Banter-Banter Manja Terus Hangatkan Suku Akhir Piala Malaysia

Aksi peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2021 telah dihangatkan dengan banter-banter manja dari Presiden dan pemilik kelab.

Antara yang paling mencuri tumpuan para peminat adalah perang Siber antara pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.

Dari sebelum sepak mula perlawanan, hingga tamat perlawanan, Datuk Seri Sanusi tidak henti-henti mengusik JDT terutama pemilik kelab, TMJ.

Melihat kepada kehangatan yang dicetuskan sebelum perlawanan, ia secara tidak langsung telah berjaya menarik minat para penonton untuk menonton pertembungan dua pasukan seteru ini.

Masalah tunggakan gaji Kedah

Perang siber ini bermula apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah memerli pasukan Kedah Darul Aman FC tentang isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan dari utara itu.

Seperti semua peminat sedia maklum, Kedah pada ketika ini sememangnya sedang berdepan dengan masalah tunggakan gaji.

Mereka dikatakan dua bulan tidak membayar gaji para pemain, dan kerana masalah sama jugalah prestasi para pemain Kedah sejak kebelakangan ini semakin merosot.

Aksi longlai Helang Merah dihukum dengan kekalahan 0-2 mereka bertemu Melaka United sebelum ini dan ia jelas memberi masalah besar untuk skuad Kedah.

Masalah besar untuk mereka kerana mara sebagai naib juara kumpulan C, dan menyebabkan Kedah bakal bertemu dengan Juara kumpulan D, Johor Darul Ta’zim.

Bimbang masalah lain akan timbul menjelang pertemuan bertemu Juara lapan kali berturut-turut saingan Liga Super Malaysia, pihak pengurusan Kedah memutuskan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji para pemain.

Menurut sumber laporan dari Utusan Malaysia, pihak pengurusan Kedah telah menyelesaikan masalah tunggakan gaji para pemain sejak malam kemarin lagi.

Pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) menyindir pengurusan Kedah kerana baru menyelesaikan masalah tunggakan gaji dengan menyatakan:

“Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol.”

Tulis TMJ di laman instagram miliknya.

Datuk Seri Sanusi yang tidak gembira dengan kritikan dari TMJ segera membuat serangan balas dan memulakan perang siber antara mereka.

“La ni bulan sebelas dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia.”

Perang siber antara Datuk Seri Sanusi dan TMJ

TMJ hanya menegaskan tentang masalah pembayaran gaji dan mungkin mahu menegur pimpinan kelab supaya lebih prihatin melibatkan isu kebajikkan para pemain.

Namun begitu, mungkin juga Datuk Seri Sanusi salah penerimaan atau mungkin beliau memang tak gembira individu luar masuk campur hal pengurusan skuad Kedah.

Dari kepala pistol membawa kepada peluru kapur terus membawa kepada isu ‘diet apa diet?’ yang nyata memberi hiburan dan memanaskan perlawanan yang bakal berlangsung.

TMJ kemudiannya menghantar mesej peribadi kepada Datuk Seri Sanusi dengan menyatakan:

“Salam Datuk. Gaji dah bayar? Bagus. Kebajikan pemain atau rakyat harus kita jaga. ‘Well done‘, jaga diri dan jaga kesihatan. Kalau nak diet call, saya ajar.”

Tidak terhenti di situ sahaja, Menteri Besar Kedah itu kemudiannya memuat naik status di laman Facebook miliknya dengan menyatakan:

“Hang tak pakai seluaq lagi aku main bola dah…La ni pun dok main bola lagi… Diet apa diet?”

Reaksi balas ini telah menghiburkan netizen terutama peminat bola sepak yang sejak semalam lagi mengikut sesi berbalas kedua-dua individu penting pasukan bola sepak masing-masing.

Perang siber itu tidak habis setakat di situ sahaja dengan Datuk Seri Sanusi sekali lagi mencuit TMJ di laman Facebook miliknya selepas tamat perlawanan yang berkesudahan dengan seri tanpa jaringan itu.

