Cristiano Ronaldo Terima Tawaran Bernilai £210 Juta Untuk Bermain Di Arab Saudi

Legenda Manchester United, Cristiano Ronaldo telah ditawarkan kontrak mega untuk bermain di Arab Saudi.

Menurut media Portugal, CNN Portugal, sebuah kelab terkenal di Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan yang mereka sanggup mengeluarkan dana luar biasa dasyat untuk mendapatkan bintang Manchester United itu.

Ronaldo bahkan turut ditawarkan tawaran gaji yang sungguh lumayan, melebihi apa yang pernah beliau terima ketika bersama Juventus sebelum ini.

Kelab dari Arab Saudi itu juga sanggup membayar €30 juta kepada Manchester United untuk mendapatkan khidmat bintang Portugal itu.

Nilai €30 juta itu sebenarnya sudah cukup lumayan memandangkan Man Utd sendiri mengeluarkan dana yang jauh lebih rendah ketika membawa Ronaldo ke Old Trafford dari Turin.

Seandainya Ronaldo bersetuju untuk melengkapkan perpindahan tersebut, beliau dijangka akan menerima £105 juta setahun, dan ia bermaksud beliau bakal membawa pulang £210 juta selama dua musim di Arab Saudi.

Kelab tersebut turut menawarkan bonus mega bernilai £20 juta kepada Mendes sebagai bayaran agent fees.

Cristiano Ronaldo telah mencetuskan sensasi dalam dunia bola sepak selepas beliau meminta pihak kelab untuk melepaskan beliau pada musim panas ini.

Bintang Portugal itu meminta pihak kelab supaya melepaskan beliau seandainya ada tawaran yang memuaskan hati dalam tempoh beberapa minggu ini.

Ia merupakan berita yang dilaporkan oleh The Times yang mendakwa bahawa pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu mahu meninggalkan kelab kerana beliau mahu beraksi di pentas saingan Champions League.

Manchester United gagal untuk mendapatkan slot ke saingan Champions League musim ini selepas mereka mengakhiri saingan Premier League musim lalu di kedudukan keenam sahaja.

Ronaldo tidak sanggup mahu beraksi di pentas saingan Europa League dan kerana itu beliau meminta pihak kelab untuk melepaskannya.

Bahkan, pemain berusia 37 tahun itu turut percaya yang beliau masih boleh beraksi selama tiga ke empat tahun lagi di pentas bola sepak profesional.

Memandangkan pemain penyerang berpengalaman itu pada ketika ini sedang memasukki tahun terakhir dalam kontraknya, maka ramai yang percaya beliau tidak akan kekal bersama kelab pada musim baru nanti.

Hal berkait masa depan beliau terus menjadi topik perbualan hangat para peminat dengan Ronaldo juga masih belum menyertai skuad Man United pada aksi pra-musim ini.

Bulan lalu, ejen beliau dilaporkan telah mengadakan rundingan bersama pemilik Chelsea, Todd Boehly berkait urusan perpindahan bekas bintang Juventus dan Real Madrid itu.

Menurut sumber laporan dari The Athletic, Boehly terbang ke Portugal untuk bertemu Jorge Mendes dan kedua-dua mereka berunding berkait potensi untuk Ronaldo ke Stamford Bridge pada jendela perpindahan musim panas ini.

Bayern Munich turut dikaitkan dengan pemain penyerang berusia 37 tahun itu dengan Jorge Mendes dilaporkan telah menawarkan sendiri Ronaldo kepada gergasi Bundesliga itu.

Walau bagaimanapun, terdapat dakwaan dari media Jerman yang mendakwa selepas tamat rundingan tersebut, CEO kelab, Oliver Kahn dan sport director kelab, Hasan Salihamidzic telah menolak untuk menandatangani bintang Portugal itu.

Bayern Munich tidak mempunyai perancangan untuk mendapatkan khidmat Ronaldo dan kerana itulah CEO dan sporting director kelab menolak untuk meneruskan rundingan tersebut.

Hal itu turut menyebabkan Mendes terpaksa mengalihkan perhatian beliau untuk mencari kelab lain, dan pada bulan lalu, media Itali La Gazzetta dello Sport telah mendedahkan yang super ejen itu turut menawarkan Ronaldo kepada kelab-kelab dalam saingan Serie A.

Mendes menawarkan Ronaldo kepada AS Roma yang pada ketika ini sedang dikendalikan oleh bekas pengurus Ronaldo sendiri, Jose Mourinho.

Walau bagaimanapun, rakan sepasukan Ronaldo, Bruno Fernandes percaya yang Ronaldo akan kembali sertai skuad setan merah pada aksi pra-musim ini walau beliau masih sibuk berunding berkait masa depannya.

“Saya ada bercakap dengan dia beberapa minggu lalu, kami berdua sama-sama pergi bercuti, tak ada sesiapa akan ganggu sahabat sedang bercuti.”

Jelas Fernandes kepada media Portugal.

“Saya harap akan jumpa dia di padang latihan selepas ini. Saya tak jangka apa-apa lebih dari itu. tak ada yang lebih dari itu, cuma itulah masing-masing menjaga masa depan sendiri.”

“Saya tak percaya yang pihak kelab akan sanggup hilang pemain yang bernilai seperti Cristiano.”

Selepas kejayaan mereka mencatatkan kemenangan selesa 4-0 menewaskan Liverpool di Thailand kemarin, skuad Manchester United kini sedang berada di Australia untuk meneruskan sesi jelajah mereka.

Man United jelas sekali sudah bersedia untuk mencabar sesuatu pada musim baharu nanti di bawah kendalian Erik Ten Hag.

Sumber: SPORTbibble

BACA:  Perbezaan Ronaldo Dan Messi Dari Kaca Mata Joao Cancelo