Eddie Howe Nafi Sebarang Klausa Untuk Newcastle Dapatkan Ronaldo

Pengurus Newcastle United, Eddie Howe telah tampil untuk menafikan dakwaan bahawa terdapat klausa dalam kontrak Cristiano Ronaldo yang membolehkan pemain itu menyertai The Magpies pada Jun ini.

Laporan baharu mendakwa bahawa kontrak Cristiano Ronaldo yang sangat menguntungkan dengan Al-Nassr dari Arab Saudi mempunyai kelebihan kepada pemain itu jika Newcastle United menduduki empat teratas.

Dengan menamatkan musim 2022/23 ini ditempat empat teratas ini bermakna Newcastle United akan dapat bermain di kejohanan teragung Eropah, UEFA Champions League.

Sepanjang 15 bulan yang lalu, mereka telah melabur dengan membawa masuk banyak pemain dan mengubah nasib kelab daripada tempat penyingkiran dan kini berada di tempat yang betul untuk kejohanan kelab utama Eropah.

The Magpies kini menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana, di belakang juara bertahan Manchester City, dan Arsenal yang terbang tinggi bimbingan Mikel Arteta di kedudukan tergayat. Satu pencapaian melebihi sasaran awal Newcastle.

Satu klausa dalam kontrak baharu Ronaldo dilaporkan menyatakan dia akan dibenarkan menyertai Newcastle United kendalian Eddie Howe secara pinjaman jika The Magpies menamatkan saingan di empat teratas dan layak ke saingan bola sepak Champions League untuk musim 2023-24.

Namun Eddi Howe telah tampil menafikan perkara ini dan jika klausa ini benar sudah pasti keizinan dan persetujuan terlebihan akan diminta kepada Newcastle United terlebih dahulu dan tidak sewenang-wenangnya dimasukkan dalam kontrak Ronaldo.

“Kami mendoakan yang terbaik buat Cristiano dalam lembaran baharunya, tetapi perkara itu tidak benar dari perspektif kami. Tidak benar bahawa kami mempunyai klausa seperti itu.”

The Magpies telah memecahkan rekod perpindahan mereka pada musim panas untuk menandatangani penyerang Sweden Alexander Isak, dan nampaknya walaupun penamat empat teratas tidak akan menghadirkan Ronaldo ke James Park secara pinjaman, lebih baik menunggu Isak pulih dari kecederaan.

Laporan daripada Marca ini terus mewujudkan teori baru bahawa perpindahan Cristiano Ronaldo ke Al Nassr ini mungkin hanya satu persinggahan atau sekadar transit sementara menunggu untuk kembali ke Premier League.

Jika Newcastle United mahu mendapatkan Ronaldo pastinya mereka tidak mampu dan mahu mengubah struktur gaji sedia ada dengan prestasi pasukan yang mengagumkan.

Dengan kehadiran Ronaldo sebagai pemain pinjaman mungkin segalanya di tanggung Al Nassr dan Newcastle United pula dimiliki oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi.

Bagi Ronaldo yang sedar karier di Eropahnya sudah hancur jadi dia memilih Al Nassr untuk menang dan menikmatinya. Dia hanya mahu menikmati bola sepak kembali dengan senyuman.

Dalam sidang media pertam bersama Al Nassr Ronaldo telah menjelaskan bahawa karier di Eropah sudah berakhir dengan memenangi kesemua trofi dan kini dia ke Arab Saudi untuk mencari cabaran baru.

“Di Eropah kerja saya sudah berakhir. Saya menang segalanya. Saya bermain di kelab paling penting di Eropah dan bagi saya sekarang masanya untuk mencari cabaran baru.”

Ronaldo yang disambut dengan sorakan Sii di awal sidang media menyifatkan cakap-cakap orang ramai mengenai dirinya adalah dari mereka yang tidak tahu mengenai bola sepak.

“Ramai orang bercakap dan memberi pendapat tetapi mereka tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak. Sejujurnya, saya tidak bimbang dengan apa orang perkatan. Saya membuat keputusan saya sendiri.”

Eddie Howe telah menafikan perkara ini dan Ronaldo juga mengesahkan karier bola sepaknya di Eropah sudah tamat dan mahu mencari cabaran baru yang lebih sesuai dengan umurnya kini.

BACA:  Cristiano Ronaldo dan Manchester United Sah Bercerai