Datuk Sanusi awalnya memuat naik gambar penjaga gol JDT, Farizal Marlias bersama pengadil perlawanan Razlan Joffri Ali, dengan menulis:

“Pemain No1 dan yg ke 12 pasukan lawan…”

Tulis Datuk Seri Sanusi di laman Facebook miliknya dan ia jelas menyindir JDT seolah-olah pengadil perlawanan memihak kepada pasukan pelawat.

Tidak puas mengusik, YB Sanusi kemudiannya menulis satu lagi status dengan memuat naik gambar TMJ dan menulis:

“Diet sakan pun tak leh menang jugakkk… tertomos (tersembam) pulak… adehhh!!”

JDT dan Kedah akan bertemu semula pada 18 November nanti di Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi timbal balik, dan tentunya ia bakal menjadi perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat.

Ketika artikel ini ditulis, TMJ masih belum membuat sebarang kenyataan balas berkait keputusan perlawanan atau sindiran dari YB Sanusi.

Mungkin akan ada status terbaru, dan mungkin juga perang siber ini akan berlanjutan sehingga tamat aksi suku akhir kedua nanti.

Highlights Kedah 0-0 JDT

Statistik perlawanan pada separuh masa pertama menyaksikan Kedah gagal menghadirkan sebarang percubaan ke gawang JDT apatah lagi percubaan tepat dengan permainan bertahan penuh berdisiplin.

JDT pula telah berjaya melancarkan enam tembakan dengan hanya dua sahaja tembakan tepat berjaya dihasilkan. Tiada gol terhasil mungkin kerana menggunakan peluru kapur.

Kehangatan sebelum perlawanan gagal diterjemahkan di dalam padang untuk separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua perlawanan, JDT tampak semakin garang untuk mendapatkan gol pembukaan namun Kedah masih lagi mampu mempertahank gol dari dirobek.

Kedah sesekali cuba melancarkan serangan dengan mencari Kpah Sherman namun gagal menemui sasaran dan mudah dipatahkan pertahanan JDT.

Ketiadaan Kipre Tchetche nyata mengurangkan kegarangan Kedah.

Pada minit ke-60, Benjamin Mora memasukkan Mohamadou Sumareh dan Safiq Rahim untuk menambah sengat dibahagian tengah untuk terus menyerang.

Suasana tegang dan huru-hara tercetus di mana pemain mula tolak menolak selepas bola tidak dikeluarkan walaupun Baddrol Bakhtiar mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan.

Kpah Sherman telah mencetuskan situasi tegang sekali lagi dan para pemain sekali lagi berkerumun untuk bergaduh. Kpah Sherman telah mengangkat kaki tinggi menyentuh kepala Leandro.

Kpah Sherman yang sudah mengutip kad kuning terselamat apabila tiada layangan kad kuning kedua buat beliau dari pengadil.

Pada minit ke-70, Kedah tiba-tiba ditiup semangat Janna Nick lalu kembali kepada perlawanan dengan melakukan bererapa serangan dan satu paling mengancam namun disudahkan Aiman Afif.

Pergeseran terus tercetus apabila Fairuz telah koyak dan menolak Sumareh dengan garangnya dan tiada layangan kad dari pengadil.

Pada minit ke-80, Akhyar Rashid dimasukkan dan Ariff Aiman dikeluarkan. Sumareh dilayangkan kad kuning selepas membalas dengan satu terjahan ekoran dari provokasi awal tadi.

Sepakan percuma berbahaya Leandro pada minit ke-90 berjaya ditepis penjaga gol Kedah dan tindakan susulan Bergson Da Silva telah menggegar tepi gawang.

Tiada gol berjaya dijaringkan selepas lima minit masa kecederaan diberikan oleh pengadil.

Dengan keputusan seri ini mungkin perang mulut di alam maya akan berterusan sehingga suku akhir kedua pada 18 November nanti.

Sumber: Semuanya Bola
Vocket FC

FB Datuk Seri Sanusi

BACA:  Secara Rasminya Benjamin Mora Sah Tinggalkan JDT