Danny Murphy Beri Amaran Kepada Newcastle Supaya Tidak Pecat Steve Bruce

Danny Murphy tanpa segan silu telah memberi amaran kepada Newcastle United supaya tidak memecat pengurus mereka ketika ini, Steve Bruce yang sememangnya tidak lagi menjadi pilihan para netizen.

Bekas pemain tengah Liverpool itu percaya bahawa Steve Bruce merupakan insan yang terbaik untuk membawa Newcastle United keluar dari kedudukan tiga terbawah Premier League ketika ini.

Khabar angin semakin bertiup kencang ketika ini bahawa Steve Bruce akan kehilangan jawatannya sebelum perlawanan Newcastle United menentang Tottenham Hotspur apabila liga kembali bersambung.

“Keadaan di Newcastle United sekarang tidak menentu,” Ujar Danny Murphy kepada talkSPORT.

“Mereka mempunyai pengurus yang pernah berada di sana dan mampu bangkit dari kedudukan bawah Liga Perdana; bahkan situasi sama di Newcastle, ketika mereka memulai musim dengan buruk tahun lalu.

“Adakah seseorang di luar sana yang dapat mereka bawa yang akan lebih siap sedia untuk melakukan pekerjaan itu daripada Steve Bruce?

“Anda boleh bercakap tentang menggembirakan para peminat dan berusaha membuat semua orang ikut serta dalam pengambilalihan. Tetapi itu tidak semestinya dengan menendang Steve Bruce keluar dan membawa orang lain yang akan melakukannya dengan lebih baik.

Bagi Danny Murphy lagi, pemecatan Steve Bruce selepas pengambilalihan adalah untuk menggembirakan semua pihak terutamanya penyokong dan Murphy percaya tiada pengurus lain yang mampu bertarung di zon penyingkiran seperti Bruce.

“Saya rasa mereka akan menyingkirkannya kerana itulah yang mereka mahukan dan mereka berusaha untuk membuat semua orang gembira ketika ini dengan pengambilalihan.”

“Jadi, siapa yang akan mereka bawa masuk? Tidak ada calon yang jelas untuk masuk dan bertarung di zon penyingkiran.”

“Ada banyak pengurus yang terbaik di luar sana, tetapi siapa di luar sana yang dapat bertarung di zon penyingkiran dan memenangkan permainan yang tidak akan selalu senang atau mudah dipandangan mata? Tidak ada yang melompat ke arah saya.”

Mungkin Danny Murphy lupa atau hilang ingatan bahawa Steve Bruce lah insan yang meletakkan Newcastle United ditangga ke-19 liga selepas tujuh perlawanan dengan tiga mata tanpa sebarang kemenangan.

Difikirkan secara logik agak tidak masuk akal untuk terus menggunakan Steve Bruce yang meletakkan Newcastle di situasi sekarang dan berharap Bruce juga membawa Newcastle keluar dari zon penyingkiran.

Dengan hanya tujuh perlawanan sahaja sudah berlalu dengan kekuatan kewangan yang ada pada pemilik baru yang sanggup berbelanja untuk membina pasukan sudah pasti Steve Bruce bukan calon yang sesuai.

Pengarah baru Newcastle United, Amanda Staveley telah memberitahu Sky Sports cita-cita jangka panjang Newcastle United adalah untuk menjadi juara Premier League.

Tetapi untuk menjadi juara Premier League dan bermain di Eropah apa yang diperlukan adalah kesabaran. Perancangan ini akan mengambil masa 5 sehingga 10 tahun.

Dengan reputasi dan track record Steve Bruce adalah sangat mustahil untuk Newcastle United membina pasukan untuk masa depan menggunakan khidmat beliau lagi.

Dalam satu temuramah bersama The Telegraph, Steve Bruce masih lagi berharapa diberikan peluang untuk membuktikan kehebatan dan kemampuan diri kepada pemilik kelab yang baru.

Steve Bruce sedar kebarangkalian bahawa beliau akan kehilangan kerjanya sebelum The Magpies bertemu Tottenham Hotspur pada hari ahad apabila Premier League kembali bersambung.

Beberapa nama besar yang tidak berjawatan menjadi sebutan seperti Antonio Conte, Frank Lampard dan Zinedine Zidane selain nama Jose Mourinho, Rafael Benited dan Brendan Rodgers juga naik.

Ketika ini nama Antonio Conte dilihat sebagai calon paling sesuai untuk Newcastle United membina reputasi sebagai pasukan digeruni dengan syarat Newcastle mampu memenuhi keinginan dan memberi kebebasan kepada Antonio Conte.

Conte sememangnya seorang pengurus yang tegas, beliau akan hasilkan keputusan yang positif andai kelab memberi kerjasama dengannya.

Beliau meninggalkan Inter Milan selepas kelab memutuskan untuk menjual Achraf Hakimi dan Romelu Lukaku yang dianggap pemain terpenting dalam sistem kendaliannya.

Dengan Conte sememangnya sudah bersetuju tidak akan terima tawaran lain di Itali pada ketika ini selepas beliau meninggalkan San Siro, maka semakin ramai yang percaya beliau tentu akan kembali ke Premier League.

Antara halangan terbesar melantik Conte adalah beliau lebih memilih untuk mengambil tanggungjawab pada awal musim berbanding separuh jalan.

BACA:  Newcastle Akan Julang EPL Dulu Sebelum Man Utd