Detik-Detik Cristiano Ronaldo Pecahkan Rekod 109 Gol Antarabangsa Milik Ali Daei

Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo terus menggoncang dunia bola sepak apabila dia telah memecahkan rekod jaringan terbanyak buat pasukan kebangsaan selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Kumpulan A UEFA menentang Republik Ireland.

Dalam perlawanan yang dilangsungkan di Estadio Algarve tersebut, Ronaldo berpeluang untuk memecahkan rekod 109 gol milik penyerang lagenda Iran, Ali Daei, seawal minit ke-15 apabila Portugal dihadiahkan sepakan penalti selepas Bruno Fernandes dikasari di dalam kotak penalti.

Namun, sepakan Ronaldo tersebut berjaya dibaca dengan baik oleh penjaga gol Ireland yang berusia 19 tahun, Gavin Bazunu, dan ditepis ke tepi.

Dalam keterujaan pasukan Portugal melakukan serangan, mereka terpana pada minit ke-45 apabila John Egan berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan flick yang cantik, hasil daripada tendangan penjuru Jamie McGrath.

Pada separuh masa kedua, Portugal terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu Ireland namun digagalkan oleh pertahanan pasukan lawan yang berkampung di dalam kotak penalti sendiri, selain cubaan-cubaan meliar daripada para pemain serangan Portugal sendiri.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan tiga mata buat Ireland, muncul seorang lagenda yang bukan sahaja menyelamatkan pasukannya, malah mencipta rekod baru jaringan terbanyak buat pasukan kebangsaan.

Bola hantaran dari sebelah kanan padang oleh Goncalo Guedes ke tengah kotak penalti, disambut oleh Ronaldo yang melonjak tinggi, lalu menanduk bola ke sebelah tepi gol Ireland, dengan Bazunu hanya mampu melihat gawangnya akhirnya dibolosi oleh pemain terbaik dunia itu.

Alang-alang sudah jaringkan gol pertama, baik jaringkan gol kedua – mungkin ini yang difikirkan oleh pemain yang memakai jersi nombor 7 Portugal itu.

Hasilnya, pada minit ke-96 perlawanan, juga menerusi hantaran dari sebelah kanan dan kali ini oleh Joao Mario, Ronaldo sekali lagi berjaya melakukan tandukan yang tepat menerjah gawang lawan sekaligus menghadiahkan kemenangan buat Portugal dan membolehkan pasukan tersebut mendapat tiga mata penting dalam perlawanan kelayakan ke Piala Dunia 2022 ini.

Dengan kemenangan tersebut, Portugal gah di tangga teratas kumpulan A dengan 10 mata daripada empat perlawanan.

Penyokong Manchester United pasti sangat gembira melihat aksi Ronaldo dalam perlawanan menentang Ireland ini. Ye lah, Ireland bermain secara defending deep dan pasukan mereka sering menghadapi masalah ketika bertemu pasukan yang bermain begini.

Namun dengan kemasukan semula Ronaldo ke kelab yang pernah menaikkan namanya, pasti sebahagian besar penyokong United dapat merasakan bahawa masalah mereka ketika bertemu pasukan parking bas sudahpun menemukan jalan penyelesaian.

Rekod Jaringan Antarabangsa Ronaldo

Piala Eropah 2020 merupakan kejohanan terbaik untuk Ronaldo. Dua jaringan ketika mengikat Perancis dalam menyaksikan Ronaldo sudah mengumpul 5 gol, selepas melakukan hatrik dalam perlawanan pembukaan pasukan Portugal ketika menentang Hungary.

Ia merupakan koleksi gol paling banyak dilakukan oleh Ronaldo berbanding Piala Eropah 2004 di mana dia sekadar merekodkan dua jaringan, 2008 (1 gol), 2012 (3 gol) dan 2016 (3 gol).

Malah Ronaldo tidak pernah menjaringkan gol sebanyak itu dalam empat kejohanan Piala Dunia yang disertainya.

Pada sesi kelayakan Piala Eropah Ronaldo mengumpul 31 gol, pada masa yang sama, dia telah melakukani 30 jaringan dalam empat  sesi kelayakan Piala Dunia.

Untuk rekod, jaringan antarabangsa pertamanya hadir dalam kejohanan besar iaitu di Piala Eropah 2004. Kalau dilihat kepada corak jaringan Ronaldo, sentuhan semakin tajam ketika usianya semakin meningkat.

Pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 (15 gol) dan kelayakan Piala Eropah 2020 (11 gol) -merupakan fasa terbaiknya dari sudut jumlah jaringan.

Malahan Ronaldo menjaringkan lebih banyak gol di Piala Dunia 2018 (4 gol) dan Piala Eropah (5 gol) berbanding edisi-edisi sebelumnya.

Secara keseluruhan Ronaldo mempunyai 14 gol di pusingan akhir Piala Eropah dan 7 gol Piala Dunia. Apabila dicampur dengan pusingan kelayakan, Ronaldo mempunyai koleksi 82 gol (Ali Daei: 73 gol).

Baki 27 gol dihasilkan dalam perlawanan persabahatan, Piala Konderasi FIFA dan UEFA Nations League.

BACA:  Ronaldo Tipu Evra Kononnya Akan Kembali Bersama Sir Alex Di Man Utd