Mandat Penuh Bersihkan ‘Toksik’ Dalam Pasukan, MU Sedia Bincang Kontrak Baharu Dengan Ten Hag

Manchester United dilaporkan bersedia memulakan perbincangan untuk memberikan kontrak baharu kepada Erik ten Hag.

Ten Hag dilantik sebagai pengurus pasukan itu pada 2022 dan berjaya memimpin United menamatkan saingan Premier League di kedudukan ketiga selain muncul juara Piala Carabao di musim pertamanya bersama kelab itu.

United memulakan kempen ini dengan kesukaran selepas melalui empat kekalahan selain pelbagai isu di luar padang.

Skuad Setan Merah pimpinan Ten Hag bagaimanapun berjaya merekodkan dua kemenangan dalam dua perlawanan terakhir, termasuk menewaskan Crystal Palace 3-0 pada Selasa lalu dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Carabao.

Kontrak pengendali dari Belanda itu di Old Trafford akan tamat pada 2025 dengan United mempunyai pilihan untuk mengaktifkan lanjutan selama setahun.

Namun kini difahamkan United sudah mula merancang untuk menyambung kontrak Ten Hag dengan menghubungi wakil pengurus itu hanya selepas 18 bulan jurulatih itu menyertai mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Richard Arnold diberikan mandat sepenuhnya berbuat demikian setelah turut mengikat Marcus Rashford dengan kontrak jangka panjang untuk kekal di Old Trafford.

Arnold dan pengarah kelab, John Murtough dilaporkan gembira dengan apa yang dilakukan Ten Hag di kelab itu setakat ini dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada bekas pengendali Ajax itu – walaupun kelab itu melalui tempoh sukar di dalam dan luar padang.

Kedua-dua orang kuat Setan Merah itu percaya Ten Hag adalah orang yang tepat untuk membawa kelab itu terus ke hadapan walaupun jurulatih berusia 35 tahun itu kini berhadapan masalah dengan Jadon Sancho yang dianggap salah seorang pemain bintang di dalam pasukan.

Ten Hag sebelum ini berkongsi bagaimana dia diarahkan oleh United untuk menetapkan piawai/standard tertentu di kelab itu kerana tiadanya budaya positif di dalam pasukan sebelum beliau berpindah dari Ajax.

Dalam erti kata lain, United telah memberikan mandat penuh kepada Ten Hag untuk membuang budaya toksik yang selama ini dianggap sebagai penghalang utama pasukan itu hilang penguasaan di Premier League dan di Eropah.

Pihak pengurusan juga bertegas akan terus berada di belakang Ten Hag untuk membenarkannya berbuat demikian walaupun sudah melabur dengan banyak untuk mendapatkan Jadon Sancho (yuran perpindahan dan gaji).

Musim lalu Critiano Ronaldo menjadi pemain berprofil tinggi yang meninggalkan United selepas bersengketa dengan Ten Hag. Harry Maguire turut dilucutkan peranan sebagai kapten oleh jurulatih itu sebelum bermulanya saingan pada musim ini.

United melihat Ten Hag sebagai individu yang mampu menyatukan selain menerapkan disiplin kepada pemain dan kakitangan lain – tatkala isu pemilikan kelab masih lagi berlarutan.

Sir Jim Ratcliffe dan Sheikh Jassim kekal menjadi dua pembida utama untuk mendapatkan pemilikan daripada keluarga Glazer.

Kini terpulang kepada Glazer untuk menerima tawaran yang diberikan oleh kedua-duanya. Pada peringkat ini, Kumpulan Raine – firma yang bertanggungjawab menguruskan pertukaran hak milik kelab – turut ternanti-nantikan keputusan oleh pemilik dari Amerika Syarikat itu.

Keluarga Glazer dipercayai berdegil mahukan tawaran sebanyak £6 billion untuk melepaskan pegangan mereka.

BACA:  Neville: Hanya De Gea Pemain Bertaraf Dunia Dimiliki Manchester United