Cristiano Ronaldo Akhiri Kemarau Gol, Seterusnya Berjaya Bantu United Benam Brighton

Cristiano Ronaldo akhirnya berjaya mengakhiri kemarau gol beliau pada tahun 2022 selepas meledak gol ketika aksi bertemu Brighton di Old Trafford awal pagi tadi.

Sebelum aksi bertemu Brighton hari ini, pemain berusia 37 tahun itu melalui kemarau gol paling panjang dalam kariernya sejak dari tahun 2009.

Beliau gagal menjaringkan sebarang gol untuk Manchester United dalam semua pertandingan pada tahun ini selepas mengharungi enam perlawanan.

Beliau turut gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi kekalahan bertemu pasukan dari Championship, Middleborough dalam saingan FA Cup.

Walau bagaimanapun, Ronaldo akhirnya kembali menemui sentuhan jaringannya selepas mengharungi segala kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak sebelum ini.

Beliau berjaya menjaringkan gol ketika aksi bertemu Brighton seterusnya membantu Man Utd menewaskan anak-anak buah Graham Potter itu dengan keputusan 2-0.

Manchester United mengharungi aksi babak pertama yang agak sukar dengan mereka gagal untuk memberi ancaman ke kubu Brighton.

Sebaik bermulanya aksi babak kedua, Manchester United mula merencana serangan merbahaya dan mereka nampak lebih aggressive.

Pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu kemudiannya berjaya menjaringkan gol yang cukup padu dan menakjubkan untuk bantu United mendahului perlawanan 1-0.

Ia jelas sekali gol yang cantik dengan Ronaldo tenang melepasi pemain pertahanan Brighton dan melepaskan rembatan padu menewaskan Robert Sanchez.

Beliau juga turut nampak sangat puas ketika meraikan gol jaringannya itu seolah-olah baru saja melepaskan beban yang berat dari bahunya.

Mungkin agak terlewat, namun tahun 2022 Ronaldo mungkin baru bermula sekarang dan gol jaringan beliau itu juga sebenarnya sedikit ironi.

Gol jaringan Cristiano Ronaldo terhasil beberapa minit sahaja selepas Lionel Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk PSG ketika bertemu Real Madrid.

Tidak lama selepas Ronaldo meletakkan Manchester United di hadapan, Brighton terpaksa akur bermain dengan 10 orang pemain.

Pemain pertahanan Brighton, Lewis Dunk telah dilayangkan dengan layangan kad merah kerana mengasari Anthony Elanga.

Pengadil perlawanan awalnya hanya melayangkan kad kuning sahaja kepada Dunk, namun selepas merujuk VAR, beliau menukar kepada kad merah.

United sebenarnya berpeluang untuk kill the game selepas Lewis Dunk dibuang padang namun sayangnya beberapa percubaan mereka berjaya dinafikan oleh pasukan pelawat.

Setan merah perlu menunggu sehingga aksi tambahan masa untuk memperoleh gol kedua mereka dalam perlawanan ini menerusi Bruno Fernandes.

Paul Pogba mengambil sepakan percuma pantas mencari Bruno Fernandes, dengan bintang Portugal itu kemudiannya membawa bola masuk ke kotak penalti, sebelum melepaskan rembatan padu untuk gol kedua setan merah.

United sebenarnya bernasib baik kerana mampu kekalkan keputusan 1-0 sehingga minit ke-90 permainan, kerana Brighton sebenarnya berpotensi untuk menjaringkan gol penyamaan, walaupun mereka sedang bermain dengan kekurangan seorang pemain.

Brighton boleh dikatakan tak nampak seperti bermain dengan kekurangan seorang pemain, dengan mereka tak henti-henti melancarkan serangan ke kubu United.

Gol jaringan Bruno Fernandes jelas sekali menamatkan terus harapan Brighton untuk melakukan comeback, apa lagi gol tersebut dijaringkan di minit akhir perlawanan.

Manchester United kini kembali memintas West Ham untuk menduduki kedudukan keempat dalam carta saingan liga, dengan mengumpul 43 mata.

Mereka walau bagaimanapun perlu berhati-hati dengan Arsenal yang kini hanya empat mata dibelakang, tetapi memiliki kelebihan tiga perlawanan yang masih belum dimainkan.

Wolverhampton Wanderers dan Tottenham Hotspur juga sebenarnya berpotensi untuk memintas United kerana kedua-dua mereka mempunyai baki perlawanan yang masih belum dimainkan.

Sumber: GMS

BACA:  Allegri: Beri Ronaldo Masa Untuk Menyesuaikan Diri Dengan Serie A