Guardiola: Persaingan Untuk Merebut Kejuaraan Liga Masih Belum Berakhir

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata apa sahaja boleh berlaku dalam perebutan Liga Perdana Inggeris selepas pasukannya tewas mengejut di tangan Newcastle dalam perlawanan liga yang berlangsung awal pagi Rabu.

Manchester City yang bertandang ke St. James Park diramal akan mencapai kemenangan mudah ke atas pasukan Newcastle yang sedang bergelut dengan masalah prestasi sekaligus merapatkan jurang mata dengan Liverpool menjadi 1 mata.

Masih ada sinar untuk Manchester City walaupun tumpas mengejut di tangan Newcastle

Namun dalam bola sepak segalanya mampu terjadi selagi wisel penamat belum ditiup. Itulah yang berlaku kepada Manchester City semalam apabila mereka tumpas 2-1 di tangan skuad kendalian Rafa Benitez yang sepanjang musim bergelut dengan masalah prestasi.

The Citizens memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila penyerang antarabangsa Argentina, Sergio Aguero menjaringkan gol pembukaan 24 saat selepas wisel sepak mula ditiup.

Walau bagaimanapun, Newcastle kembali menyusun permainan mereka pada separuh masa kedua dan berjaya menjaringkan 2 gol menerusi Salomon Rondon dan Matt Richie (penalti) untuk memastikan anak buah Guardiola pulang ke Manchester dengan tangan kosong.

Matt Richie memusnahkan harapan peminat Setan Merah yang mahu melihat City meraih kemenangan bagi memberi tekanan terhadap Lolipop

Liverpool yang akan bertemu Leicester City awal pagi nanti berpeluang untuk mencipta jurang sebanyak 7 mata dengan Manchester City sekiranya mereka mampu menang di hadapan penyokong sendiri.

Dalam sidang media selepas perlawanan tersebut, Guardiola masih menaruh harapan pasukannya akan mampu mengejar Liverpool sambil menambah saingan liga masih lagi jauh untuk tamat.

“Well, masih banyak lagi mata untuk dimenangi kerana kita baru berada pada bulan Januri, bukan bulan April atau Mei. Masih terdapat banyak perlawanan untuk diharungi dan segalanya mampu terjadi.”

“Kebanyakan pasukan berjuang atas pelbagai sebab, ada yang mahu kekal di Liga Perdana Inggeris, ada yang mahu layak ke Europa League, dan yang mahu layak ke Liga Juara-Juara Eropah.”

“Dalam kes kami pula, kami perlu berusaha sehabis baik dalam setiap perlawanan dan jangan mudah putus asa. Pandang ke hadapan dan terus mencuba selepas ini.”

Guardiola turut menepis dakwaan yang mengatakan beliau memandang rendah keupayaan Newcastle.

Rafael Benitez. Besar jasa beliau kepada Liverpool musim ini

“Tidak pernah. Apabila anda masih lagi berada dalam 4 pertandingan, ianya adalah kerana anda tidak memandang rendah mana-mana pertandingan atau mana-mana pasukan.”

“Apabila anda berjaya mengutip 100 mata, ianya adalah kerana anda tidak memandang rendah pasukan lain. Jika kami memandang rendah pasukan lain, sudah tentu kami tidak akan berada dalam final Piala Carabao.”

“Kadang kala kami tidak bermain pada tahap yang kami kehendaki. Perkara macam ni akan berlaku. Kami tidak dapat menang kerana kami tidak bermain pada tahap yang terbaik. Itu sahaja.”

BACA:  Pep Guardiola Gesa Pemilik Chelsea Beri Masa Kepada Potter