Europa League 2022/23: Manchester United 0-1 Real Sociedad

Manchester United turun menentang Real Sociedad untuk perlawanan pertama mereka di saingan Europa League selepas hanya semusim merasa nikmat keagungan Champions League.

Harry Maguire, Fred, Casemiro, Anthony Elanga dan Cristiano Ronaldo bermula dari kesebelasan utama di samping Antony yang memegang tanda harga yang tinggi. Rugi tak pakai.

Real Sociedad diperkuatkan dengan Takefusa Kubo dan bahagian tengah mereka oleh pemain yang tidak asing lagi iaitu David Silva.

Real Sociedad telah kehilangan ayam tambatan mereka, Alexander Isak kepada Newcastle United di penghujung jendela musim panas apabila tidak mampu menolak tawaran lumayan.

Selain Real Sociedad, Manchester United telah diundi berada di kumpulan E bersama FC Sheriff dan juga Omonia Nicosia.

Cristiano Ronaldo mempunyai rekod gemilang ketika bertemu Real Sociedad ketika bersama Real Madrid, di mana meraih semua kemenangan dalam 9 perlawanan.

Dalam 9 perlawanan menentang Real Sociedad, Ronaldo telah menjaringkan 15 gol dan mencipta 4 bantuan gol. Masa tu Ronaldo masih lagi di puncak.

Sebelum perlawanan bermula kesemua pemain Real Sociedad dan Manchester United serta mereka yang hadir bertakafur selama seminit.

Upacara ini diadakan bagi memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth II yang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di usia 96 tahun.

Manchester United melalui laman sesawang mereka telah menzahirkan ucapan tahniah dan membuat kenyataan bahawa FA dan UEFA tidak akan membatalkan perlawanan.

Pada minit ke-35 Cristiano Ronaldo berjaya memecahkan kebuntuan dengan satu sundulan tajam selepas menerima hantaran daripada Diogo Dalot.

Tapi sayang gol itu dibatalkan kerana Cristiano Ronaldo jelas berada dalam kedudukan offside.

Awal separuh masa kedua, Erik Ten Hag telah membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Cristian Eriksen dan Diogo Dalot untuk Bruno Fernandes dan Lisandro Martinez.

Manchester United masih lagi buntu walaupun Cristiano Ronaldo dilihat lebih mengancam permainannya berbanding separuh masa pertama.

Takefusa Kubo mempamerkan kelincahan apabila mudah melepasi Scot McTominay untuk satu hantaran silang namun gagal disambut rakan sepasukan.

Tidak lama berselang pada minit ke-56, Real Sociedad berjaya memperoleh sepakan penalti selepas rembatan David Silva yang cuba dihadang Lisandro Martinez telah terkena tangan.

Pengadil perlawanan merujuk Video Assistant Referee (VAR) dan sah itu adalah penalti dan Brais Mendez tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan walaupun layangan badan David De Gea adalah tepat.

Pengulas perlawanan jelas tidak berpuas hati dengan keputusan VAR itu yang dianggap tidak sepatutnya memberikan sepakan penalti.

Pada minit ke-71 dua lagi pertukaran dilakukan Ten Hag dengan mengeluarkan dua Anthony yang mempunyai nama serta sebutan yang sama tetapi ejaan berbeza.

Antony Santos dan Anthony Elanga dikeluarkan lalu dimasukkan Jadon Sancho dan pemain muda berpotensi tinggi Alejandro Garnacho Ferreyra untuk memperkasakan serangan.

Berbaki 10 minit perlawanan, Manchester United masih gagal mencari gol penyamaan walaupun Casemiro hampir melakukannya.

Erik Ten Hag memberi peluang kepada seorang lagi pemain muda melakukan debut di pentas Eropah dengan memasukkan Charlie McNeill untuk Tyrell Malacia.

Ronaldo terus tumpul apabila sekali lagi terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila rembatannya berjaya diselamatkan.

Buntu dengan situasi itu, Ronaldo cuba pula helah merebahkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti namun pengadil menyuruhnya terus bangun.

Ada sentuhan dari pemain Real Sociedad tetapi terlalu lembut dan Ronaldo pula terlalu mudah merebahkan badan. Nampak sangat.

Ronaldo terus mencuba kali ini menerusi sepakan percuma yang sekadar menghentam benteng dan langsung tiada bahaya dan Sociedad hampir menggandakan kedudukan dengan satu serangan balas pantas, mujur De Gea pantas menyelamat.

Manchester United gagal menjaringkan sebarang gol untuk membolehkan Real Sociedad mencipta sejarah mencatat kemenangan pertama ke atas kelab Inggeris di kejohanan Eropah.

Manchester United: de Gea, Dalot, Lindelof, Maguire, Malacia, Eriksen, Casemiro, Fred, Antony, Ronaldo, Elanga.

Pemain Simpanan: Martinez, Bruno Fernandes, Varane, Heaton, Sancho, Wan-Bissaka, Dubravka, McTominay, Garnacho.

Real Sociedad: Remiro, Gorosabel, Elustondo, Pacheco, Munoz, Zubimendi, Mendez, Merino, Silva, Sadiq, Kubo.

Pemain Simpanan: Sola, Illarramendi, Zubeldia, Barrenetxea, Cho, Zubiaurre, Guevara, Navarro, Sorloth, Turrientes, Gonzalez, Karrikaburu.

Pengadil: Marco Di Bello (Italy).

BACA:  Neville Percaya United Perlu Tandatangani Pemain Ini Berbanding Declan Rice