Ayat Ronaldo Yang ‘Membuatkan’ Legenda NFL, Tom Brady, Kembali Daripada Persaraan

Peminat-peminat Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) pastinya kenal akan sosok tubuh yang bernama Tom Brady – bekas quarter back yang dalam perlawanan terakhirnya telah membantu pasukan Tampa Bay Bucaneers menjulang piala yang paling terulung di negara Uncle Sam, Super Bowl, pada bulan Januari 2021.

Sepanjang 22 tahun bergelar pemain NFL professional, Brady telah memenangi tujuh kejuaraan Super Bowl, lima kali pemain terbaik perlawanan akhir Super Bowl dan juga tiga kali membawa pulang anugerah pemain terbaik tahunan NFL.

Jika diterjemah kepada edisi bola sepak sebenar yang dimainkan di seluruh dunia, Brady adalah Cristiano Ronaldo versi NFL.

Pada 1 Februari 2022, Brady yang berusia 44 tahun telah mengumumkan persaraannya daripada NFL dan selepas Tampa Bay gagal mempertahankan kejuaraan Super Bowl dan tewas kepada pasukan yang akhirnya muncul juara, Los Angeles Rams.

Akan tetapi, selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris antara pasukan Manchester United menentang Tottenham Hotspur tempoh hari, Brady mengejutkan banyak pihak apabila dia mengumumkan bahawa dia akan kembali beraksi di NFL untuk musim ke-23 dan puncanya adalah penyerang sensasi United, Ronaldo.

Brady menghabiskan waktu petang Sabtunya di tempat duduk VIP di Old Trafford, sambil ditemani oleh dua anaknya. Dia menyaksikan Ronaldo – seorang lagi atlet yang mengenepikan faktor usia dalam mendominasi gelanggang dan mencatat hatrik ketika meleburkan hasrat Spurs untuk mencuri satu mata.

Selepas perlawanan, kedua-dua GOAT ini telah dilihat berborak mesra di tepi padang dan gambar ini telah dikongsi oleh raja Instagram, Ronaldo, yang telah memuatnaik kapsyen;

“Sememangnya satu kebanggaan dan keistimewaan dapat berkongsi pendapat dengan seorang lagi GOAT..”

Tidak lama selepas itu, telah tular satu video di mana Ronaldo bertanya kepada Brady, “Kau dah habis, kan?”

Brady dilihat teragak-agak dalam memberikan jawapan seolah-olah dia pun tidak pasti apakah keputusan yang diambilnya adalah tepat.

Beberapa jam kemudian, Tampa Bay Bucaneers yang turut dimiliki oleh pemilik United, keluarga Glazers, telah menciap; “Dia kembaliiiiiiiii.”

Pada masa yang sama, Tom Brady juga turut memuatnaik ciapan yang mengatakan bahawa tempatnya yang sebenar adalah di padang, bukan di tempat penyokong.

Dia berkata,”Selama dua bulan ini telah membuatkan aku sedar bahawa tempatku adalah di tengah padang, bukan di tempat duduk. Masanya akan tiba, tapi bukan sekarang.

“Aku sayangkan rakan sepasukan aku dan aku sayangkan keluarga yang sentiasa menyokong. Mereka telah menjadikan semua ini satu kenyataan.

“Aku akan kembali untuk musim ke-23 aku bersama Tampa. Satu urusan yang belum diselesaikan LFG.”

Menurut pemahaman admin, LFG bermaksud Let’s F***ing Go. Kalau dalam Bahasa Melayu mungkin disebut Mari Pergi!

Berita ini menerima satu sambutan yang sangat mengujakan daripada kalangan peminat NFL. Iyalah, cuba bayangkan kalau suatu hari nanti Safiq Rahim umumkan kembali daripada persaraan dan sedia membantu pasukan Harimau Malaya, kan seronok tu!

Dalam sembilan musim terakhirnya di NFL, Tom Brady mempunyai rekod yang sangat luar biasa.

Pada tahun 2013, dia bersama New England Patriots tersingkir di pusingan kalah mati Super Bowl kepada Denver Broncos. Setahun kemudian, dia membawa pasukan yang berpangkalan di Massachusets itu menjuarai Super Bowl edisi ke-49.

Pulang awal pada tahun 2015, Brady sekali lagi memacu kejayaan pasukan Timur Laut Amerika Syarikat untuk menjuarai Super Bowl edisi ke-51. Brady mengulangi kejayaan ini bersama New England Patriots pada tahun 2018, sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke Florida dan menyertai Tampa Bay Bucaneers pada tahun 2020.

Tahun pertamanya di Tenggara Amerika Syarikat, dia telah menjulang Super Bowl buat kali kedua dalam sejarah kelab di mana dalam perlawanan akhir, Brady telah melakukan tiga balingan yang menghasilkan touchdown – dua daripada Rob Gronkowski dan satu daripada Antonio Brown.

Bagi yang kurang maklum, taraf Super Bowl di Amerika Syarikat adalah seperti perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA. Akan tetapi, format NFL jauh sekali daripada format UCL.

Secara totalnya, NFL mempunyai 32 pasukan yang disebut francais. Kesemua pasukan ini terbahagi kepada dua konferens – Konferens Bola Sepak Amerika (AFC) dan Konferens Bola Sepak Kebangsaan (NFC).

Kedua-dua konferens ini mempunyai sejarah yang panjang dan hanya bergabung pada tahun 1970 dan membentuk NFL.

Dalam setiap konferens, pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan – utara, barat, timur dan selatan.

Kumpulan atau Divisyen bagi kesemua pasukan NFL. Gambar : Quora

Musim NFL akan dimulakan dengan tiga minggu pra-musim, dan diikuti oleh 18 minggu perlawanan musim biasa di mana setiap pasukan akan bermain sebanyak 17 kali.

Mesti pelik kan macam mana empat pasukan dalam setiap kumpulan akan bermain sebanyak 17 kali?

Pada mulanya setiap pasukan akan bertemu pasukan di dalam kumpulan masing-masing sebanyak dua kali – di tempat sendiri dan stadium lawan. Kemudian mereka akan bertemu pasukan daripada satu kumpulan dari konferens yang sama, dan satu kumpulan dari konferens yang berbeza.

Perlawanan berlainan konferens ini hanya dimainkan sekali dan mengikut turutan. Dengan kata lain, mereka hanya akan bertemu pasukan daripada kumpulan dan konferens yang berbeza hanya setiap tiga atau empat tahun sekali.

Kemudian setiap pasukan akan bertemu pasukan daripada kumpulan lain daripada konferens yang sama mengikut kedudukan mereka pada tahun sebelumnya. Contohnya jika pasukan Rams menamatkan saingan musim biasa pada kedudukan di tangga kedua pada tahun lepas, musim ini dia akan bertemu pasukan daripada kumpulan lain di NFC yang turut menamatkan musim biasa di tangga kedua/ketiga.

Begitulah lebih kurang format yang digunakan.

Selepas kesemua perlawanan musim biasa tamat, kejohanan memasuki fasa pasca-musim di mana 14 pasukan terbaik akan mengharungi perlawanan kalah mati sehinggalah ke perlawanan akhir yang dipanggil Super Bowl.

Jika dilihat struktur NFL ini, ada baiknya jika liga bola sepak Malaysia menggunakan format yang sama. Barulah semua orang pening kepala, kan?

Sumber berita :

Ronaldo dan Brady – Mirror
Format NFL – Wikipedia dan goalposte

BACA:  Bale Kecewa Gol 'Lipat' Ketika Menentang Liverpool Tidak Dicalonkan Dalam UEFA's Goal of the Season