Pengurus Arsenal, Unai Emery memberi gambaran Mesut Ozil tidak berhak mendapat tempat dalam skuad utama ketika Arsenal tumpas di tangan West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam tadi.
Arsenal sekali lagi turun tanpa khidmat pemain yang menerima gaji paling mahal di kelab tersebut untuk berhadapan West Ham yang diperkuat dengan kehadiran bekas pemain Arsenal, Samir Nasri.
Jika sebelum ini, Ozil tidak bermain kerana mengalami kecederaan tetapi malam tadi menunjukkan Emery mempunyai sesuatu terhadap Ozil walaupun pemain tersebut sudah sembuh dan sedia untuk diturunkan.
Musim ini menyaksikan pelbagai punca mengapa Ozil tidak diturunkan dengan kebanyakannya adalah kerana masalah kecederaan. Satu-satunya perlawanan Ozil tidak diturunkan disebabkan kecederaan adalah ketika menentang Bournemouth dimana Emery memilih untuk meninggalkan Ozil demi taktikal beliau.
Keputusan Emery untuk meninggalkan Ozil sepenuhnya dari skuad nyata memakan diri kerana Arsenal tewas tipis 1-0 hasil jaringan pemain berusia 19 tahun, Declan Rice. Ia merupakan jaringan senior pertama Rice sekaligus memberikan kekalahan ke-2 berturut-turut Arsenal di tempat lawan musim ini.
Untuk perlawanan menentang West Ham malam tadi, Emery memilih untuk menurunkan skuad yang sama seperti ketika mereka menumpaskan pasukan kedua tercorot liga, Fulham di tempat sendiri dua minggu yang lalu.
Perancangan Emery menurunkan 5 pemain pertahanan dan 2 pemain tengah bertahan jelas tidak berhasil dengan Arsenal bergelut untuk mencipta peluang jaringan. Perlawanan ini juga merupakan kali pertama Arsenal gagal menjaringkan gol sejak perlawanan pembukaan liga Ogos tahun lalu.
Selepas tamat perlawanan, Emery telah ditanya mengapa beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Ozil dari skuad yang bertandang ke London Stadium.
Walaupun tewas, Emery mempertahankan keputusannya dan berkata kesemua pemain yang dibawa beliau berhak berada dalam skuad.
“Saya yang membuat keputusan mengenai pemain yang terbaik untuk menghadapi perlawanan sebegini.”
“Kami menang dengan Ozil, dan kami kalah juga dengan Ozil. Saya rasa kami kalah atau menang bukan disebabkan seorang pemain sahaja.”
“Pemain yang berada di sini hari ini merupakan pemain yang berhak beraksi dalam perlawanan ini.”
“Kami mungkin boleh menang atau kalah. Kami akan terus bekerja dengan pemain yang kami ada kerana kesemua mereka adalah penting, tetapi hari ini saya mengambil keputusan untuk membawa kelompok pemain ini.”
Perlawanan Arsenal yang seterusnya selepas ini adalah menentang Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris sebelum bertemu Manchester United dalam pusingan ke-4 Piala FA hujung bulan ini. Arsenal akan menjadi tuan rumah untuk kedua-dua perlawanan.