De Gea Beri Ucapan Semangat Kepada Bintang United Yang Akan Bersara Di Usia 23 Tahun

Penjaga gol muda Manchester United, Paul Woolston terpaksa mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak, walaupun baru sahaja berusia 23 tahun.

Beliau terpaksa bersara dari dunia bola sepak kerana dibelenggu masalah kecederaan berpanjangan dan masalah tersebut juga memustahilkan beliau untuk kembali beraksi semula.

Bekas penjaga gol Newcastle United itu tak mampu untuk kembali ke tahap kecergasan terbaiknya selepas mengalami kecederaan yang tak dapat dikenal pasti.

Kecederaan tersebut menyebabkan beliau terpaksa menjalani dua pembedahan dan beliau juga turut memerlukan masa yang panjang untuk melalui fasa penyembuhan.

Woolston mewakili skuad bawah 23 tahun Manchester United dan turut pernah beraksi bersama skuad kebangsaan England sehingga usianya 18 tahun.

Man United telah mengumumkan persaraannya di laman media sosial kelab, dengan pemain sendiri turut bercakap tentang keputusan yang sangat menyedihkan itu.

“Untuk bersara di usia 23 tahun sebenarnya satu keputusan yang sangat sukar untuk diterima, tapi sekarang saya rasa semakin positif.”

Jelas penjaga gol berusia 23 tahun itu.

“Saya sangat berbangga dengan segala yang sudah saya capai, ramai orang mengimpikan untuk bermain bola sepak di tahap ini. Sudah tentu, saya juga sangat mahu untuk pergi lebih jauh tapi dapat bermain bersama Manchester United juga sudah menjadi satu kebanggaan untuk saya.”

“Sokongan dari keluarga saya, kawan, rakan sepasukan, jurulatih, medical staff dan semua yang ada di akademi sungguh luar biasa menakjubkan.”

“Semua orang dah memainkan peranan penting dalam perjalanan saya dan menaikkan semangat saya, membenarkan saya untuk dapat aura positif dan menikmati pengalaman bermain serta menyokong saya di masa hadapan.”

“Sekarang, saya akan beri tumpuan untuk tahap seterusnya dalam karier saya. Saya sudah bersedia untuk gunakan semua yang saya belajar, daya tahan untuk memacu saya lebih berjaya dalam kehidupan saya.”

Penjaga gol nombor 1 Manchester United, David De Gea turut memuat naik ucapan untuk Woolston atas persaraannya.

“Selamat maju jaya bro.”

Tulis penjaga gol Sepanyol itu di laman twitter miliknya.

Sudah tentu semangat dari De Gea sangat bermakna untuk Woolston apa lagi mengenangkan beliau dapat kata-kata tersebut dari penjaga gol idolanya.

Pihak kelab juga sudah menyediakan program sokongan untuk menyokong Woolston menghadapi kehidupan baru beliau selepas bersara dari dunia bola sepak.

Tentu sekali hal ini akan sangat menyakitkan beliau kerana di usia 23 tahun beliau sebenarnya mempunyai perjalanan karier yang masih panjang.

Beliau masih belum sempat menikmati karier terbaiknya lagi namun sudah terpaksa menggantung glove kerana masalah kecederaan.

Apa yang sedang dilalui oleh Woolston pada ketika ini merupakan mimpi ngeri untuk setiap pemain lain yang ada dalam dunia bola sepak hari ini.

Bersara di usia muda kerana masalah kecederaan, semoga saja beliau tabah dan mampu untuk meneruskan kehidupan barunya selepas ini dengan jayanya.

Tahniah juga kepada Manchester United, yang masih memikirkan masa depan Woolston dan menyediakan program sokongan untuk memberi sokongan kepada bekas pemain mereka itu.

Ia merupakan satu sikap terpuji dari Manchester United sendiri kerana menjaga kebajikan pemain dari karier mereka bersama kelab, sehinggalah selepas mereka bersara.

Para pemain pada ketika ini sedang berada bersama skuad kebangsaan masing-masing bagi beraksi di pentas bola sepak antarabangsa.

Mereka selepas ini akan kembali ke kelab masing-masing untuk menghabiskan baki saingan musim ini.

Man Utd musim ini sepertinya sudah rasmi tidak akan memenangi apa-apa selepas mereka tersingkir dari semua pertandingan yang mereka sertai.

Satu-satunya pertandingan yang mereka masih sertai adalah saingan Premier League dan sepertinya mereka hanya mampu untuk bersaing merebut kedudukan empat teratas sahaja.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Man Utd Optimis Onana Akan Ke Old Trafford Ganti De Gea