Fabrizio Romano: Here We Go! Onana Dijangka Tiba Di Old Trafford Minggu Ini

Manchester United dijangka akan mengumumkan Andre Onana sebagai penjaga gol baharu mereka pada hujung minggu ini, sebaik segala proses dokumentasi dan pemeriksaan perubatan diselesaikan.

Kelab Manchester itu akhirnya berjaya mencapai persetujuan dengan Inter Milan pada hujung minggu lalu walaupun pada satu ketika United hampir gagal mendapatkan penjaga gol Cameroon itu setelah dua bidaan awal ditolak.

Wartawan terkenal dunia perpindahan bola sepak Fabrizio Romano mengesahkan kedua-dua pihak melakukan pertemuan pada hujung minggu ini untuk memastikan perpindahan tersebut menjadi kenyataan.

United juga dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan Onana untuk semua terma peribadi.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu dipercayai akan ditawarkan kontrak berdurasi empat tahun dengan pilihan sambungan semusim lagi.

Proses rundingan dipercepatkan dengan Inter kerana United mahu memastikan Onana sempat menyertai pasukan sebelum bermulanya pra musim.

Berita Manchester United secara rasmi melepaskan David de Gea dan tidak menyambung kontrak penjaga gol yang sudah 12 tahun bersama mereka pada lewat malam tadi (waktu Malaysia) juga adalah indikasi jelas kelab itu sudah berjaya mendapatkan Onana.

Walaupun kontrak penjaga gol itu tamat pada 30 Jun lalu, De Gea sentiasa di posisi untuk menandatangani kontrak baharu sekiranya diperlukan United, sebelum status Onana dipastikan.

Dalam mesej di media sosial, De Gea berterima kasih kepada penyokong United atas sokongan mereka berkata, “Sekarang, inilah masa yang sesuai untuk menyahut cabaran baharu, untuk mendorong diri saya semula dalam persekitaran baharu.”

“Saya ingin merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak berbelah bahagi atas kasih sayang selama 12 tahun yang lalu. Banyak yang kami capai sejak Sir Alex Ferguson yang saya sayangi membawa saya ke kelab ini.

“Saya berasa bangga setiap kali menyarung jersi ini, untuk mengetuai pasukan, mewakili institusi ini, kelab terbesar di dunia adalah penghormatan yang hanya diberikan kepada beberapa pemain bola sepak yang bertuah.

“Ia adalah tempoh yang tidak dapat dilupakan dan berjaya sejak saya datang ke sini. Saya tidak menyangka daripada meninggalkan Madrid sebagai budak muda, kami akan mencapai apa yang kami lakukan bersama.
“Manchester akan sentiasa berada di hati saya, Manchester telah membentuk saya dan tidak akan pernah meninggalkan saya. Kami telah melihat semuanya.”

BACA:  "Mereka Tak Peduli Tentang Saya"- Pogba Terus Menerus Hentam Man Utd