Apa Terjadi Kepada Pemain Yang Tidak Bermain Dari Bench Untuk Ten Hag?

Erik Ten Hag mempunyai sejarah dengan pemain yang menolak untuk masuk bermain dari bangku simpanan sebagai pemain gantian dan nasib yang menimpa pemain tersebut adalah buruk.

Cristiano Ronaldo telah mencipta kontroversi terbaru apabila telah meninggalkan bangku simpanan ke bilik persalinan ketika perlawanan masih belum tamat ketika kemenangan ke atas Tottenham Hotspur.

Pada awalnya ramai berpandangan bahawa Cristiano Ronaldo kecewa kerana tidak diturunkan dalam perlawanan itu lalu membawa diri yang kecewa.

Dalam temuramah selepas perlawanan, Erik Ten Hag tidak mahu komen mengenai insiden itu dan menyatakan bahawa dia akan menyelesaikan perkara itu kerana mahu meraikan kejayaan ke atas Spurs terlebih dahulu.

Plot twist terjadi apabila kisah sebenarnya telah pun diketahui ramai apabila Ronaldo merajuk dan tantrum bukan kerana tidak diturunkan.

Situasi sebenarnya adalah yang sebaliknya apabila Ronaldo yang tidak mahu masuk untuk beraksi ketika Erik Ten Hag sudah pun bersedia untuk memasukkan pemain verteran itu.

Lantaran itu Erik Ten Hag dengan tegas telah mengenakan hukuman kepada Ronaldo.

Seperti yang disahkan dalam kenyataan rasmi kelab, pengurus Belanda itu telah melenyapkan Cristiano Ronaldo daripada skuad utama Manchester United selepas kelakuannya pada malam Rabu.

Akibatnya, dia tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan utama untuk kunjungan ke Chelsea hujung minggu ini dan dijangka berlatih bersama pasukan Bawah 21 tahun kelab itu kerana dilarang untuk berlatih bersama skuad utama.

Tetapi ia boleh menjadi satu situasi yang lebih teruk bagi Ronaldo jika Ten Hag mengamalkan pendekatan tegasnya yang diambil pada masa lalu atas perlakuan yang sama.

Kisah ini terjadi pada musim 2017/18 ketika Erik Ten Hag Masih bersama Ajax, Amin Younes telah menolak dan enggan beraksi untuk Ajax ketika menentang Heerenveen.

Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 4-1 untuk Ajax di Arena Johan Cruyff tetapi Younes, bekas pemain Borussia Monchengladbach, tidak mahu masuk untuk beberapa minit terakhir.

Ten Hag yang marah dengan kelakuan itu telah membuat keputusan untuk membuang Younes daripada pasukan utama dan dia dihantar ke Jong Ajax, pasukan kedua kelab Amsterdam itu.

Erik Ten Hag ternyata tidak boleh bertoleransi dengan sikap pemain tersebut ketika mana pasukan memerlukan keringat pemain skuad utama.

“Kami masih mempunyai enam perlawanan untuk dimainkan dan saya hanya mahu pemain yang 100% bermotivasi,” kata Ten Hag, menurut Football Oranje.

“Banyak perkara yang telah berlaku dan di sekeliling Amin sepanjang musim ini, dia sudah pasti akan memainkan peranannya. Tetapi dia tidak memberi kami perasaan bahawa dia memberi fokus sepenuhnya kepada Ajax.”

“Marc dan saya memaklumkan kepadanya hari ini bahawa dia akan berlatih untuk minggu-minggu yang berbaki musim ini bersama Jong Ajax.”

Amin Younes selepas itu tidak bermain lagi untuk Ajax dan dia sudah mengangkat kaki lalu menandatangani perjanjian untuk menyertai Napoli, di mana dia bermain 27 kali sepanjang dua musim.

Pemain berusia 29 tahun itu terus gagal mendapat tempat bersama Napoli kemudian menghabiskan dua tahun sebagai pinjaman di Eintracht Frankfurt sebelum menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq.

Dia kini kembali ke Belanda setelah dipinjamkan ke Utrecht dan Amin Younes kini masih lagi mencari rentak bagi memenuhi potensi diri di usia 29 tahun yang sepatutnya sudah berada di puncak karier.

Hanya beberapa jam selepas kenyataan rasmi kelab, Ronaldo memuat naik mesej di Instagram yang menunjukkan dia benar benar menyesal di atas perbuatannya.

Ronaldo mungkin panik dengan tindakan kelab lalu meminta maaf kerana dia kali ini tidak dapat menunjukkan tauladan yang baik kepada anak anak muda.

“Saya sentiasa cuba untuk menunjukkan contoh yang baik kepada anak anak muda yang membangun di mana mana pasukan yang saya wakili. Malang sekali, ia mustahil untuk melakukannya sepanjang masa, kadangkala ketegangan akan mengeluarkan yang terbaik dari diri kita.”

Ronaldo bagaimanapun berkata bahawa dia masih komited untuk terus bermain bola sepak dengan cara yang sebaik dan selayaknya walaupun sudah bermain 20 tahun dalam bola sepak elit.

Jika Erik Ten Hag mengenakan tindakan yang sama kepada Ronaldo tidaklah akan menghancurkan karier pemain itu tetapi boleh membuatkan Ronaldo bersara lebih awal.

BACA:  Mourinho Tidak Berminat Galas Tugas Sebagai Jurulatih Portugal