Carrick Umum Undur Diri Selepas Mencatatkan Rekod ‘Unbeaten’ Sebagai Pengurus Sementara

Michael Carrick telah memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Jurulatih Pasukan Utama dan meninggalkan kelab berikutan tamat tempohnya sebagai Pengurus sementara.

Beliau meninggalkan jawatannya sebagai pengurus sementara dengan rekod dua kemenangan dan satu keputusan seri dari tiga perlawanan.

Ia merupakan rekod yang sungguh menakjubkan memandangkan Carrick membawa skuad United yang sedang tidak berprestasi.

Beliau hanya mendapat notis singkat dari pihak kelab untuk dilantik sebagai pengurus sementara, ketika Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada awal bulan lalu.

Perlawanan pertama yang dikendalikan oleh Michael Carrick adalah ketika beraksi bertemu Villarreal dalam aksi saingan Champions League.

Kebijaksanaan beliau dalam mengendalikan kelab berjaya membantu United untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan tersebut, seterusnya melayakkan diri mereka ke aksi pusingan kalah mati.

Beliau kemudiannya mengendalikan United untuk aksi bertemu pendahulu saingan Premier League, Chelsea dan Carrick sekali lagi membuktikan kebijaksanaan beliau dengan memimpin kelab untuk mengikat The Blues 1-1.

Beliau menggunakan sistem yang berbeza berbanding Ole Gunnar Solskjaer dengan kebanyakkan pemain juga dilihat sangat selesa beraksi di bawah kendalian Michael Carrick.

Carrick kemudiannya turun mengendalikan kelab untuk aksi bertemu Arsenal awal pagi tadi, dan ia juga merupakan perlawanan terakhir yang akan dikendalikan oleh beliau.

Man Utd berjaya mencatatkan kemenangan bertemu Arsenal dalam perlawanan ini, dengan Carrick mengumumkan pengunduran diri selepas tamat perlawanan tersebut.

Tiga perlawanan besar yang perlu beliau lalui dalam masa yang singkat dan tanpa persediaan yang rapi, namun Carrick tetap cemerlang mencatatkan rekod tidak terkalahkan.

Ia merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan Carrick mengundurkan diri selepas membuktikan kemampuan beliau dalam mengurus Man Utd.

Berita pengunduran diri Michael Carrick dari jawatan beliau sebagai pengurus sementara kelab telah disahkan sendiri oleh Manchester United menerusi satu kenyataan rasmi.

John Murtough, Pengarah Bola Sepak, berkata:

“Michael pergi dengan ucapan terima kasih yang tulus dan ucapan selamat maju jaya untuk semua orang di Manchester United selepas 15 tahun berkhidmat dengan luar biasa kepada kelab sebagai pemain dan sebagai jurulatih. Walaupun kami sedih melihat dia pergi, kami menghormati dan memahami keputusan Michael.

“Beliau akan sentiasa dikenali sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam sejarah Manchester United dan baru-baru ini, sebagai jurulatih cemerlang yang telah bekerja tanpa jemu di bawah dua pengurus untuk membantu membangunkan skuad yang kini akan dikendalikan oleh Ralf.

“Kami berterima kasih atas kepimpinan mantap yang ditunjukkan Michael sepanjang tempoh peralihan pengurusan ini dan sementara dia kini Carrick akan pergi namun akan sentiasa dialu-alukan kembali sebagai legenda kelab.”

Michael Carrick berkata:

“Masa saya di kelab hebat ini akan sentiasa berada pada kedudukan terbaik dalam karier saya. Apabila saya mula-mula menandatangani lebih 15 tahun yang lalu, saya tidak pernah terbayang dalam impian terpaling liar saya memenangi begitu banyak trofi dan saya pasti tidak akan melupakan kenangan indah sebagai pemain dan sebagai ahli pasukan kejurulatihan.

“Namun, selepas banyak berfikir dan berbincang, saya telah memutuskan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya meninggalkan kelab. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada semua pemain dan paling istimewa ditujukan kepada kakitangan belakang tabir, bekerja berjam-jam dengan sekumpulan orang yang begitu hebat sememangnya menyeronokkan dan saya telah menjalin persahabatan yang berpanjangan.

“Saya akan sentiasa menjadi peminat Manchester United dan akan datang ke sebanyak mungkin perlawanan. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Ralf, kakitangan, pemain dan peminat untuk masa depan dan saya tidak sabar-sabar untuk berada di tempat penonton dan menyokong pemain sebagai peminat.”

Michael Carrick telah bermain 464 perlawanan untuk Manchester United antara 2006 dan 2018, memenangi lima kejuaraan Liga Perdana, Piala FA, dua Piala Liga, Liga Juara-Juara UEFA, Liga Europa UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Dia menyertai kakitangan kejurulatihan Pasukan utama ketika bersara pada 2018 dan berkhidmat di bawah Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer.

Memandangkan urusan visa Ralf Rangnick sudah berjaya diselesaikan oleh pihak kelab, maka pengurus dari Jerman itulah yang akan turun mengendalikan setan merah untuk aksi selepas ini.

Carrick akan tetap dikenang sebagai pemain terbaik kelab, dan untuk pengurus, beliau akan dikenang sebagai ‘The Unbeaten manager’ walau hanya mengendalikan kelab sebanyak tiga perlawanan sahaja.

Sumber: Fabrizio Romano

BACA:  Mandat Penuh Bersihkan 'Toksik' Dalam Pasukan, MU Sedia Bincang Kontrak Baharu Dengan Ten Hag