Drogba: Mourinho Akan Menangi Liga Perdana Inggeris Jika Beliau Pegang Manchester City

Bekas pemain Chelsea, Didier Drogba mendakwa Jose Mourinho akan memenangi Liga Perdana Inggeris dua atau tiga kali sekiranya beliau menjadi pengurus Manchester City.

Sepanjang bergelar pengurus di England, Mourinho telah memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak tiga kali dengan kesemuanya dimenangi ketika menguruskan Chelsea.

Mourinho sedang melalui waktu yang sukar di Old Trafford ketika ini

Walau bagaimanapun, sejak mengambil alih tampuk pengurusan di Old Trafford pada tahun 2016, Mourinho bergelut untuk mengulangi pencapaiannya di Stamford Bridge. Pencapaian terbaik Mourinho dalam saingan liga setakat ini adalah membimbing Red Devils berada di kedudukan kedua musim lalu, namun jauh ditinggalkan Manchester City yang berjaya memecahkan rekod kutipan mata dengan memungut 100 mata.

Musim ini berlangsung tidak seperti yang diharapkan Mourinho. Manchester United bergelut di awal musim dan mencatatkan permulaan musim paling buruk dalam sejarah kelab tersebut dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Dalam perlawanan terakhir sebelum aksi antarabangsa, anak buah Pep Guardiola dengan mudah mengayamkan Manchester United di Etihad Stadium. Kekalahan tersebut juga menyebabkan Mourinho mengeluarkan kenyataan yang mendakwa United mungkin bergelut untuk meraih tempat empat teratas musim ini selepas melihat pasukannya tersadai di kedudukan ke-8 liga ketika ini.

Drogba percaya Mourinho mampu menangi Liga Perdana Inggeris jika beliau uruskan City

Mourinho juga menerima tekanan daripada segelintir peminat yang sudah hilang sabar dengan cara Mourinho mengendalikan pasukan. Namun begitu, masih lagi ada yang menyayangi Mourinho dan kali ini kata-kata semangat untuk Mourinho datang dari bekas pemainnya di Chelsea dulu, iaitu si dubuk liar Didier Drogba.

Drogba tergolong dalam kelompok spesies terancam yang percaya Mourinho masih lagi individu yang tepat untuk membimbing pasukan Setan Merah. Drogba juga percaya Mourinho menerima kritikan yang hebat kerana pengurus itu telah memenangi pelbagai trofi sebelum ini.

“Saya rasa jika anda letakkan Mourinho di Manchester City, beliau mungkin akan memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak dua kali, mungkin juga tiga kali.”

“Beliau menerima kritikan kerana meletakkan standard yang tinggi iaitu menang, menang, dan menang. Dan sekarang Mourinho tidak menang dan gagal mencapai keputusan seperti dulu.”

“Mourinho masih lagi berada di sana [Manchester United]. Anda boleh lihat senarai pengurus yang berada di Manchester United sejak beberapa tahun ini.”

“Untuk menjadi pengurus selepas era Sir Alex Ferguson bukanlah satu kerja yang mudah. Duit yang mereka miliki sekarang tidak sama seperti dulu.”

Gandingan Drogba dan Mourinho berjaya hasilkan tiga trofi EPL untuk The Blues. Mantop

“Orang hanya akan fokus pada yang terbaik, dan Mourinho merupakan antara pengurus yang terbaik. Sebab itulah beliau menerima segala tumpuan ini.”

“Saya rasa Mourinho sedang mencabar dirinya dengan mengambil cabaran ini [menguruskan Manchester United] kerana ia satu cabaran yang besar. Jika orang selalu mengkritiknya, bagaimana beliau boleh menikmati kerjaya ? Ia situasi yang sukar. Mourinho juga seorang manusia.”

“Mourinho sedang cuba menukar pendekatan yang diambilnya. Dan itulah perkara yang dilakukan pengurus yang bagus apabila keadaan tidak memihak kepada mereka.”

BACA:  Mkhitaryan Salahkan Diri Sendiri Mengenai Kegagalan Di Old Trafford