliau jarang digunakan dengan gandingan McFred lebih kerap menjadi pilihan Ole Gunnar Solskjaer, dan kini turut dipakai oleh Carrick.

Seandainya pengurus baru tiba, pemain pertama yang perlu beliau tandatangani adalah pemain yang bermain di posisi defensive midfielder.

6) Penjaga gol utama untuk jangka masa panjang

Tahun lalu, sepertinya Dean Henderson bakal menjadi calon terbaik untuk menggantikan David De Gea sebagai penjaga gol utama United.

Walau bagaimanapun, penjaga gol dari Sepanyol itu pada musim ini sepertinya sudah berjaya menemui rentak persembahan terbaiknya semula.

Melihat kepada kemantapan aksi De Gea, Dean Henderson sepertinya tidak akan mahu terus jadi pilihan kedua dan beliau mungkin akan mencari kelab lain untuk mendapatkan minit permainan.

Memandangkan usia De Gea juga sudah hampir di penghujung kariernya, maka United perlu mendapatkan pelapis terbaik yang boleh menunggu di bangku simpanan sementara menunggu penjaga gol Sepanyol itu bersara.

7) Uruskan minit permainan untuk Ronaldo

Pada musim ini, Cristiano Ronaldo telah membuktikan yang beliau lebih dari layak untuk beraksi dan menyumbang sesuatu kepada kelab.

Melihat kepada hal itu, Ole Gunnar Solskjaer sendiri bahkan terpaksa mengubah sistem permainan beliau untuk memastikan ia serasi dengan corak permainan Ronaldo.

Walau bagaimanapun, seandainya Ronaldo terus diguna pakai, ia jelas sekali akan mengganggu perjalanan karier pemain muda seperti Mason Greenwood.

Ketibaan Ronaldo juga sepertinya sudah membataskan minit permainan untuk Edinson Cavani dan Anthony Martial.

Beliau mungkin hanya akan bertahan satu ke dua tahun sahaja lagi dan United perlu ada pelapis yang boleh menjadi pengganti seandainya Ronaldo pergi meninggalkan kelab nanti.

8) Bagaimana masa depan Donny Van de Beek?

Situasi Donny Van de Beek bersama Manchester United sememangnya agak sukar sejak dari awal beliau ditandatangani lagi.

Beliau datang ke Old Trafford dengan rekod yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika kariernya bersama Ajax sebelum itu.

Melihat kepada layanan yang beliau terima di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, ia jelas sekali satu hal yang sangat tidak sepatutnya.

Pengurus baru perlu memutuskan sesuatu, sama ada beliau mahu guna khidmat pemain Belanda itu, atau mahu melepaskan saja beliau sertai pasukan lain.

Situasi berkait bintang Belanda itu perlu dikaji semula, adakah beliau benar-benar tak cukup bagus untuk diturunkan, atau beliau sekadar menjadi mangsa kesilapan Solskjaer dalam menilai bakat pemain.

9) Jesse Lingard ke West Ham?

Selain Van de Beek, Jesse Lingard juga turut berdepan masalah yang hampir sama sepanjang kariernya beraksi di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain berusia 28 tahun itu telah mempamerkan aksi persembahan sungguh menakjubkan ketika kariernya bersama West Ham sebagai pemain pinjaman pada musim lalu.

United kemudiannya memanggil beliau untuk kembali beraksi bersama kelab, namun sepertinya khidmat beliau tidak digunakan oleh Solskjaer.

Pengurus baru juga perlu selesaikan isu ini, demi untuk menyelamatkan karier Lingard, sama ada terus menggunakan khidmat beliau, atau lepaskan saja beliau kembali ke West Ham.

10) Peluang untuk Alex Telles

Penandatanganan Alex Telles adalah kerana United pada ketika itu bimbang dengan tahap konsistensi dan kecergasan Luke Shaw.

Sebaik pemain Brazil itu tiba, Luke Shaw berjaya mendapatkan tahap persembahan terbaiknya bersama Manchester United dengan beliau pada musim lalu turut dianggap sebagai left-back terhebat dunia.

Namun begitu, pada musim ini, beliau merupakan antara pemain paling tidak berprestasi dan antara yang paling kerap melakukan kesilapan dungu yang mengancam gawang gol United.

Walau beliau tidak berada di tahap persembahan terbaiknya, namun Solskjaer tetap memilih beliau sebagai pemain utama untuk skuadnya.

Pengurus baru perlu menilai semula situasi ini, dengan beliau harus memilih salah seorang dari dua pemain ini, siapa yang lebih layak untuk berada dalam kesebelasan utama.

Sumber: GMS

BACA:  Champions League 2021/22: Villarreal 0-2 Manchester United