Bayern Munich Lantik Bekas Pemain Sebagai Pengurus Pasukan Yang Baru

Juara Bundesliga, Bayern Munich mengesahkan telah melantik bekas pemain mereka, Niko Kovac sebagai pengurus pasukan yang baru, berkuat kuasa 1 Julai yang akan datang.

Pengurus berasal dari Croatia itu bakal meninggalkan posisi pengurus yang disandangnya ketika ini bersama Eintracht Frankfurt untuk menyertai Bayern Munich pada penghujung musim nanti.

Niko Kovac, pengurus Bayern yang baru

Beberapa laporan dari Jerman menyebut bekas pemain tengah Bayern Munich itu telah memenangi perlumbaan bagi mengisi posisi panas di Allianz Arena menggantikan tempat Jupp Heynckes yang dipanggil kembali selepas Carlo Ancelotti dipecat awal musim ini.

Sebelum ini, pihak Eintracht Frankfurt mendedahkan yang mereka tidak tahu menahu mengenai minat yang ditunjukkan Bayern terhadap pengurus mereka. Walaubagaimanapun, perkara tersebut akhirnya disahkan sendiri oleh Direktor Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic hari ini.

“Niko Kovac telah bersetuju untuk menyertai Bayern Munich dengan kontrak selama 3 tahun pada hari Khamis lalu. Kami sangat gembira dapat memiliki Kovac sebagai pengurus pasukan yang seterusnya.”

“Niko merupakan bekas pemain Bayern pada masa lepas. Beliau tahu mengenai karakter, struktur dan DNA kelab ini.”

Pernah beraksi bersama Bayern suatu masa dahulu sebagai defensive midfielder

“Kami sangat yakin beliau adalah individu yang tepat untuk membimbing kelab ini pada masa hadapan.”

Kovac bakal dibantu oleh adiknya, Robert Kovac yang turut bertindak sebagai penolongnya di Eintracht Frankfurt.

Pelantikan ini merupakan pengiktirafan terbaik atas kejayaannya membimbing Frankfurt mengharungi musim ini di kedudukan 5 teratas. Frankfurt juga merupakan kelab pertama yang dilatihnya selepas membimbing negaranya beberapa tahun yang lepas.

Sebelum ini pada tahun 2012, beliau pernah diketepikan dari menguruskan pasukan utama RB Salzburg walaupun ketika itu beliau menguruskan pasukan simpanan kelab tersebut.

Kovac membimbing Croatia layak ke Piala Dunia 2014 di Brazil tetapi dipecat tidak berapa lama kemudian kerana Croatia mengharungi gagal mempamerkan prestasi yang baik dalam pusingan kelayakan Euro 2016.

Kovac dilantik menjadi pengurus di Frankfurt pada Mac 2016 dan berjaya membantu kelab tersebut terselamat dari disingkirkan menerusi perlawanan play-off. Musim berikutnya beliau berjaya membimbing Frankfurt menamatkan musim di kedudukan yang baik iaitu di posisi 11.

Peningkatan Frankfurt berterusan musim ini apabila mereka kini menghuni tangga ke-5 Bundesliga dan hanya dipisahkan 2 mata sahaja dengan Bayern Leverkusen, pasukan yang menghuni slot terakhir untuk beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Tugas yang berat menanti Kovac musim hadapan untuk membawa Bayern memenangi Liga Juara-Juara

Kovac bakal mengambil alih tempat pengurus berusia 72 tahun, Jupp Heynckes yang sekali lagi membimbing Bayern Munich menjuarai Bundesliga musim ini. Heynckes kembali menguruskan Bayern untuk kali ke-4 dimana sebelum ini beliau pernah membantu Bayern menjulang 4 kejuaraan Bundesliga disamping 1 trofi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2013.

Bayern Munich berjaya mengesahkan kejuaraan Bundesliga buat kali ke-6 berturut-turut Jumaat lalu selepas menewaskan FC Ausburg 4-1 sebelum seri 0-0 menentang Sevilla bagi mengesahkan tempat mereka dalam pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara.

Dalam undian yang berlangsung hari ini, Bayern Munich menerima undian yang sukar apabila diundi bertembung juara bertahan, Real Madrid bagi merebut slot ke perlawanan akhir.

BACA:  Ten Hag Akui Mulai Rasai Tekanan Dan Potensi Dipecat