Filosofi Bolasepak Dari Kaca Mata Pep Guardiola, Yakin Pasukannya Mampu Menjadi Lebih Bagus Musim Hadapan

Menjelang pertemuan derby Manchester hujung minggu ini, pengurus Manchester City Pep Guardiola telah diundang ke rancangan Sky Sports Match Zone untuk berbincang lebih lanjut mengenai filosofi bolasepak beliau di Etihad.

Manchester City berpeluang mengesahkan status mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini sekiranya mereka berjaya menewaskan Manchester United di hadapan penyokong sendiri Sabtu ini.

De Bruyne pemain luar biasa

Menjelang pertemuan penting itu, Guardiola menerangkan lebih lanjut mengapa beliau mahu pemainnya mengekalkan penguasaan bola dengan melakukan hantaran pendek. Beliau juga mendedahkan Manchester City mungkin perlu menukar sistem pertahanan mereka bagi saingan musim hadapan.

Selain itu, bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich ini turut menaburkan pujian terhadap persembahan Kevin De Bruyne musim ini. Guardiola juga memberi amaran kepada pasukan lawan yang mereka bakal tampil lebih kuat musim hadapan bagi mengekalkan kecemerlangan mereka musim ini.

Mengenai Filosofi Hantaran Pendek Yang Dipraktikkan City Sekarang

“Saya percaya apabila seluruh pasukan mampu bertukar hantaran sependek 4 atau 5 meter, anda tidak akan berdepan risiko kehilangan bola. Tetapi jika anda melakukan hantaran sejauh 15 atau 20 meter dan pemain yang menerima tidak berada di posisi yang sepatutnya, anda tidak akan memenangi ‘second ball’ walaupun pemain anda laju.”

“Kami cuba untuk bermain hantaran pendek kerana saya percaya pemain yang saya ada adalah pemain bolasepak dan mereka perlu selesa dengan bola. Saya juga mahu pemain saya menikmati setiap saat mereka memegang bola.”

Mengenai Persembahan Cemerlang Kevin De Bruyne Musim Ini

“Kevin De Bruyne telah mencapai tahap luar biasa musim ini. Beliau berjaya mengekalkan tahap konsistensi yang tinggi dengan mempamerkan persembahan yang bagus dalam setiap perlawanan walaupun berselang 3 hari sahaja.”

“Beliau merupakan pemain yang paling banyak berlari dan beliau juga antara pemain paling berbakat yang ada di England ketika ini dan juga dalam pasukan kami. Dari segi aggresif dan intensiti permainan, beliau menunjukkan contoh yang bagus kepada rakan sepasukannya dalam perkara tersebut.”

“De Bruyne adalah pemain yang sukar untuk mengalami kecederaan dan pemain yang mahu bermain dalam setiap perlawanan kerana beliau mempunyai tenaga yang banyak. Beliau adalah seorang pesaing yang hebat.”

Mengenai Sistem 3 Bek Tengah Musim Hadapan

3 bek tengah bakal berlaku musim hadapan dengan kembalinya Mendy dalam pasukan

“Ia mungkin sistem yang akan kami gunakan, mungkin dalam Liga Juara-Juara. Kami boleh menggunakan sistem tersebut dalam beberapa perlawanan tertentu, sebagai contoh apabila Benjamin Mendy pulih dari kecederaannya.”

“Di bahagian bek kiri, kami mempunyai pemain seperti Fabian Delph, Oleksandr Zinchenko dan Danilo mengisi posisi tersebut musim ini. Jadi musim ini kami tidak dapat menggunakan sistem 3 bek tengah.”

“Mungkin selepas Mendy kembali dalam pasukan, kami akan menggunakan sistem ini dalam perlawanan tertentu kerana Vincent Kompany, Nicholas Otamendi, Aymeric Laporte, dan John Stones semuanya merupakan bek tengah yang hebat. Jadi tiada masalah buat kami untuk mempraktikkan sistem tersebut.”

Adakah Manchester City Bakal Bertambah Baik Musim Hadapan ?

Aguero dan Manchester City bakal bertambah baik musim hadapan

“Dalam bolasepak, anda akan sering mempunyai peluang untuk menjadi lebih bagus. Ia bukan tugas pengurus untuk membantu 11 pemain menjadi pemain yang lebih baik, tetapi tugas pengurus adalah untuk membantu 20 pemain menjadi pemain yang lebih baik.”

“Kami pernah melakukan kesilapan sebelum ini dan yang bagusnya adalah kami berpeluang untuk melakukan perkara tersebut dengan lebih baik jika peluang itu muncul kembali pada masa hadapan.”

BACA:  Guardiola: Persaingan Untuk Merebut Kejuaraan Liga Masih Belum Berakhir