Bintang Derby County Pilih Crystal Palace Berbanding Man Utd

Manchester United sekali lagi ditolak dan dikecewakan pada jendela perpindahan musim panas ini, dengan bintang muda Derby County, Malcolm Ebiowei memilih untuk menolak tawaran mereka.

Perancangan Erik Ten Hag sepertinya terus diganggu selepas seorang demi seorang pemain sasaran beliau menolak untuk ke Old Trafford.

Erik Ten Hag jelas sekali sedang melalui jendela perpindahan musim panas yang sangat sukar pada ketika ini dengan mereka masih belum membuat sebarang pembelian sehingga ke hari ini.

Pengurus dari Belanda itu telah dilantik menjadi pengurus kelab pada penghujung musim lalu dan beliau pada ketika itu lagi sudah sedar yang beliau perlu melakukan tugas berat untuk menaikkan semula skuad setan merah itu.

Manchester United pada ketika ini terlalu membuang masa berunding bersama Barcelona untuk mendapatkan khidmat Frenkie de Jong dari Barcelona.

Ketika mereka membuang masa mengejar bintang Belanda itu, tanpa disedari mereka juga sebenarnya semakin jauh ketinggalan dibelakang pasukan seteru yang lain.

Tidak ada mana-mana pemain yang berjaya di bawa ke Old Trafford pada musim panas ini dengan mereka turut terlepas kesempatan untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain termasuk Darwin Nunez.

Kini, Man Utd berdepan satu lagi cabaran selepas pemain muda berusia 18 tahun, Ebiowei pula yang menolak tawaran mereka.

Lebih pedih lagi, Ebiowei menolak Manchester United semata-mata untuk menyertai Crystal Palace pada jendela perpindahan musim panas ini.

“Bintang Inggeris, Malcolm Ebiowei tidak akan menyertai Manchester United. Dia dijangka akan menandatangani kontraknya bersama Crystal Palace selepas selesai medical minggu ini. Ia dianggap rundingan yang sudah selesai.”

Tulis manusia paling jujur dalam dunia bola sepak, Fabrizio Romano di laman media sosial miliknya.

“Ebiowei akan meninggalkan Derby County untuk menyertai Palace, kontrak sah sehingga Jun 2027.”

Pemain muda itu sebenarnya telah dilepaskan dari skuad akademi Arsenal pada tahun 2019 yang lalu dan kemudian beraksi bersama Rangers selama dua musim.

Beliau kemudiannya berjaya bersinar bersama Derby County walaupun mereka gagal untuk mengelak dari zon penyingkiran.

Ebiowei hanya melakukan debutnya untuk The Rams pada Februari lalu dan sempat membuat 15 penampilan bersama skuad kendalian Wayne Rooney itu.

Gol pertama beliau di pentas bola sepak senior adalah ketika beraksi bertemu Blackpool dan bakat beliau berjaya mencuri perhatian ramai.

Pemain sayap muda itu pernah beraksi untuk skuad bawah 15 tahun Belanda dan skuad bawah 16 tahun England, maka beliau sebenarnya boleh bermain untuk salah satu dari kedua-dua negara itu di peringkat senior.

Crystal Palace sementara itu terus cemerlang merekrut pemain baru dengan mereka sejak dua musim panas kebelakangan ini sudah berjaya mendapatkan Michael Olise dan Eberechi Eze dari saingan Championship.

Manchester United pada musim panas ini terlalu membuang masa untuk mengejar Frenkie de Jong dan kerana itulah mereka turut terlepas kesempatan untuk menandatangani Darwin Nunez.

Skuad setan merah itu sebenarnya sudah lama mengadakan rundingan bersama bintang Uruguay itu, namun dek kerana terlalu lambat, maka mereka telah dipintas oleh Liverpool.

Selain Darwin Nunez, Manchester United turut berminat mahu mendapatkan khidmat Christian Eriksen namun malangnya bintang Denmark itu memilih untuk menolak tawaran mereka.

Keputusan Eriksen menolak tawaran United turut diraikan dengan penuh kegembiraan oleh legenda Liverpool, Jose Enrique.

Bekas bintang Liverpool itu menganjing Manchester United kerana ditolak Eriksen dan turut mempersoalkan mengapa pihak kelab masih gagal untuk mendapatkan walau seorang pun pemain pada ketika ini.

Walau bagaimanapun juga, Man Utd pada ketika ini seolah-olah sudah terlupa yang mereka sebenarnya sangat terdesak mahukan pemain di posisi defensive midfielder.

Mereka seolah-olah tidak menganggap posisi itu merupakan posisi bermasalah untuk kelab dengan United masih tidak mencari pemain defensive midfielder yang baru pada jendela perpindahan musim panas ini.

Erik Ten Hag juga turut berminat mahu mendapatkan pemain di posisi centre-back pada musim panas ini kerana beliau tidak yakin dengan kemampuan pemain centre-back sedia ada.

Ketua pasukan, Harry Maguire berpotensi untuk hilang jawatan sebagai ketua pasukan dan beliau juga mungkin tidak akan beraksi dalam kesebelasan utama United musim hadapan.

Pada awal Ten Hag dilantik sebagai pengurus United, pimpinan kelab ada menyatakan yang mereka akan memberikan £200 juta kepada pengurus dari Belanda itu untuk membeli pemain.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini, United sepertinya hanya kehilangan pemain dan masih belum mampu melengkapkan walau satu penandatanganan pun lagi.

Hal itu sebenarnya menyebabkan para penyokong mulai kecewa dan risau mereka akan menerima nasib yang lebih teruk lagi musim hadapan andai tidak membeli pemain baru.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2020/21: Manchester United 1-1 Fulham