Dua Perpindahan Berprofil Tinggi Dijangka Berlaku Sebelum Jendela Ditutup

Liga-liga utama di Eropah kesemuanya telah memulakan saingan dan setakat ini, senarai perpindahan pemain juga telah hampir lengkap bagi setiap kelab.

Pemain terbaik dunia, Lionel Messi, mencipta gempar pada musim panas di Eropah selepas dia tidak lagi menyarung jersi Barcelona bermula musim ini apabila kontraknya tidak disambung oleh kelab gergasi La Liga tersebut. Hal ini kerana Barcelona dilanda masalah kewangan yang sangat meruncing sehingga bukan sahaja tidak dapat menyambung kontrak Messi malah hampir tidak dapat mendaftarkan pemain baru yang lain.

Kelab gergasi England, Manchester City pula memecahkan rekod perpindahan bagi pemain Inggeris apabila membeli tonggak dan kapten Aston Villa, Jack Grealish, pada harga £100 juta. Tidak membuang masa, Grealish telah mula menjaringkan gol ketika pasukan tersebut menewaskan Norwich tempoh hari.

Jiran City, United, turut tidak mahu ketinggalan untuk berbelanja besar apabila membawa masuk pemain pertahanan Real Madrid Raphael Varane dan juga pemain sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho, dengan nilai perpindahan kedua-dua pemain ini dianggarkan sekitar £110 juta.

Chelsea pula membawa pulang Romelu Lukaku ke Stamford Bridge selepas membayar Inter Milan sebanyak £90 juta.

Dengan jendela perpindahan akan ditutup pada 31 Ogos nanti, terdapat dua perpindahan berprofil tinggi yang dijangka akan berlaku.

Pemain PSG, Kylian Mbappe, dikatakan tidak mahu menyambung kontraknya bersama kelab ibu kota Perancis tersebut dan sedang memaksa pasukannya menerima lamaran daripada bekas juara La Liga, Real Madrid.

Dengan kontraknya yang akan tamat pada musim panas tahun hadapan, PSG bakal kehilangan pemain ini secara percuma selepas membelinya pada harga €180 juta dari AS Monaco tiga tahun lepas.

Bersama PSG, Mbappe telah menjaringkan lebih 100 gol dalam kesemua pertandingan, dan pada usia yang baru akan memasuki 23 tahun, Mbappe dilihat sebagai aset jangka panjang mana-mana pasukan yang disertainya nanti.

Setakat ini, Real Madrid dipercayai telah membida pemain ini pada harga €160 juta sahaja, dan pastinya bidaan ini ditolak oleh PSG. Pada masa yang sama, PSG perlu membuat perkiraan sama ada terpaksa melepaskan pemain ini pada harga yang rendah atau kehilangan pemain ini secara percuma.

Pada masa yang sama, Mbappe dikatakan sudah memilih nombor jersi di Real Madrid di mana dia berminat untuk mengenakan jersi bernombor 5, sebagai penghormatan kepada lagenda Real yang juga idola pemain ini, Zinedine Zidane.

Nombor ini buat masa sekarang masih belum dimiliki oleh mana-mana pemain selepas ditinggalkan oleh Varane.

Selain Mbappe, satu lagi perpindahan yang berprofil tinggi yang dijangka bakal terjadi adalah lagenda Real Madrid, Cristiano Ronaldo yang kini bermain untuk Juventus, yang dikhabarkan akan berpindah ke jiran kelab yang pernah diwakilinya di England, Manchester City.

Selepas kehilangan Sergio Aguero yang berpindah ke Barcelona, City dilihat tidak mempunyai penyerang sejati di bahagian hadapan dengan pilihan yang ada hanyalah Gabriel Jesus.

Benar, Pep Guardiola sering menggukan sistem permainan yang berkonsepkan false 9 di bahagian hadapan, tetapi khidmat penyerang tulen masih tetap diperlukan untuk memastikan pasukan tersebut mampu untuk bersaing dalam kesemua kejohanan yang disertai.

Jika perpindahan Ronaldo ke City ini menjadi kenyataan, maka pastinya para penyokong Manchester United akan berasa sedih, pilu sepilu-pilunya namun engkau tak peduli.

City dikatakan telah menghantar bidaan sebanyak €30 juta kepada Juventus, dan perkara ini masih belum diputuskan oleh pengurusan tertinggi kelab. Pun begitu, ejen Ronaldo, Jorge Mendes, dikatakan sudah berbincang terma dan syarat peribadi bagi pemain tersebut bersama City.

Dengan perpindahan ini hampir menjadi kenyataan, persoalan dan masalah yang besar akan timbul, jersi nombor berapakah yang akan dipakai Ronaldo yang sinonim dengan nombor 7 yang mula digunakannya ketika menyertai United?

Jika dia memakai nombor lain, adakah dia akan masih berbisa seperti biasa?

Berat juga permasalahan ni.

BACA:  Manchester Umum Cristiano Ronaldo Sah Kembali ke Pangkal Jalan