Bas Bermasalah Tak Menghalang Manchester United Catat Seri Bermaruah Demi Najib Razak

Manchester United turun berhadapan dengan sebuah lagi pasukan yang sama nama dengan pertahanan mereka iaitu Valencia. Minggu lalu lawan Young Boys yang mirip nama Ashley Young.

Mourinho dalam usaha memberikan keceriaan kepada penyokong yang sentiasa berdiri di belakang beliau mahukan beliau kekal, terutama sekali penyokong kelab lain.

Selepas mendengar keluh kesah peminat setia mereka, Datuk Seri Najib Razak, Manchester United nekad untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri. Menang agak mustahil buat masa ini kerana masih dalam keadaan masalah keluarga.

Ini adalah status twitter yang menyentuh hati sanubari kesemua pemain Manchester United.

Sebelum perlawanan, bas Manchester United ada masalah. Dan Mourinho salahkan polis kerana mengganggu kelancaran bas mereka. Ini sudah 3 kali katanya masalah ini berlaku yang membuatkan pemain-pemainnya tak dapat warming up.

Masuk ke dalam padang, lesemua pemain Manchester United berkerumun melakukan team huddle dan menjerit: “Jangan kalah, seri matlamat kita, aummm!”

Paul Scholes terkejut dengan keberadaan Mourinho. Scholes dengan ‘all out’ menganggap Mourinho ni pembawa malu kepada kelab. Ingatkan dia dah pergi sebelum Sabtu lalu.

David Beckham dan Ryan Giggs antara legenda yang hadir di tempat duduk VIP. Mereka kelihatan menyesal datang ke stadium untuk melihat aksi boring. Dan lebih baik mereka duduk di rumah main FIFA 19 yang baru keluar.

Manchester United berhadapan dengan pasukan Valencia. Mereka berjaya menurunkan Alexis Sanchez untuk lebih 70 minit sebelum pemain itu keluar bermain piano. Beliau kini mencatatkan rekod kemarau gol yang agak teruk.

Di atas padang, Manchester United bergelut dengan prestasi mereka. Fellaini seperti kucing hilang anak. Tak ada arah tujuan di dalam padang.

Manchester United macam biasa, memulakan perlawanan dengan garang. Membuatkan Rina Pogba yakin akan menang set jersi selepas meneka Manchester United menang 5-0 dalam peraduan teka gol.

Namun mereka jelas bermasalah di kawasan serangan. Tiada penyudah. Rashford, Alexis Piano dan Lukaku tumpul di hadapan gol.

Namun Lukaku sempat melakukan cap dagang terbaru beliau, buat stepover dan nutmeg diri sendiri.

https://twitter.com/AlltingL/status/1047213145532616710

Valencia bermain agak agresif dalam perlawanan ini. Mereka juga memiliki beberapa peluang. Gonçalo Guedes dan Batshuayi antara yang memberikan ancaman ke arah gol. Begitu juga dengan Rodrigo.

Antonio Valencia cuba sedaya upaya dalam usaha menewaskan Valencia.

Valencia membayangi pemain Valencia

Sepakan percuma Rashford adalah yang paling dekat untuk Man. United menjaringkan gol dalam perlawanan ini.

Manchester United hanya melakukan 3 percubaan tepat dan Valencia hanya 2. Anda dapat bayangkan betapa bosannya perlawanan ini. Entah macamana Rina Pogba boleh meneka sampai 5-0.

Valencia pula kelihatan simpati dengan Manchester United dan enggan menambah kesengsaraan pasukan itu. Mereka memutuskan untuk tidak menang.

Di Old Trafford penyokong-penyokong Manchester United melaungkan chant, attack! attack! attack!

Berbeza sekali dengan falsafah Mourinho yang gemarkan parkir bas.

Pogba yang teruja dengan chant itu terus bersemangat. Akibat terlebih semangat kakinya hampir tergeliat. Lalu Mourinho memandangnya sinis seolah-olah memberitahu, “kau anak didik derhaka. Asyik dengan attack kau je.”

https://twitter.com/Tunnyking/status/1047223802940276736

Rahim Martial yang menonton perlawanan ini dari kedai mamak ternyata geram. Dia sempat memecahkan sebiji gelas di kedai mamak. Dia terjumpa video ini:

https://twitter.com/aluda_brian/status/1047231339580334083

Walaubagaimanapun Manchester United berjaya mencatatkan keputusan seri yang cemerlang. Menang tu memang tiada dalam perancangan buat masa ini.

Yang paling lega pastinya Datuk Seri Najib Razak yang tak perlu mendengar orang menyalahkannya jika MU kalah. Boleh la beliau buat food review pada hari ini.

Mereka kini sudah 4 perlawanan tak menang. Namun cemerlang mengelakkan diri daripada kalah dalam prestasi semasa mereka.

Kali terakhir Manchester United menang di Old Trafford adalah pada 10 Ogos lalu. Masa tu di Malaysia dikejutkan dengan lagu Bobo di mana.

https://twitter.com/FanAnticsFC/status/1047232130324021249

Bekas pengurus Valencia dan juga legenda Manchester United, Gary Neville tak berkelip matanya. Wajahnya nampak kecewa.

Wajah kecewa Neville selepas menyaksikan aksi Man. United

Itulah laporan pakar untuk perlawanan melibatkan pasukan paling power dalam peradaban Inggeris, Manchester United.

Kau gelak la dulu, hero memang kalah awal. Lagipun ini adalah seri bermaruah. Kau kena ingat, kuat Manchester United, kuatlah England.

BACA:  Strategi Terkini Jendela Perpindahan di Bawah Kepimpinan Baru Man United