Strategi Terkini Jendela Perpindahan di Bawah Kepimpinan Baru Man United

Strategi baru Man United dalam jendela perpindahan boleh dianggap sebagai satu anjakan paradigma bagi kelab yang telah melakukan banyak kesilapan di dalam pasaran pemain sejak beberapa tahun lalu, tetapi mereka perlu buktikan bahawa rancangan tersebut berkesan pada musim panas ini.

Jika diimbas kembali sepanjang sembilan tahun lalu dan cuba untuk mencari di mana silapnya pasukan ini daripada bertaraf penguasa liga sehingga menjadi melukut di tepi gantang, mungkin agak sukar untuk mencari punca sebenar.

Akan tetapi, bagi pemerhati dan penyokong, satu perkara yang boleh dipersetujui dengan cepat – cara Man United berususan dalam jendela perpindahan. Hal ini termasuklah sama ada kurang belanja di posisi yang utama seperti defensive midfielder dan sayap kanan, atau berbelanja bagai rupa hilang akal untuk satus-satu perpindahan.

Ed Wooward – satu nama yang tidak digemari oleh para penyokong United – merupakan naib pengerusi eksekutif (jawatan bertaraf ketua pegawai operasi, CEO) di kelab tersebut antara 2012 dan April 2022. Dia dilabel sebagai punca utama kejatuhan kelab sejak bersaranya Pak Alex Ferguson.

Kisah ketidaktahuannya tentang pengurusan bola sepak terserlah ketika Man United membeli legenda bola sepak Jerman, Bastian Schweinsteiger dari Bayern Munich pada tahun 2015.

“Apabila orang tengok Schweinsteiger dalam kesebelasan utama, itu akan membuatkan orang rasa takut sampai ke tulang rusuk,” ujar Woodward.

Walaubagaimanapun, dengan penampilan di bawah 40 perlawanan sepanjang dua musim dan juga gaji yang tinggi, pembelian pada nilai GBP 20 juta tersebut boleh dianggap sebagai satu keputusan yang salah, ditambah pula dengan rekod kecederaan beberapa musim sebelum pemain itu dibawa ke England.

Salah satu kesilapan Woodward yang dilihat mementingkan aspek kebolehpasaran semata-mata adalah Paul Pogba. Pada tahun 2016, Jose Mourinho telah dilantik menjadi pengurus pasukan dan untuk merencanakan rancangannya di atas padang, Jose telah meminta seorang pemain tengah berkelas dunia yang serba serbi boleh.

Jawapan pantas yang diberikan oleh Woodward adalah Paul Pogba, yang ketika itu berada di kemuncak prestasi dan mempunyai nilai pemasaran yang tinggi. Woodward lantas memecahkan rekod perpindahan kelab dengan membawa lepasan akademi mereka sendiri tersebut kembali ke Old Trafford pada harga GBP 90 juta.

Padahal pada waktu itu memang Juventus ingin melepaskan Pogba yang menerusi ejennya telah meminta kenaikan gaji berganda-ganda.

Sebaik sahaja khidmat Woodward tamat awal lapan bulan daripada tempoh sepatutnya pada bulan April, para penyokong bersorak gembira kerana bagi mereka sebahagian daripada punca kerosakan pasukan sudah tiada di kelab tersebut.

Sejak itu, beberapa perubahan besar telah berlaku dalam carta organisasi Man United, termasuk kenaikan pangkat daripada DG54 ke Jusa C buat Richard Arnold yang dilantik sebagai CEO baru kelab.

John Murtough dan Darren Fletcher, masing-masing dilantik sebagai pengarah bola sepak dan pengarah teknikal kelab.

Bagi yang belum faham, tugas Murtough adalah bersangkut paut dengan pasukan bola sepak Man United di mana dia merupakan penghubung antara pengurus pasukan dengan CEO, serta membantu meringankan beban pengurus dalam bab seperti perjanjian kontrak dan gaji pemain, perpindahan keluar masuk pemain serta staff pasukan, dan juga pengurusan pasukan akademi dan wanita.

Manakala Fletcher pula akan terlibat dengan perkara-perkara teknikal seperti penyediaan infrastruktur untuk latihan, perlawanan, perubatan, pemakanan dan sebagainya.

Murtough dilaporkan menjadi watak penting dalam pelantikan pengurus baru Man United dan ramai menganggap bahawa mereka telah mengambil langkah yang tepat dengan membawa Erik Ten Hag yang baru sahaja muncul juara Liga Belanda bersama Ajax Amsterdam.

Richard Arnold pula mengambil langkah mengundurkan diri daripada operasi bola sepak dan memberikan tumpuan kepada aspek komersial dan hubungan luar kelab, sekaligus memberi kuasa kepada Murtough.

Dalam bab pembelian pemain, persetujuan tiga pihak diperluakan – Erik Ten Hag, John Murtough serta ketua scout, Steve Brown. Setiap daripada mereka mempunyai kuasa veto untuk andai tiada persetujuan dalam sesuatu aspek pembelian pemain.

Menurut wartawan ESPN, Rob Dawson, langkah yang diambil ini dengan jelas memberikan ruang dan peluang kepada setiap pihak yang terlibat untuk bekerja, serta mewujudkan struktur organisasi yang jelas di kalangan pemegang jawatan utama kelab.

Polisi pengambilan pemain baharu ini mula digunapakai dalam misi mereka untuk memberi sasaran utama musim panas ini – Frenkie De Jong dari Barcelona.

Pada waktu ini, kelab gergasi Sepanyol tersebut dilihat tidak mampu untuk mengekalkan pemain tengah Belanda itu walaupun mereka dilihat berjaya meningkatkan kekuatan kewangan kelab baru-baru ini.

Hal ini semestinya memberikan kelebihan buat Man United dalam perbincangan ini, tetapi mereka perlu perhalusi dan berhati-hati dalam tindakan mereka kerana ada kemungkinan mereka boleh kempunan untuk mendapatkan pemain pilihan Erik Ten Hag ini.

Kemuncaknya, ketiga-tiga watak utama Man United dalam jendela perpindahan ini perlu mencari keseimbangan untuk memberikan kemenangan di atas kertas buat pasukan.

Selepas seminggu jendela perpindahan dibuka, para penyokong Man United sudah mula bising dan kelam-kabut bagaikan jendela sudah dibuka selama dua bulan dalam memaksa pengurusan pasukan membawa masuk pemain baharu. Tambahan pula, dua seteru utama mereka – Manchester City dan Liverpool – masing-masing sudah mengumumkan pembelian pemain baru – Erling Haaland dan Darwin Nunez.

Kedua-dua pasukan ini dilihat sudah banyak tiang meninggalkan pasukan yang pernah mereka gerunkan satu ketika dahulu dan Man United semestinya amat terdesak untuk kembali menjadi salah satu pasukan terbaik di Eropah.

Bukan Europa tau, di Eropah. Baca elok-elok sikit.

Dengan jendela perpindahan akan ditutup pada 1 September 2022, sukar untuk melihat ke mana hala tuju pembelian pemain pasukan ini pada musim panas ini tetapi, setidak-tidaknya, mereka pasti akan mampu membawa masuk seorang dua pemain sasaran dan tidak lagi mengulangi kesilapan lampau di bawah perdana menteri yang lama.

Silap.

Di bawah CEO yang lama.

Sumber : SB

BACA:  Ole Gunnar Solskjer Sah Dilantik Menjadi Pengurus Sementara Manchester United